HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Semua rakyat di negara ini sewajarnya menumpukan usaha membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara terutama Pantai Timur, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.
Sehubungan itu, beliau berkata pembatalan pesta atau konsert hiburan termasuk sambutan ambang tahun baharu 2015 adalah wajar.
"Pesta sambutan tahun baharu 2015 adalah wajar dibatalkan agar semua rakyat memberikan tumpuan bagi membantu mangsa-mangsa banjir terutama di Kelantan, Terengganu dan Pahang selain Perak, Kedah dan Perlis," ujarnya kepada Harakahdaily.
Beliau juga menyeru kepada umat Islam khususnya agar mengadakan majlis solat hajat, berdoa dan munajat agar Allah menyelamatkan dan memberi kekuatan kepada mangsa-mangsa banjir terutama di kawasan yang kritikal ketika ini.
"Kepada umat Islam, kita berdoa dan mengadakan solat hajat semoga Allah memelihara saudara-saudara kita yang sedang ditimpa musibah banjir dan kita semua daripada bencana," ujarnya lagi.
Sementara itu, Pejabat Sultan Perak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Sultan Nazrin Shah menitahkan supaya sebarang acara konsert atau yang berunsur hiburan jika ada dirancang menjelang sambutan tahun baharu hendaklah dibatalkan.
Konsert Ambang 2015 dijadualkan pada malam 31 Dis ini dibatalkan selepas perbincangan diadakan antara Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Kumpulan Ambank.
Kerajaan Negeri Terengganu turut mengarahkan semua acara dan majlis berbentuk hiburan termasuk sambutan ambang tahun baharu 2015 dibatalkan berikutan banjir yang melanda hampir keseluruhan negeri itu.
Kerajaan pernah mengarahkan semua acara keramaian bagi menyambut tahun baru 2005 dibatalkan untuk menghormati mangsa-mangsa yang terkorban dan menderita akibat bencana ombak besar 'tsunami' yang berlaku pada 26 Disember 2004. - HARAKAHDAILY 25/12/2014
0 comments: