PAS Rakam Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Mustafa


SALMIYAH HARUN | .




KUALA LUMPUR: PAS merakamkan takziah kepada keluarga Seniman Lagenda Filem Melayu Allahyarham Datuk MustaphaMaarof yang meninggal dunia kerana komplikasi masalah paru-paru.



Pengerusi Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat, Dr Muhaimin Sulam menyifatkan pemergian allahyarham satu kehilangan besar kepada negara kerana beliau merupakan antara barisan seniman seangkatan dengan Allahyarham Tan Sri 
P Ramlee dan Datuk Aziz Satar.




"Maka kehilangan seniman yang boleh membawa watak yang cukup dirasai dan dihargai oleh rakyat Malaysia dari dahulu sampailah ke hari ini.

"Kita amat memerlukan orang seperti allahyarham sebagai ayahanda yang terlibat dalam seniman dan karyawan selepas bersara," katanya kepada Harakahdaily.




Bahkan katanya, allahyarham antara yang terlibat di dalam persatuan bagi membela nasib pelakon dan seniman lagenda agar kehidupan mereka terbela selepas bersara.




"Beliau tidak mahu melihat nasib yang menimpa pelakon vateran di mana ada yang tinggal di rumah PPRT selepas bersara, dan ianya tidak mahu mengulangi nasib seperti Tan Sri P Ramlee," katanya.




Allahyarham yang dikenali sebagai Hero legenda filem Melayu era Studio Jalan Ampas dan Cathay Keris menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.40 pagi ini di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju.




Allahyarham yang berusia 79 tahun dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang bersebelahan pusara isterinya, Roseyatimah.




Hero legenda ini cukup terkenal dengan lakonannya sebagai tunggak utama di dalam filem Bawang Putih Bawang Merah, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Naga Tasik Chini, Detik 12 Malam, Keris Sempena Riau, Sumpah Pontianak dan banyak lagi.




Allahyarham menjejakkan kaki ke Cathay Keris Film di Singapura sekitar tahun 1955 dan kerjaya seninya bermula dengan filem Pendekar Bujang Lapok.




Mustapha mula mencipta nama melalui filem Hang Tuah dan merupakan antara pelakon lelaki  kacak yang menjadi pujaan ramai ketika itu. - HARAKAHDAILY 15/12/2014

0 comments: