PEMBANGUNAN SUKAN BOLA SEPAK NEGARA: PERLU PENELITIAN MENDALAM
Oleh : Nik Mohamad Abduh Bin
Nik Abdul Aziz
Sukan bola sepak telah menjadi
sukan nombor satu di Malaysia malah di dunia. Mengikut perangkaan yang
dilakukan Badan Induk Persatuan Bola Sepak Dunia (FIFA) pada tahun 2007,
peminat sukan bola sepak di dunia mencecah 260 milion. Tidak kurangnya di Malaysia,
ia telah menjadi sukan yang menarik perhatian ramai pihak apatah lagi ketika
ada penyertaan pasukan kebangsaan dalam kejohanan tertentu seperti Piala AFF
Suzuki.
Namun, prestasi pasukan
kebangsaan yang mendapat gelaran Harimau Malaya tidak begitu memberangsangkan.
Malaysia berada pada kedudukan ke-155 dalam ranking FIFA yang terbaharu,
dibelakang Filipina, Myanmar, Vietnam dan Thailand. Kedudukan tersebut tidak
menggambarkan segala-galanya tetapi itulah ukuran yang perlu diambil perhatian.
Saya lebih suka untuk
memfokuskan kepada pembangunan jangka panjang Liga Malaysia yang seharusnya
dijadikan medan utama dalam mengasah kembali prestasi bola sepak negara. Pada
tahun 2013, Football Association Malaysia (FAM) mengumumkan untuk melaksanakan
dasar penswastaan bagi Liga Malaysia iaitu Liga Super dan Liga Perdana pada
tahun 2015 yang kemudiaannya bakal ditunda pada tahun berikutnya.
Dasar penswastaan Liga Super
dan Liga Perdana tersebut tidak seharusnya dilihat pada aspek penyelesaian
pembayaran gaji semata-mata yang menjadi tunjang permasalahan kepada naik turun
prestasi kebanyakan pasukan-pasukan negeri ketika ini. Walaubagaimanapun, ia
mungkin satu bahagian yang penting dari dasar tersebut. Melihatkan perkara
besar yang ingin digubal pihak FAM, saya mengesyorkan beberapa pandangan untuk
diberi perhatian bersama;
1. Membentuk struktur
liga supaya lebih kompetitif dengan menggalakkan pembiayaan kewangan
(‘sponsorship’) daripada syarikat-syarikat besar di Malaysia. Masalah utama
yang melanda kebanyakan pasukan di dalam liga tempatan hari ini adalah berkait
dengan masalah kewangan. Jika ia tidak kukuh, nescaya prestasi pasukan tersebut
merosot malah kebanyakan pasukan kelab terus lenyap. Pembiayaan kewangan oleh
syarikat-syarikat besar terhadap pasukan bola sepak tempatan selayaknya diberi
keistimewaan tertentu oleh kerajaan bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan
mereka dalam bola sepak. Jika tidak ia akan kekal menjadi masalah yang
menghantui masa depan bola sepak negara.
2. Liga tempatan perlu
dibangunkan secara global dan tidak hanya mengekalkan bentuk traditionalnya.
Pemain-pemain muda yang berpotensi perlu diberi pendedahan beraksi di
negara-negara luar termasuk Eropah dan Asia Timur. Ia secara tidak langsung
berkait dengan pembangunan mental para pemain supaya lebih kreatif dan tajam
ketika beraksi di atas padang. Kelebihan tersebut tidak hanya dimiliki dengan
latihan insentif tetapi ia menyerap masuk melalui pengalaman dan pendedahan
pemain tersebut.
4. Dekatkan bola sepak dengan
masyarakat tempatan (‘home-town system’). Tidak dapat dinafikan, sokongan
masyarakat terhadap bola sepak banyak bergantung kepada prestasi pasukan
kebangsaan. Jika skuad negara mampu menunjukkan aksi yang memberangsangkan dan
mencatatkan kemenangan, maka sokongan masyarakat turut meningkat naik dan
begitulah juga sebaliknya. Di sini, media dan penyokong tegar memainkan
peranan. Mereka adalah jambatan yang membentuk gelombang kepada sokongan
masyarakat terhadap bola sepak. Maka, dua aspek ini juga perlu diberi
perhatian.
5. Penyerapan lebih ramai
bakat-bakat muda supaya diserapkan kepada pasukan-pasukan utama yang beraksi di
dalam Liga Super dan Liga Perdana. Setiap pasukan yang beraksi perlu memiliki
pasukan bawah 18 dan 15 tahun yang tersendiri, klinik bola sepak dan
program-program bola sepak tempatan bertujuan meningkatkan lagi minat anak muda
terhadap bola sepak. Saya yakin kita memiliki ramai pemain muda di luar sana
yang berbakat dan mereka perlu dicari dengan penelitian yang mendalam supaya
lebih ramai anak muda berbakat diketengahkan.
6. Bangunkan fasiliti bola
sepak supaya berada pada tahap yang mencapai standard antarabangsa terutamanya
dari sudut kualiti padang, stadium, ‘coaching tools’ dan sebagainya. Ia
termasuk juga dengan pembangunan sains sukan. Kementerian dan FAM perlu
menganjurkan lebih banyak kajian sains sukan di dalam universiti terutama bagi
meningkatkan mutu pembangunan sukan bola sepak negara.
Saya melihat perubahan yang
perlu dilakukan Liga Malaysia adalah kepada dua teras yang utama ; pengurusan
yang sistematik bagi liga utama dan pasukan yang bertanding dan keduanya,
pembentukan setiap pasukan yang bertanding dengan kualiti yang tinggi dan kukuh
dari sudut kewangannya. Jika dua teras ini diambil perhatian nescaya zaman
kegemilangan bola sepak negara akan kembali.
0 comments: