KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan belum bersedia untuk mengisytiharkan darurat ekoran banjir besar yang berlaku di beberapa tempat sekarang.
Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri dengan dibantu pelbagai agensi kerajaan masih mampu menangani banjir secara bersama.
Bagaimanapun katanya, rakyat yang tinggal di bahagian hilir Sungai Kelantan diharap bersedia untuk menghadapi limpahan air dari hulu yang akan berlaku bila-bila masa dari sekarang.
“Ambil langkah segera untuk menyelamatkan keluarga ke tempat-tempat yang lebih selamat sebelum air banjir bertambah teruk.
“Ini kerana kemungkinan air sebelah selatan dari Gua Musang, Kuala Krai atau Jeli akan turun ke Kota Bharu, Pasir Mas sekurang-kurang lima jam lagi,” katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darulnaim hari ini.
Beberapa kampung terletak di tepi Sungai Kelantan termasuk Kampung Sireh, Penambang sudah ditenggelami air sejak semalam.
Paras air di Lembah Sireh juga meningkat semakin menghampiri lantai bawah Jambatan Sultan Yahya Petra, yang menghubungkan Kota Bharu-Tumpat.
Menteri Besar juga berharap rakyat Kelantan sentiasa bermunajat kepada Allah SWT agar menyelamatkan rakyat negeri ini dan mangsa-mangsa banjir.
Menurutnya juga kerajaan negeri melulus peruntukan segera sebanyak RM10,000 kepada setiap wakil rakyat melalui Tabung Serambi Mekah bagi membantu mangsa-mangsa banjir di tempat mereka.
“Sumbangan berkenaan bagi menyediakan kelengkapan asas yang diperlukan mangsa banjir,” ujarnya.
Beliau juga berkata agensi-agensi kerajaan negeri dan Persekutuan diharap memain peranan secara berterusan bagi membantu mangsa banjir yang terperangkap.
“Kita juga berharap dermawan sama ada korporat, individu untuk berbakti pada mangsa banjir dengan menghulurkan sumbangan kepada mereka,” katanya.
Sumbangan boleh disalur kepada Tabung Serambi Mekah menerusi Bank Islam, 03018010080024 dan 03018010150383.
Sementara itu orang ramai yang ingin mendapat mendapat maklumat semasa mengenai banjir boleh menghubungi Bilik Gerakan Banjir Negeri di talian 09 7481180. - HARAKAHDAILY 24/12/2014
0 comments: