Mahkamah Persekutuan sudah pun membuat keputusan sabitan bersalah terhadap Azilah Hadri dan Sirul Azhar, mereka akan dikenakan hukuman mati. Namun, persoalan yang masih belum terjawab sehingga kini ialah apakah motif pembunuhan model warga Mongolia, Altantunya Sharibuu.? Motif adalah elemen yang sangat penting yang menjurus kepada perlakuan membunuh, apatah lagi mereka disabitkan dengan tuduhan membunuh dengan niat.
Keputusan mahkamah tidaklah dipersoalkan, cuma yang masih menjadi tanda tanya umum ialah mengapa motif pembunuhan tersebut tidak didedahkan.? Adakah kemungkinan disebabkan agenda peribadi atau arahan daripada pihak tertentu.? Tertuduh bukanlah anggota polis biasa, mereka adalah daripada unit elit polis iaitu Unit Tindakan Khas (UTK) yang biasanya bertindak hanya mengikut arahan yang dikeluarkan.
Kehilangan Sirul ke Australia juga menunjukkan ada lompang di dalam sistem keselamatan negara sehingga membolehkan tertuduh bolos dan mendapatkan perlindungan daripada tindakan ekstradisi pihak kerajaan. Bagaimana tertuduh kes jenayah berat yang masih belum selesai kes perbicaraan boleh dengan mudah dibenarkan untuk ke luar negara.? Tambahan pula wajah tertuduh sememangnya sudah lama dibiarkan menjadi misteri dan tidak dapat dicam oleh masyarakat umum.
PAS berharap agar tertuduh diberikan ruang untuk memperjelaskan kepada umum berkenaan motif pembunuhan tersebut agar segala misteri akan terungkai sekaligus mereka yang menjadi mangsa akan mendapat keadilan yang sewajarnya. Dalang di sebalik kes yang kejam ini mestilah diheret ke muka pengadilan juga.
YB Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS Pusat
20 Januari 2015
0 comments: