KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
DALAM
ISU DR YUSOF QARADAWI
Kecaman Terhadap Interpol Meletakkan Syeikh Qaradawi
Dalam Senarai Pengganas Yang Dikehendaki
1. Dewan Ulamak PAS Pusat
mengecam sekeras-kerasnya percubaan antarabangsa bagi menimbulkan kekeliruan
dunia terhadap Dr Yusof Qaradawi dengan meletakkan beliau dalam senarai
dikehendaki oleh Interpol dengan tuduhan yang sangat kabur serta berniat jahat.
2. Dr Yusof Qaradawi merupakan
antara tokoh ulamak kontemporari yang kedepan memperjuangkan isu masyarakat
antarabangsa. Pandangan beliau didengari. Personaliti dan keilmuan beliau
dihormati dan dipercayai oleh masyarakat Islam. Antara bukti keluasan ilmu dan
keyakinan dunia Islam terhadap keilmuan beliau serta penerimaan cendekiawan
Islam terhadap fatwa dan pandangan-pandangan kontemporari beliau ialah
karya-karya agong beliau yang banyak tersebar luas termasuklah yang
diterjemahkan ke pelbagai bahasa dan anugerah antarabangsa yang diperolehi oleh
beliau daripada kerajaan-kerajaan dan agensi rasmi pelbagai negara.
3. Pendirian beliau dalam
setiap isu ummah benar-benar mempengaruhi pandangan umum dunia Islam. Sikap
beliau dalam mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak masyarakat yang dizalimi
memberi kesan yang besar dalam mengekang golongan yang melakukan kezaliman.
4. Beliau mempunyai pendirian
politik yang jelas sejak dulu dalam isu-isu penjajahan bumi Palestin dan
kezaliman Zionis dan penjajahan Amerika terhadap bumi Iraq. Begitu juga
pendirian beliau yang menjadi ikutan dalam krisis kudeta terhadap kerajaan yang
dipilih secara sah mengikut lunas demokrasi di Mesir, tragedi di bumi Syria dan
lain-lainnya.
5. Keadaan ini mendorong dan
menekan musuh-musuh yang cemburu dan golongan yang zalim di kalangan pemerintah
dunia berusaha merencanakan pelbagai rencana jahat terhadap beliau.
6. Dewan Ulamak PAS Pusat dalam
masa yang sama menuntut Interpol segera membersihkan nama Dr Yusof Qaradawi
daripada senarai penjenayah yang dikehendaki. Begitu juga, umat Islam khususnya
para pemerintah Islam dituntut berganding bahu sepakat meluahkan mesej bantahan
terhadap tuduhan berniat jahat lagi zalim ini serta mempertahankan Syeikh
Qaradawi dan membersihkan nama beliau dari tohmahan liar ini.
Sekian.
Disediakan oleh;
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Selasa 1 Rabiul Awal 1436H / 23
Disember 2014
0 comments: