Pendukung utama yang tahan uji dalam perjuangan para Nabi ialah golongan "Ribbiyyun" sebagaimana dijelaskan oleh Allah dalam surah Aali 'Imran ayat 146:
وَكَأَيِّنْ مِنْ نَبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ
"Dan betapa banyak Nabi yang berperang bersamanya 'Ribbiyyun' yang ramai. Maka mereka tidak merasa lemah semangat terhadap apa yang menimpa mereka di jalan Allah, mereka tidak lemah jasad dan mereka tidak tunduk (pada musuh). Dan Allah sukakan orang-orang yang sabar".
Siapakah Ribbiyyun?
Sarjana Tafsir memberikan pelbagai tafsiran bagi makna Ribbiyyun antaranya ialah:
1. Himpunan manusia yang ramai. Ia ditafsirkan oleh Ibnu Abbas, Mujahid dan Qataadah.
2. Ribuan pendukung. Ia ditafsirkan oleh Ibnu Mas'ud
3. Para Fuqaha dan Ulamak yang berilmu. Ia ditafsirkan oleh al-Hasan.
4. Diriwayatkan ia bermaksud pengikut-pengikut dan rakyat.
5. Diriwayatkan ia dinasabkan kepada Rabb (Tuhan) iaitu mereka yang kuat mengabdikan diri kepada Rabb (Tuhan)
Jika digabungkan semua tafsiran ini boleh disimpulkan bahawa Ribbiyyun bermaksud para pengikut yang ramai di kalangan rakyat yang Faqih lagi Alim mendalami dan berpengetahuan tinggi dalam agama yang sentiasa mengabdikan diri kepada Rabb (Tuhan).
Atau dengan kata lain Ribbiyyun ialah puluhan ribu pendokong yang menggabungkan dua sifat utama iaitu "kefahaman agama mendalam" dan "kekuatan ibadah kepada Tuhan" yang hadir dari rasa takutkan neraka dan cintakan syurga hasil tarbiyah yang panjang.
Apakah Kelebihan Ribbiyyun?
Golongan Ribbiyyun ini menjadi tonggak perjuangan para Nabi kerana kefahaman agama dan kekuatan ibadah mereka menjadikan mereka tahan dengan ujian dan tidak pernah patah semangat.
Tiga sifat utama mereka ialah
1. Mereka tidak patah dan lemah semangat menghadapi pelbagai ujian dan tribulasi perjuangan di jalan Allah.
2. Mereka sentiasa gagah perkasa tidak lemah dari sudut jasad mereka berhadapan dengan musuh.
3. Mereka sentiasa gagah tidak tunduk kepada musuh.
Kesimpulan
Golongan Ribbiyyun yang berilmu dan memahami agama dengan mendalam serta sentiasa ditarbiyah dan dididik dengan kekuatan hubungan dengan Allah menerusi ibadah dan munajat yang berterusan merupakan tonggak kepada perjuangan Islam. Bilangan mereka mesti diperbesarkan sehinga menjangkau puluhan ribu. Di saat itu pintu kemenangan Islam sangat hampir.
Disediakan oleh
al-Faqiiru ilaLlah
Ust Datuk Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Sabtu 20 Disember 2014 / 27 Safar 1436H
0 comments: