KES
AMBIL BARANG KEDAI DAN
RUMAH ORANG LAIN KETIKA BANJIR
Oleh : Dr. Zaharuddin Abd Rahman
SOALAN :
Apakah hukum seseorang yang
terperangkap dalam banjir dan kelaparan atau kesejukan atau memerlukan barangan
asasi lain kemudian pergi ke mana-mana rumah berdekatan atau pasaraya atau
kedai lalu memecah masuk dan mengambil makanan yang masih boleh dimakan minum
atau guna dan pakai. Adakah ini dikira mencuri atau kesalahan dosa besar di
dalam Islam?
JAWAPAN :
Pertamanya, takziah diucapkan kepada semua yang terkena musibah dan ujian dari
banjir terbesar negara yang berlaku pada hujung tahun 2014 ini.
Sebelum saya memberi
jawapan dari sudut pandang hukum Islam, perlu diambil kira amaran pihak polis
pada tarikh 30 Disember 2014, bahawa semua jenis menceroboh masuk kedai dan
rumah adalah suatu kesalahan menurut undang-undang dan jika pihak polis
menyerahkan kepda budi bicara mahkamah sekiranya individu yang menceroboh
ditangkap dan dibawa ke mahkamah kelak.
Adapun dari sudut hukum
Islam, hukum asal mengambil barangan milik orang lain tanpa redha dan izin
sememangnya berdosa dan salah. Namun pertanyaan adalah dalam situasi tertentu
di waktu banjir dan terperangkap serta kekurangan makanan.
Dalam situasi sebegitu dan
bukan dibuat-buat, namun memang sebenar-benarnya tersangat mendesak keperluan
kepada sama ada makanan, pakaian atau barang keperluan asasi sama ada untuk diri
sendiri atau untuk mereka yang dalam rawatan (di hospital atau tercedera
contohnya).
Maka Allah swt telah menyebut :-
فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِّإِثْمٍ فَإِنَّ اللّهَ
غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Ertinya : Maka barang siapa terpaksa karena kelaparan tanpa sengaja berbuat
dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Al-Maidah)
Para ulama tafsir
mentafsirkan beberapa kalimah penting dalam ayat di atas iaitu :-
(مَخْمَصَةٍ) sebagai perut kosong dan kelaparan amat sangat. Demikian huraian
Imam Ibn Kathir, Imam AL-Qurtubi, Alusi, Sheikh Rashid Ridha dan lain-lain.
Manakala kalimah (غَيْرَ
مُتَجَانِفٍ) membawa maksud bukan secara sengaja atau suka-suka menyeleweng dan
menceroboh untuk melakukan dosa dan mencuri.
Sebagaimana dihurai juga
berdasarkan firman Allah swt yang lain tetapi berkaitan iaitu
فَمَنِ اضْطُرَّ غير باغ ولا عاد فلا اثم عليه
Ertinya :Barangsiapa yang terdesak dan bukan berniat dan menceroboh sengaja dan
bukan pula menyerang maka tiada dosa ke atas mereka. (Al-Baqarah : 173)
Demikian di petik dari
huraian Imam Al-Qurtubi dan lain-lain ahli tafsir.
KESIMPULAN
Kesimpulan jawapan ringkas bagi soalan yang diutarakan adalah :-
1. Mangsa banjir yang
terperangkap lalu memecah masuk mana-mana rumah atau kedai berhampiran (yang
tiada dijaga lagi oleh tuan milik kerana telah dipindah atau menyelamatkan
diri) untuk mendapatkan bekalan makanan dan pakaian asasi yang sangat terdesak
adalah TIDAK BERDOSA dan DIMAAFKAN di dalam hukum Islam. Mereka juga TIDAK
DINAMAKAN PENCURI atau MENCURI. Malah jika wujud hudud dilaksanakan di sesebuah
negara, kes sebegini TIDAK termasuk dalam hukuman yang boleh dikenakan hudud.
2. Pun begitu, ia tetap
dikira kesalahan menurut undang-undang negara dan pihak polis menyatakan jika
didakwa, terserah kepada budi bicara mahkamah untuk memutuskan keputusan
terbaik berdasarkan keadaan dan situasi sebenar.
3. Jika mangsa banjir dapat
membuat congakan jumlah nilai barang yang diambil, adalah terlebih baik jika
mereka dapat membayarnya kemudian, di waktu sudah aman dari ancaman banjir.
Jika mereka gagal membuat bayaran semula kerana kemiskinan atau kerosakan &
kerugian terlalu besar, maka tanggungjawab mengganti beralih kepada zakat atau
ke atas tanggungjawab negara.
4. Bagi pihak pemilik pula,
jika mereka menghalalkan dan mengganggapnya sebagai sedeqah atau derma bantuan
kemanusiaan. Insha Allah bakal diganjari Allah swt sebagai pahala buat diri
mereka di akhirat nanti (khususnya jika muslim) atau balasan kebaikan di dunia
bagi non muslim.
5. Memecah masuk secara
menyerang dan merampas sedang wujud tuan rumah atau tuan kedai dan merampas
dengan paksa adalah ditegah menurut hukum Islam. Sewaktu pemilik wujud, izin
mereka mestilah dipohon terlebih dahulu.
6. Memecah masuk dan
mengambil barangan secara berlebihan iaitu barang bukan keperluan asasi adalah
diharamkan dan berdosa.
Sekian,
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Presiden MURSHID
30 Dis 2014.
0 comments: