Konvensyen Sekretariat PAS Kebangsaan 20 Disember

SALMIYAH HARUN | .



KUALA LUMPUR: Dalam usaha untuk meningkatkan pentadbiran PAS khususnya dalam mengendalikan perjalanan Mesyuarat Agung dan Muktamar Tahunan, Pejabat Setiausaha Agung melalui Sektor Pemerkasaan Organisasi akan menganjurkan Konvensyen Sekretariat PAS peringkat kebangsaan.


Menurut Penolong Setiausaha Agung PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil konvensyen tersebut merupakan salah satu usaha untuk memberikan panduan kepada pentadbiran PAS kaedah dan cara yang tepat untuk mengendalikan mesyuarat agung.


Bahkan katanya, konvensyen ini dirancang untuk memperkemaskan perjalanan Mesyuarat Agung dan Muktamar Tahunan PAS memandangkan mesyuarat agung pada tahun hadapan melibatkan proses pemilihan kepimpinan PAS dalam sesi yang baru.


Konvenysen yang akan berlangsung pada 20 Disember ini bertempat di Kolej Universiti Islam Zulkefli Mohamad (KUIZM) Gombak, turut menghimpunkan setiausaha dan penolong setiausaha di peringkat pusat, negeri dan kawasan.


"Isu-isu yang telah berlaku pada tahun lalu akan dibentangkan kepada para peserta bagi tujuan mengelakkan ianya berulang lagi pada tahun hadapan," katanya kepada Harakahdaily.


Tambahnya, konvensyen ini juga bertujuan untuk mendapatkan maklum balas daripada sekretariat di semua peringkat termasuk persoalan berkaitan dengan masalah-masalah yang dilalui sebelum ini untuk di atasi sebelum mesyuarat agung yang akan datang.


"Beberapa kertas kerja akan dibentangkan sepanjang konvensyen ini termasuk para peserta akan ditaklimatkan berkaitan dengan Aturan dan Peraturan Pemilhan PAS yang akan dibentangkan oleh Asmuni Awi yang telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS di dalam mesyuarat PAS Pusat.


Dijangkakan penyertaan seramai 800 orang daripada seluruh pelusok tanah air. Para peserta akan dibekalkan dengan ‘kit’ yang mengandungi Manual Pengurusan Muktamar dan Mesyuarat Agung. -HARAKAHDAILY 15/12/2014

0 comments: