Kawasan Mencari Pesawat AirAsia QZ8501 Diperluas


MOHD FAIZAL HASSAN | .


SURABAYA: Selepas hampir 40 jam, misteri kehilangan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 masih belum terungkai dengan tiada sebarang petunjuk diperoleh pasukan pencari yang akan memperluaskan kawasan pencarian pada pagi Selasa.


Pengurus Besar Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Trikora Harjo berkata operasi mencari diketuai Indonesia bersama-sama Singapura dan Malaysia di timur Lautan Jawa termasuk berhampiran Pulau Belitung, dihentikan pada lewat Isnin malam.




"Sehingga kini, saya dimaklumkan, 24 kapal laut dan beberapa pesawat udara tentera milik tiga negara ini telah menyertai misi mencari ini," katanya pada pemberita lewat Isnin malam.




Beliau berkata sehingga kini, tiada sebarang maklumat atau petunjuk ditemui selain menafikan ada minyak, objek mahu pun Alat Pemancar Lokasi Kecemasan (ELT) diperoleh dan ditemui pasukan pencari.




Sementara itu, Presiden Direktur PT AirAsia Indonesia, Sunu Widiatmoko yang juga hadir di sidang akhbar itu berkata kemudahan waris pesawat itu di lapangan terbang akan ditambah untuk keselesaan mereka ketika menunggu perkembangan terkini.




"Ini termasuk televisyen dan kemudahan istirehat supaya keluarga korban (mangsa) lebih selesa.




"Mereka bersetuju sebulat suara untuk terus menetap di hotel-hotel berdekatan lapangan terbang untuk kemudahan mereka," katanya.




Sementara itu, tinjauan BERNAMA di Pusat Krisis Terminal 2 lapangan terbang mendapati pelbagai emosi dilihat pada riak wajah anggota keluarga dan waris pesawat malang itu.




Seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Solo berkata keluarganya tidak mahu berpindah atau berjauhan dari lapangan terbang ini kerana seolah-olah berasa dekat dengan anggota keluarganya yang hilang itu.




Menurutnya, inilah lokasi terakhir mereka meluangkan masa bersama-sama sebelum anggota terbabit menaiki pesawat.




Pesawat Airbus 320-200 bersama 162 orang di dalamnya terdiri daripada 149 penumpang Indonesia, Korea Selatan (3), Singapura (1), Malaysia (1), United Kingdom (1), dan kru Indonesia (6) serta Perancis (1), yang dijadual tiba pada jam 8.30 pagi waktu tempatan dari Surabaya, terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara Jakarta pada 7.24 pagi waktu tempatan Ahad. - Bernama

0 comments: