Pemuda PAS Optimis Piala AFF Suzuki 2014 Milik Kita


HARAKAHDAILY | .





KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaya di atas semangat juang yang telah dipamerkan semasa menentang pasukan Thailand malam tadi.



Naib ketuanya, Khairil Nizam Khirudin berata, meskipun tewas 0-2 di Stadium Rajamangala, Bangkok namun pujian harus diberikan kerana mampu memberikan saingan hebat kepada pasukan tuan rumah.


Katanya, pada separuh masa pertama, formasi 4-4-1-1 dilihat bagaikan mampu menjinakkan skuad Gajah Putih.


Tambah beliau, tewasnya 2-0 di tangan Thailand pada masa kedua memberikan isyarat kepada Dato Dollah Salleh untuk memperbaiki seluruh jentera di samping merangka strategi baru.


"Saya masih optimis terhadap kemampuan Malaysia untuk menjulang Piala AFF Suzuki 2014," ujarnya.


Katanya, kejayaan menundukkan skuad Vietnam selepas tumpas di Stadium Shah Alam pada perlawanan pertama membuktikan ketinggian semangat juang pasukan Harimau Malaya.


Justeru, beliau mengharapkan semangat itulah yang akan dinyalakan ketika menerima kunjungan pasukan Thailand di Stadium Bukit Jalil nanti.


Tambahnya, tarikh 20 Disember merupakan tarikh keramat bagi kedua-dua pasukan.


Menurut beliau, meskipun Malaysia belum pernah lagi menumpaskan Thailand sepanjang kempen Piala AFF Suzuki ini namun segalanya adalah mungkin.


"Insya Allah, sejarah tahun 2010 bakal berulang kembali. Ayuh seluruh rakyat Malaysia, berikan sokonganmu kepada pasukan Harimau Malaya tanpa berbelah bahagi.


"Maralah skuad Harimau Malaya, jangan berundur walaupun setapak. Piala AFF Suzuki 2014 bakal milik kita!" ujarnya. -HARAKAHDAILY 18/12/2014

0 comments: