Tahniah Harimau Malaya, Bangkit Dan Terus Bangkit


KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN | .





KEMENANGAN dalam kekalahan. Itulah ungkapan yang boleh ditujukan kepada skuad Harimau Malaya dalam perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional, malam tadi.


Meskipun dilihat mampu menjulang kejuaraan bagi kali kedua di gelanggang sendiri apabila mendahului dengan aggregat 3-2, namun akhirnya Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan pasukan Thailand yang mampu merobek gawang Malaysia sebanyak 2 kali.


Natijahnya, Thailand menang dengan aggregat 4-3 sekaligus menjulang Piala AFF Suzuki buat kali keempat.


Di sebalik kekecewaan ini, pujian seharusnya diberikan kepada pasukan Malaysia. Seperti yang dijangka, Harimau Malaya mampu memberikan saingan pada perlawanan timbal balik.


Ketinggalan 0-2 di Stadium Rajamangala, Bangkok pada perlawanan akhir pertama tidak mematahkan semangat Malaysia. Bahkan, bagaikan harimau yang terluka, Malaysia telah berjaya bangkit berjuang dan menunjukkan kekentalan semangat yang ampuh. Inilah sikap pemain yang harus diberikan pujian.


Kekalahan adalah sesuatu yang amat memeritkan. Akan tetapi, saya melihat ianya sebagai suatu kekalahan yang amat berbaloi. Persembahan daripada pasukan kendalian Dollah Salleh ini sememangnya menakjubkan!


Namun, adat pertandingan, sememangnya ada menang dan ada kalah. Bola itu bulat. Segalanya mungkin terjadi. 2 gol pasukan Thailand pada 10 minit terakhir berjaya mengubah situasi.


Pahit kekalahan terpaksa ditelan bukan sahaja oleh pemain namun seluruh rakyat Malaysia serta skuad penyokong Ultra Malaya yang tidak putus-putus menyokong perjuangan Harimau Malaya.
Justeru, muhasabah perlu dilakukan demi meningkatkan lagi mutu permainan bola sepak kita.


Saya melihat perlunya lebih ramai pemain muda ditonjolkan bakat mereka dalam perlawanan-perlawanan seperti ini.


Lihat sahaja skuad Thailand, rata-rata yang bermain adalah di bawah usia 28 tahun. Kecergasan yang dimiliki mereka adalah sehingga minit-minit terakhir.


Dengan integrasi pemain muda dan pemain senior ini, kesinambungan kebangkitan Harimau Malaya dapat diteruskan hatta Insya Allah, akan mencapai tahap yang lebih tinggi lagi.


Tahniah juga buat anak muda yang telah mengadakan program street dakwah di pekarangan Stadium Bukit Jalil. Program di bawah kerjasama Pemuda PAS Malaysia bersama Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan Selangor ini bertujuan mendidik rakyat peri pentingnya solat dalam apa jua keadaan.


Walaupun tanpa surau, tikar sejadah dan paip air, mereka berjaya menunjukkan bagaimana kaedah yang terbaik untuk bersolat. Dalam masa yang sama juga, solat hajat turut diadakan untuk kemenangan buat Skuad Harimau Malaya. Sekalung tahniah sekali lagi buat Ustaz Afnan Hamimi, Ustaz Syarhan Humaizi dan Nurul Islam yang bersama-sama menganjurkan program street dakwah di Stadium Bukit Jalil ini.


Alhamdulillah, program ini telah berjaya mendapat sambutan daripada kalangan anak muda yang hadir untuk menonton perlawanan akhir bola sepak ini dan menunjukkan bahawasanya nilai dakwah Islamiyyah merentasi nilai kepentingan politik kepartian.


Apapun, sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan Harimau Malaya yang telah mempersembahkan aksi yang menarik pada sepanjang kempen Piala AFF Suzuki 2014 ini.


Saya berharap momentum ini dapat dikekalkan dan menjadi semakin hebat pada perlawanan-perlawanan yang akan datang. Tahniah Harimau Malaya!


Selamanya Harimau Malaya!



Penulis ialah Naib Ketua Pemuda Pemuda PAS Malaysia.

0 comments: