KENYATAAN MEDIA YAB USTAZ DATO' MENTERI BESAR KELANTAN 31 DISEMBER 2014


KENYATAAN MEDIA 
YAB USTAZ DATO' MENTERI BESAR KELANTAN

بسم الله الرحمن الرحيم

Kerajaan Negeri Kelantan sekarang dalam usaha memulih dan membangunkan semula lokasi- lokasi yang telah musnah dilanda banjir. Setelah saya sendiri meneliti situasi di tempat yang agak parah dilanda banjir seperti di Kuala Krai, ianya amat memerlukan sokongan dan bantuan daripada semua pihak khususnya Kerajaan Persekutuan. Bencana banjir yang berlaku ini hendaklah diteliti juga dari sudut pengajaran dan hikmah bagi meneguhkan akidah dan iman umat Islam.


Apabila saya mendengar beberapa pihak termasuk semalam YAB Perdana Menteri Malaysia ada menyifatkan bahawa banjir di Kelantan disebabkan pembalakan tidak terkawal ianya perlulah dirujuk terlebih dahulu kepada pihak Kerajaan Negeri. Sistem pembalakan di Kelantan pada hakikatnya telah mematuhi Kup Tahunan seluas 5,960 hektar setahun yg diluluskan oleh Majlis Tanah Negara malah pengurusan hutan di Kelantan telah diberi pensijilan MC&I SFM oleh badan bebas antarabangsa, manakala pembukaan kawasan untuk projek TLC semuanya perlu lulus EIA sebelum projek dimulakan.


Kejadian pembalakan yang tidak terkawal jika berlaku mungkin disebabkan penerokaan haram yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan akan melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan efektif dalam hal ini. Perlu diketahui juga bahawa insiden banjir boleh juga berlaku dengan beberapa faktor lain seperti fenomena limpahan air hujan yang berlebihan sebagaimana yang dilaporkan oleh Jabatan Meteorologi dan hal ini berlaku hampir di semua Negeri di Semenanjung Malaysia.


Disini juga saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak bermula daripada orang perseorangan, NGO, agensi Kerajaan dan swasta yang  sehingga kini tidak putus-putus menyalurkan bekalan kepada mangsa banjir di Negeri ini.



USTAZ DATO' HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan


Bertarikh : 9 Rabiul Awwal 1436 / 31 Disember 2014

0 comments: