BETULKAN TANGGAPAN YANG SALAH TERHADAP ULAMAK


Sebelum saya menyenaraikan beberapa tanggapan yang salah manusia hari ini terhadap para ulamak, suka untuk saya senaraikan beberapa salah tanggapan masyarakat terdahulu terhadap nabi-nabi mereka : 

a) Menganggap para nabi sepatutnya dari kalangan Malaikat yang maksum sepertimana yang disebut pada ayat 8, Surah Al An'am.

b) Menganggap para nabi berdakwah untuk kepentingan peribadi lalu dinafikan oleh Nabi Nuh AS berdasarkan ayat 29 Surah Hud.

c) Menganggap para nabi tidak memberi kebebasan untuk kaumnya berpegang dengan ajaran nenek moyang yang salah sepertimana yang disebut dalam Surah Luqman, ayat 21

d) Menganggap para nabi sebagai tukang sihir, orang gila dan sebagainya sepertimana yang mereka lemparkan kepada Nabi Muhammad SAW.

e) Menganggap para nabi bercanggah dengan budaya masyarakat setempat, iaitu kisah Nabi Luth AS yang melarang kaumnya yang mengamalkan LGBT.

f) Dan banyak lagi.



Manakala salah tanggap terhadap ulamak pada hari ini, seperti berikut :

a) Menganggap bahawa tidak perlu mengikut ketetapan para ulamak, kerana mereka bukan maksum. Adakah mereka menantikan seseorang yang maksum untuk dijadikan ikutan?

b) Menganggap bahawa ulamak yang menyampaikan Islam sebagai gila populariti, gila duit dalam sampul dan banyak lagi. Adakah mereka tidak nampak artis yang "meletop letop" dan meletakkan harga ribuan ringgit untuk satu persembahan?

c) Menganggap bahawa ulamak tidak memberi kebebasan kepada masyarakat untuk hidup secara bebas. Adakah mereka tidak sedar bahawa ulamak memperjuangkan kebebasan, tetapi menolak ke"liar"an?

d) Menganggap ulamak sebagai "kurang waras" kerana memperjuangkan undang undang Allah yang didakwa oleh mereka "ketinggalan zaman". Adakah mereka mengukur kemodenan itu dengan memakai pakaian singkat dan menampakkan bulu ketiak?

e) Menganggap bahawa ulamak bercanggah dengan budaya setempat, seperti mendakwa "mencegah kemungkaran" sebagai satu elemen yang menyekat perkembangan budaya dan seni. Adakah meruntuhkan moral itu satu kebebasan peribadi?



Terimalah dengan baik,

Apabila para ulamak menegur dianggap mengkritik, tetapi apabila ada individu lain menghina ulamak, dianggap sebagai kebebasan bersuara.

Apabila ulamak melarang atau mencegah kemungkaran, dianggap menghina dan mencemuh. Tetapi apabila ada individu lain yang mencemuh alim ulamak dianggap sebagai teguran membina.

Apabila ulamak menasihat, dilabel sebagai "tak berhikmah" atau "tidak meraikan". Tetapi apabila ada blogger yang melabel para ulamak sebagai jumud dan ketinggalan zaman, dianggap sebagai perbezaan pandangan yang perlu berlapang dada.

Apabila ulamak mengeluarkan pandangan yang didasari dengan syariat Islam serta bertepatan dengan al Quran dan Hadis yang telah mereka dalami, dianggap sebagai memecah belah serta melabel. Tetapi apabila ada individu yang mentakwil al Quran dan Hadis sewenang wenangnya dianggap sebagai pembaharuan dan kontemporari.

Artikel ini bukanlah untuk men"suci"kan para ulamak, akan tetapi mengharap pertimbangan yang sewajarnya oleh mereka yang keterlaluan dalam mengata itu ini kepada para ulamak. "Ulamak" bukan satu bidang pekerjaan, akan tetapi satu panggilan buat mereka yang mendalami ilmu agama sepertimana kita memanggil doktor bagi mereka yang mendalami ilmu perubatan.

Ada dari kalangan ulamak bekerja sebagai petani, nelayan, doktor, pensyarah, mekanik, peniaga dan ramai lagi. Mereka juga manusia, cuma mereka telah mendalami ilmu agama, biarpun latar belakang mereka yang berbeza sebelum itu.


Terus beristiqamah,

Muhammad Mujahid bin Ir Hj Mohammad Fadzil
Timbalan Ketua
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis
Dewan Ulamak PAS Perak


14 Januari 2015


0 comments: