Isu Surat Menteri Dalam Negeri Kekal Dalam Misteri


1. Penafian demi penafian, itulah yang dapat dilihat di dalam isu surat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada FBI. Beliau memberikan alasan bahawa amalan mengutus surat itu bukanlah luar biasa kerana menteri-menteri sebelumnya pun turut melakukan perbuatan yang sama

2. Namun, apabila Menteri Pertahanan sekarang, Datuk Seri Hishamuddin Hussein menafikan beliau pernah menulis surat sedemikian rupa ketika menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri sebelum Datuk Seri Ahmad Zahid. Begitu juga, yang terbaru penafian dibuat pula oleh Tan Sri Syed Hamid Albar.

3. Kini, timbul pula persoalan siapa yang menipu sebenarnya.? Datuk Seri Hishamuddin yang juga ahli kabinet begitu bersungguh membuat penafian sedangkan dikatakan Datuk Seri Ahmad Zahid sudah membuat penjelasan berkenaan isu ini di dalam mesyuarat kabinet. Hal ini secara tidak langsung menzahirkan perbalahan dalaman UMNO iatu terdapat pihak tertentu yang ingin mematikan karier Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga merupakan Naib Presiden 1 UMNO.

4. Tidak kurang juga khabar yang mengatakan kini perancangan terancang sedang dibuat oleh PM, Datuk Seri Najib Razak untuk menaikkan sepupunya sendiri, Datuk Seri Hishamuddin sebagai bakal pengganti jawatan Perdana Menteri sekaligus menafikan Naib Presiden yang paling kanan, Datuk Seri Ahmad Zahid.

5. Perbalahan dalaman UMNO yang kian kronik ini sudah menjadi rahsia umum. Apatah lagi, PM Najib juga sedang diasak dengan begitu kuat oleh gabungan Tun Mahathir Mohamed dan Tun Daim Zainuddin. “Jikalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang.” Datuk Seri Shahidan Kassim pun mengumumkan kesediaan beliau untuk menjadi orang tengah dan pendamai antara puak yang bertelagah ini.

6. Perbalahan dalaman UMNO bukanlah soal perjuangan membela rakyat seperti yang dicanang tetapi hakikatnya ialah perjuangan merebut dan membolot kuasa, takhta dan harta sesama sendiri. Yang paling rugi dalam hal ini ialah rakyat jelata yang menjadi mangsa. Persoalan keselamatan rakyat telah diperjudikan dan dijadikan batu loncatan oleh pemimpin UMNO untuk menjatuhkan antara satu-sama lain. Isu pokok berkenaan surat Datuk Seri Ahmad Zahid itu terus kekal misteri yang tidak terungkai dan tersimpul rapi di bawah perlindungan Akta Rahsia Rasmi 1972.


Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS

27 Januari 2015

0 comments: