1. PAS adalah Parti Islam yang
meletakkan dasar perjuangannya ialah al-Quran dan Sunnah seterusnya Ijma' dan
Qiyas.
2. PAS memanfaatkan sistem
demokrasi berpilihanraya di Malaysia sejak sebelum merdeka pada pilihanraya
1955 bagi mendapatkan kuasa untuk memerintah negara berdasarkan sistem
pemerintahan Islam.
3. Menerusi manfaat demokrasi
PAS berjaya memerintah Kelantan dan Terengganu pada pilihanraya pertama selepas
merdeka iaitu 1959. Meskipun Terengganu jatuh 2 tahun kemudiannya disebabkan
pengkhianatan dalaman dan Kelantan jatuh pada 1978 selepas ditendang daripada
kerjasama politik Barisan Nasional, namun PAS bangkit semula 1990 dan menjadi
pemerintah Kelantan selama 25 tahun sehingga sekarang.
4. Asas perjuangan politik PAS
ialah meneruskan kesinambungan pemerintahan Nabi saw iaitu "menegakkan
agama dan mentadbir negara dengan agama". Hal ini diungkapkan oleh para
alim ulamak dalam karya ketatanegaraan mereka apabila menghuraikan hakikat
Khilafah yang bermula dengan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq selepas kewafatan
Rasulillah saw.
الخلافة خلافة عن النبوة في اقامة الدين وسياسة الدنيا به
"Pemerintahan Khilafah ialah penggantian bagi kenabian dalam menegakkan
agama dan mentadbir dunia dengan agama".
5. PAS meyakini dasar
pemerintahan Islam adalah terbaik yang mampu memberikan keadilan kepada semua
rakyat sama ada Islam mahupun bukan Islam. Kerana itu moto PAS ialah "PAS
for All / PAS Untuk Semua" bermaksud perjuangan PAS adalah untuk manfaat
dan kebaikan seluruh rakyat menerusi sistem Islam yang diperjuangkan.
6. PAS bukan hanya menolak
rasuah dan salahurus dalam pentadbiran tetapi lebih jauh PAS menolak dasar
pemerintahan yang akhirnya menjerumuskan pemerintah kepada rasuah dan salah
urus serta ketidakadilan. PAS tidak hanya berjuang untuk menukar orang yang
memerintah tetapi yang lebih penting ialah menukar dasar pemerintahan kepada
Islam.
7. Kerana itu PAS menolak dasar
sekular yang memisahkan politik pentadbiran daripada agama seperti ungkapan
"politik suku agama suku" yang popular di kalangan ahli-ahli dan
pemimpin UMNO satu ketika dahulu. PAS juga menolak dasar pemerintahan sosialis
mahupun komunis. PAS juga menolak dasar ekonomi kapitalis yang berasaskan riba,
monopoli, spekulasi dan manipulasi. PAS memperjuangkan negara berkebajikan yang
berbeza dengan idea negara kebajikan barat seperti United Kingdom.
8. Atas dasar inilah PAS
bertembung dengan UMNO yang bersifat sekular sejak sebelum merdeka serta
bersifat perkauman melampau. Atas dasar inilah PAS tidak menerima dasar
perjuangan MCA, MIC, Gerakan atau DAP yang berasaskan pemikiran sosialis.
9. Dalam pilihanraya, ahli-ahli
PAS tidak mengundi parti-parti yang membawa dasar yang bertentangan dengan
dasar Islam dalam berpolitik kerana menyokong kebatilan adalah dilarang.
Kecenderongan hati kepada orang-orang yang zalim yang menolak Islam ditegah
oleh Allah sebagaimana firman Allah dalam surah Hud ayat 113;
"Dan janganlah kamu
cenderong hati kepada orang-orang yang zalim lantas kamu disentuh oleh api
neraka".
10. Namun, larangan menyokong
parti-parti yang tidak memperjuangkan dasar Islam boleh berubah apabila
berlakunya kerjasama politik yang bertujuan menolak kemudharatan yang lebih
besar lagi seperti kemudharatan UMNO dan Barisan Nasional yang gagal mentadbir
Malaysia berasaskan Islam sejak sekian lama memerintah di samping rekod
kebocoran urustadbir kewangan, ketidaktelusan, kroni dan nepotisma. Ia
berasaskan kaedah Fiqh Islam iaitu
ارتكاب اخف الضررين
Menanggung mudharat yang lebih ringan antara dua mudharat
11. Atau atas dasar kerjasama
untuk melakukan kebajikan dan menegakkan kebenaran serta menentang kezaliman
sebagaimana firman Allah dalam al-Maidah ayat 2 bermaksud;
"Dan bekerjasamalah atas dasar kebajikan dan taqwa dan janganlah
bekerjasama atas dasar dosa dan pencerobohan".
12. Meskipun begitu kelonggaran
menyokong parti-parti yang tidak Islam ini bersyarat selagi mana ia tidak
menjadi alat untuk menobatkan dasar-dasar yang bercanggah dengan Islam atau
selagi dasar-dasar Islam tidak dipertikaikan atau disekat dan dihalang untuk
dilaksanakan dan disebarkan, atau selagi sokongan itu membantu dakwah Islam
tersebar. Juga bersyarat iaitu ahli tidak berwalak taatsetia kepada parti-parti
yang tidak Islam ini sehingga mendorong mereka membantu atau mendokong atau
menyayangi parti lain melebihi parti dan perjuangan Islam.
13. Allah menjelaskan konsep
walak kesetiaan kepada musuh dalam surah al-Mumtahanah ayat 1 bermaksud;
"Wahai orang yang beriman; janganlah kamu mengambil musuhku dan musuh kamu
sebagai Auliya' (pemimpin yang diberikan walak kesetiaan dan kasih sayang tidak
berbelah bagi). Kamu lontarkan kepada mereka kasih sayang sedangkan mereka
kufur dengan apa yang datang kepada kamu..."
14. Tindak-tanduk DAP sejak
akhir-akhir ini terhadap dasar-dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS sangat
meragukan. Tindakan DAP mempertikaikan Presiden PAS selaku ketua syarie yang
wajib ditaati oleh ahli PAS menurut Islam dalam beberapa isu adalah di luar
akhlak bekerjasama. Menghina kerajaan Islam Kelantan yang telah memerintah
selama 25 tahun dalam isu banjir sangat mengecewakan.
15. Keadaan ini mengingatkan
ahli PAS dengan firman Allah dalam surah Aali 'Imran ayat 118-119;
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا
عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ
أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ ( 118 )
"Wahai
orang-orang beriman! Janganlah kamu mengambil sebagai teman rapat (orang dalam)
orang selain kamu yang tidak mengendahkan kamu. Mereka suka dengan kesusahan
kamu. Telah ternyata kebencian-kebencian dari mulut-mulut mereka sedangkan apa
yang disembunyikan oleh hati-hati mereka lebih besar. Kami sememangnya telah
menjelaskan kepada kamu tanda-tanda kekuasaan sekiranya kamu berakal".
16. Seterusnya Allah
memperingatkan;
هَا أَنْتُمْ أُولَاءِ
تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ وَتُؤْمِنُونَ بِالْكِتَابِ كُلِّهِ وَإِذَا
لَقُوكُمْ قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا عَضُّوا عَلَيْكُمُ الْأَنَامِلَ مِنَ
الْغَيْظِ
"Inilah
kamu menyayangi mereka sedang mereka tidak menyayangi kamu sedangkan kamu
beriman dengan Kitab kesemuanya. Apabila mereka bertemu kamu mereka menyatakan
kami beriman dan apabila mereka bersendirian mereka menggigit jari jemari
terhadap kamu kerana kemarahan...."
17. Maka menjadi kewajipan
ahli-ahli PAS memastikan mereka tidak terbabas dalam melayari kerjasama politik
antara PAS, PKR dan DAP sehingga perjuangan Islam menjadi kabur, dasar
berekonomi kapitalis berasaskan riba diterima, dasar percukaian yang bercanggah
dengan Islam diterima, perjuangan menegakkan hukum jenayah Islam dianggap
remeh, ketaatan kepada ketua selagi tidak bercanggah dengan Islam menjadi kabur
dan walak kesetiaan beralih daripada parti Islam kepada Pakatan Rakyat.
Ahli-ahli PAS mesti beristiqamah dengan dasar Islam untuk meraih kemenangan
Islam yang lebih besar lagi.
Sekian.
Dr Mohd Khairuddin bin Aman
Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Tarikh : Jumaat, 30 Januari
2014 / 9 Rabiul Akhir 1436H
0 comments: