Pemuda PAS Ada Idea ‘Kuala Lumpur Milik Warga Kota’

HARAKAHDAILY | .



KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengambil maklum berkenaan pembentangan Bajet DBKL 2015 yang bertemakan ‘Kuala Lumpur Milik Warga Kota’ yang dibentangkan oleh Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib. 

Jumlah peruntukan keseluruhan bajet tersebut ialah RM2.44 bilion melalui pecahan RM1.63 bilion bagi peruntukan mengurus dan RM812.54 juta peruntukan pembangunan. 

Bajet tersebut menggariskan lima matlamat utama iaitu Bandar Raya Milik Warga Kota, Kemakmuran Ekonomi, Bandar Raya Saling Bersaring, Bandar Raya Eko, Dan Bandar Raya Tadbir Urus Cekap.

Seiring dengan tema ‘Kuala Lumpur Milik Warga Kota’, pihak Pemuda PAS Wilayah berharap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudi untuk mendengar dan mengambil perhatian suara rungutan dan rintihan sekalian penghuni warga kota KL yang sudah mencecah seramai 1.7 Juta orang. 

Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin berkata sungguhpun di dalam bajet tersebut sudah dinyatakan terdapat 14 fokus utama seperti contoh Program Pembersihan Bandar, Program Penyelenggaraan Jalan Raya dan Saliran, Program Penyelenggaraan Perumahan Awam dan Perumahan Rakyat dan banyak lagi, tetapi penekanan kepada aspek pelaksanaan dan kayu ukur pencapaian program tersebut hendaklah diberikan perhatian. 

"Hal ini amat penting, kerana peruntukan yang digunapakai itu adalah bersumberkan hasil kutipan wang cukai daripada warga kota KL," ujarnya dalam satu kenyataan. 

Menurutnya, amatlah malang sekiranya, wang tersebut dibelanjakan dengan sewenangnya tanpa mengambil kira hak dan suara rintihan para pembayar cukai.

Katanya, pihak DBKL juga perlulah bersikap proaktif dan responsif terhadap permasalahan sekian lama yang dialami oleh para warga kota khususnya isu kesesakan lalu lintas, banjir kilat, dan kemudahan infrastruktur awam. 

"Dalam kesungguhan DBKL menguatkuasakan undang-undang dan usaha ke arah kemajuan Kuala Lumpur, hendaklah ia diseiringkan dengan taraf dan mutu perkhidmatan DBKL yang cemerlang serta tidak menyisihkan golongan yang kurang bernasib baik seperti gelandangan dan fakir miskin," katanya lagi.

Justeru, ujar beliau Pemuda PAS Wilayah sedia menjalinkan kerjasama rasmi dengan pihak DBKL dalam memberikan sumbangan idea dan buah fikiran ke arah pembangunan Kuala Lumpur. 

Beliau menambah, pihaknya juga amat mengharapkan DBKL memperbanyakkan lagi medium untuk para warga kota khususnya anak muda dan pemimpin masyarakat dalam memberikan pandangan dan teguran terhadap mutu perkhidmatan DBKL agar tema ‘Kuala Lumpur Milik Warga Kota’ benar-benar dapat direalisasikan. -HARAKAHDAILY 18/12/2014

0 comments: