KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS
Pusat, Datuk Mahfuz Omar menggesa kerajaan tidak membebankan rakyat dalam
penstrukturan semula Bajet 2015 yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak, esok.
Beliau ketika dihubungi
Harakahdaily berkata, walaupun negara ini sedang berdepan dengan krisis
ekonomi, kerajaan perlu ada perancangan khusus dan bukan menjadikan rakyat
sebagai mangsa.
"Perlu ada perancangan
khusus dalam memastikan ekonomi negara pulih semula, dalam kita menghadapi
tekanan inflasi seperti sekarang, rakyat tidak boleh dijadikan mangsa begitu
juga pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) perlu ditangguhkan.
"Jika kerajaan terus
menjadikan rakyat sebagai beban ini membuktikan kerajaan yang ada sekarang
cukup lemah," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen
Pokok Sena turut kesal apabila kerajaan ketika membentangkan Bajet 2015 pada
tahun lalu tidak menjadikan harga semasa minyak dunia sebagai panduan.
"Ini kedegilan yang ada
dalam pentadbiran sekarang, kita pada perbahasan bajet lalu menekankan agar
harga semasa minyak dunia perlu diambil kira dalam bajet tersebut tetapi tidak,
kerajaan tetap berdegil dengan alasan mereka sendiri.
"Sekarang kita lihat apa
yang berlaku sehinggakan perlu cadang untuk penstrukturan semula bajet akibat
dari kejatuhan harga minyak dunia.
"Saya tidak melihat di
mana peranan pakar-pakar ekonomi kerajaan dalam memastikan setiap bajet itu
mengikut keadaan ekonomi dunia semasa," tambah beliau.
Beliau turut mengingatkan
kerajaan lebih prihatin dan sedar dengan apa yang berlaku sekarang bagi
memastikan negara ini lebih bersedia menghadapi krisis ekonomi jika berlaku
pada masa akan datang.
"Dulu ketika kita
mempunyai pendapatan yang tinggi kita tidak pernah berfikir untuk membuat
simpanan bagi kegunaan seperti keadaan sekarang.
"Kita berbelanja mewah
dengan pelbagai projek mega, kita perlu ada tabung masa depan untuk digunakan
pada saat-saat getir.
"1Malaysia Development
Berhad (1MDB) sepatutnya menjadi penyelamat negara ini sebaliknya menjadi beban
kepada pendapatan negara dengan hutang, siapa lagi yang kita harapkan,"
tanya beliau. -HARAKAHDAILY 19/1/2015
0 comments: