POB DUPP POHON KEPRIHATINAN GERAKKAN MISI
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS
Pusat (DUPP) telah menubuhkan Pusat Operasi Banjir (POB) DUPP dalam usaha
menggerakkan misi bantuan dari kalangan anggotanya dan masyarakat ke daerah
banjir seluruh negara.
Ia diketuai Pengerusi Lajnah
Kebajikan DUPP, Dr Abu Bakar Abdullah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana
DUPP dan Ketua Penerangan DUPP, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
selaku Pengarah POB DUPP.
Dengan kekuatan skuad 30
petugas bersama 9 pacuan empat roda dan dua kereta, misi pertama telah bergerak
mengagihkan bantuan makanan bernilai lebih RM30,000 ke Dun Pasir Pekan, Bachok
pada 27 Disember lalu.
Misi bantuan tersebut turut
menyerahkan sumbangan kepada Adun Tawang, Dato’ Hassan Mahmood yang juga Ketua
Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan sekaligus membuka POB DUPP bagi negeri Kelantan
di Dun Tawang, Bachok pada hari sama.
Pada misi tersebut, skuad
berkesempatan meninjau keadaan banjir berhampiran penempatan sekitar Jambatan
Sultan Yahya Petra dengan menaiki bot di mana hampir kebanyakan rumah ditenggelami
air hingga ke paras bumbung.
Skuad turut menyampaikan
sumbangan kepada beberapa keluarga mangsa banjir yang masih bertahan di tingkat
dua rumah masing-masing.
Pada keesokan harinya, skuad
telah bergerak ke Chukai, Kemaman mengagihkan bantuan sebelum ke Kelantan
semula menghantar bantuan untuk Dun Mengkebang di bawah seliaan Ustaz Ab Latif
Abdul Rahman.
Sebanyak tiga POB DUPP
ditubuhkan iaitu di Dun Tawang; Kolej Universiti Zulkifli Muhammad, Gombak dan
Maahad Tahfiz wa Tarbiyah, Tok Jiring, Terengganu setakat 29 Disember baru-baru
ini.
Sehubungan itu orang ramai
diseru menghulurkan keprihatinan dan amal jariah dengan menghulurkan sumbangan
ikhlas berupa barangan keperluan harian atau terus ke akaun CIMB nombor
8601765212 atas nama Tabung Kebajikan Dewan Ulamak PAS Pusat dan sumbangan ke
akaun boleh dimaklumkan untuk rekod ke 013-746 0000.
Sementara itu Dato’ Dr Mohd
Khairudin dalam ulasannya berkata, banjir di Dun Pasir Pekan dan Kota Bharu
bukan kerana taburan hujan lebat, tetapi kerana limpahan air sungai Kelantan
yang datang dari ulu sungai.
“Limpahan air menenggelamkan
kawasan sangat luas dan agak jauh daripada sungai sehingga rumah yang sebelum
ini tidak pernah menghadapi banjir (turut) ditenggelami sehingga ke
bumbung.
“Di sinilah terserlahnya
kekuasaan Allah yang di luar kemampuan manusia untuk mengatasinya. Maka ia
mengajak seluruh rakyat dan manusia kembali kepada Allah dengan memohon
keampunan-Nya seterusnya berdoa agar Allah segera menyelamatkan kita semua,”
ujarnya kepada Harakah.
0 comments: