HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: PAS mengutuk serangan puak Taliban ke atas sebuah sekolah kelolaan pihak tentera di Peshawar, Pakistan yang telah mengorbankan 141 orang kebanyakannya kanak-kanak.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata alasan yang diberikan oleh Taliban bahawa tindakan ganas mereka itu sebagai membalas serangan berterusan pihak tentera Pakistan ke atas wilayah mereka di utara Pakistan yang juga telah mengorbankan ramai orang yang tidak berdosa tidak boleh diterima.
"Sama ada dari sudut Islam mahupun kemanusiaan ia adalah salah," tegasnya dalam satu kenyataan.
Katanya, Islam tidak mengajar untuk membalas dendam dengan membunuh orang awam lebih-lebih lagi kanak-kanak yang sedang menuntut ilmu yang menjadi kewajipan dalam kehidupan.
Menurutnya, krisis keganasan di Pakistan yang sudah berlarutan begitu lama berpunca daripada sikap kedua-dua pihak dalam konflik tersebut yang mengambil jalan kekerasan dan keganasan sebagai jalan penyelesaian yang akhirnya orang awam yang menjadi mangsa.
Kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, puluhan ribu rakyat Pakistan telah menjadi korban sejak keganasan tercetus kira-kira 15 tahun yang lalu.
Tambah beliau, tekanan Amerika ke atas kerajaan Pakistan untuk menyertai kempen Amerika terhadap pengganas turut menyumbang kepada masalah itu.
Sementara puak Taliban pula, ujanya mahu menegakkan regim berasaskan agama dengan cara kekerasan bukan melalui jalan damai dan demokrasi.
Justeru, kata beliau usaha perlu dibuat oleh organisasi umat Islam seperti OIC untuk menghentikan keganasan sebegini yang hanya merugikan umat Islam apabila generasi mendatang tidak mempunyai peluang untuk mengecapi satu kehidupan yang bermakna kerana diselubungi keganasan saban hari. - HARAKAHDAILY 19/12/2014
0 comments: