DESTINASI PERCUTIAN ANDA HUJUNG MINGGU INI


Hari ini turun ke kawasan Kuala Krai bertemu mata dengan guru-guru PASTI khususnya di PASTI yang ditenggelami air. Sambil mengambil peluang membahagikan baju PASTI yang diberikan percuma kepada setiap anak-anak PASTI dan bertanya khabar prestasi proses pembelajaran sesi baru 2015 ditemani oleh saudara Mukhtar, Pengerusi Jawatankuasa Banjir PASTI Kelantan serta saudara Marwan, AJK Pemuda PAS Kota Bharu. Terima kasih kepada pimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krai yang sudi mengiringi daripada awal hingga ke akhir ziarah.

Destinasi pertama ialah di PASTI Ar-Rasyad, Kenor yang berada di dalam DUN Guchil. PASTI ini telah dibuka dengan bilangan pelajarnya sehingga hari ini ialah 32 orang. Menurut gurunya, bilangan pelajar ini biasanya akan bertambah hingga ke bulan Mac setiap tahun. Pada tahun lepas, bilangan akhir pelajarnya ialah 32 orang, ini bermakna jika pada kebiasaannya bilangan ini bertambah menunjukkan bahawa berlakunya peningkatan bilangan pelajar sekalipun PASTI ini ditenggelami air.

Apa yang masih diperlukan di PASTI ini ialah cat dan tenaga sukarelawan untuk turun mengecat bangunan PASTI yang luntur akibat lumpur tebal yang melanda. Alhamdullillah, meja dan kerusi sudah dibekalkan dengan usaha Pemuda PAS Kuala Krai. Justeru, jika ada sukarelawan yang sanggup turun khususnya hujung minggu ini, PASTI Ar-Rasyad, Kenor boleh menjadi salah satu destinasi percutian anda dengan membawa cat dan juga peralatan untuk mengecat.

Destinasi kedua ialah di PASTI Az-Zahrah, Pahi tidak jauh dari bandar Kuala Krai. Alhamdulillah, kami dapati PASTI ini sedang dibersihkan dengan serius dan juga usaha untuk membangunkan dinding baru juga sedang berjalan. Terima kasih kepada pasukan sukarelawan dari Perlis dan juga kumpulan mahasiswa dari UKM yang hadir bersama rombongan Pencetus Ummah membersihkan PASTI ini pada hari ini.

Di PASTI ini, keperluannya juga ialah cat dan sukarelawan untuk mengecat. Guru juga jika boleh mahukan agar dibekalkan rak almari dan juga meja guru yang sudah lebur dihanyutkan air. Terima kasih kepada pasukan Cikgu Bard dari SAMM yang sudi membekalkan meja baru untuk anak-anak PASTI di sini.

Seterusnya, kami turun ke PASTI Ar-Riduan, Sungai Peria, Manek Urai. Alhamdulillah, di sini juga mencatat peningkatan bilangan pelajar yang ketara sekalipun berdepan dengan kemelut banjir yang melanda. Keperluan di sini ialah syiling, cat bersama kelengkapannya, almari, tikar getah dan peti sejuk.

PASTI keempat destinasi kami ialah PASTI Nur HIdayah, Slow Machang, Manek Urai. Terima kasih saya rakamkan kepada Jabatan Amal Negeri Kedah yang telah bertungkus lumus membersihkan lumpur tebal di PASTI ini seusai surutnya banjir. Di PASTI ini juga, keperluan sangat kritikal terhadap meja dan kerusi untuk pembelajaran anak-anak PASTI. Selain itu, cabinet buku, papan tulis (whiteboard) serta pemain cakera padat DVD juga boleh disumbangkan untuk melancarkan proses pembelajaran. Pesan cikgunya, jika ada individu yang dermawan, dapatlah kiranya menyiapkan pemasangan jubin di bahagian dapur dengan keluasan 10 x 40 kaki.

Berikutnya ialah PASTI Nur Falahiah, Sungai Sok, Kuala Krai. Sekalipun PASTI ini tidak ditenggelami air semasa banjir yang lepas namun berikutan ia dikelilingi oleh air sungai yang tinggi, ia menjadi pusat pengumpulan barangan dan juga menjejaskan sebahagian strukturnya. Cukup menyedihkan, atap zink yang melindungi di atas juga mengalami kebocoran yang mengakibatkan anak-anak PASTI sentiasa ditimpa air hujan di hujung tahun. Begitu juga dengan struktur dinding yang sangat dhoif boleh menjejaskan keselamatan anak-anak PASTI yang datang untuk menimba ilmu agama. PASTI Nur Falahiah, Sungai Sok di dalam DUN Manek Urai, boleh menjadi destinasi percutian anda menabur bakti hujung minggu ini.

Saya juga sempat singgah di PASTI Manek Urai Lama yang dijaga oleh Pengerusi Majlis Guru PASTI (MGP) Kawasan Kuala Krai, Cikgu Mariam (atau nama mesranya Kakyam). Walaupun sudah banyak pihak singgah di PASTI ini untuk melakukan proses penambahbaikan, namun ia masih cukup dhaif untuk dimulakan sesi pembelajaran. Masih banyak yang perlu dibaiki, Alhamdulillah, hari ini proses pendawaian sedang dilakukan oleh sahabat-sahabat dari Ketereh. PASTI ini antara yang sangat terjejas ketika banjir yang lepas. Di sekelilingnya bagaikana tsunami dengan lumpur berterbangan. Itu belum mengambil kira situasi Kakyam yang juga teruk keadaan rumahnya dilanda banjir. Di sini, jika anda datang, bawa bersama penutup hidung kerana debu-debu yang boleh menjejaskan kesihatan. Selain itu, sangatlah dialu-alukan jjika ada pasukan yang boleh ‘bertumas’ dari awal hingga ke ahir menyiapkan binaan dan proses penambahbaikan PASTI ini.

Tidak jauh dari PASTI Manek Urai lama ini tersergam pula PASTI Al-Sabri, Manek Urai Baru. Bilangan pelajarnya cukup ramai iaitu 50 orang setakat ini. Menurut khabar Cikgu Fatonah Awang yang mengajar di PASTI ini, mereka masih memerlukan meja untuk para pelajar belajar dengan selesa. Jika ada pihak yang sanggup membekalkan meja dengan kapasiti 50 orang anak-anak kecil ini, sangatlah dialu-alukan.

Catitlah tujuh PASTI ini untuk menjadi destinasi percutian bakti anda hujung minggu ini. Jangan dianggap isu banjir ini telah selesai. Datanglah sekadar bertanya apa khabar dan hulurkan bantuan sekadar mampu. Manalah tahu, jika bertanya APA KHABAR pun boleh menang anugerah Juara Lagu, siapa sangkap bertanya apa khabar kepada guru-guru PASTI yang menerima musibah ini, anda dapat menjuarai rahmat dari Allah SWT.

Terima kasih kepada semua pihak yang telah datang membantu di kawasan ini khususnya PASTI Malaysia yang mengatur gerak langkah PASTI Negeri-negeri untuk hadir berukhuwwah dengan kami pasca banjir ini. Hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa sahabat-sahabat.

Terima kasih juga kepada Pemuda PAS Kuala Krai khususnya PASTI Kawasan yang bertungkus lumus menyelia kehadiran petugas luar. Usah dipersoal komitmen mereka, seluruh kepimpinan Pemuda PAS Kuala Krai juga menjadi mangsa banjir. Ketuanya, saudara Nazman masih tidak mampu pulang ke rumah akibat kehancuran total kelengkapan rumahnya. Anak isterinya berlindung di pusat operasi sedang dia keluar berbakti kepada masyarakat. Demikian juga sahabat-sahabat pimpinan yang lain.

Pemuda PAS Kuala Krai antara yang telah mewarnai dengan indahnya pasca banjir di kawasan ini. Mereka ialah the unsung hero!


Sekian.
AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Pengarah Jabatan Pendidikan PASTI Negeri Kelantan.

21 Januari 2015

0 comments: