Kelantan Larang Bina Rumah Di Rizab Sungai


Diterbitkan: 21 Januari 2015
Ditulis oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melarang rumah di atas tanah rizab sungai atau tanah tol yang rosak didirikan semula di tempat sama oleh mangsa-mangsa banjir.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, larangan itu dibuat bagi langkah keselamatan dan mengelakkan kemusnahan berulang jika peristiwa banjir besar berlaku lagi.

Sebaliknya, mereka akan ditempatkan di penempatan baru di kawasan yang telah dikenal pasti sesuai oleh kerajaan negeri.

Jelas Mohd Amar lagi, kerajaan negeri telah mengenal pasti tanah yang sesuai untuk dibangunkan semula rumah untuk mangsa banjir.

“Sebagai contohnya 900 ekar di Mengkebang Kuala Krai.

“Gua Musang pula seluas 250 ekar yang melibatkan beberapa kawasan di situ yang telah dikenal pasti oleh keajaan negeri untuk membangunkan penempatan semula mangsa banjir,” kata beliau selepas mesyuarat exco di sini, hari ini.

Beliau juga memberitahu, sebanyak 600 buah kediaman mangsa banjir akan didirikan bermula hari ini di Berangan Meknab, Machang.

“Dari 600 buah rumah itu, 300 buah daripadanya akan dibina oleh Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK),” katanya.

Beliau juga berkata, Maik memperuntukkan RM12 juta bagi tujuan itu.

Tambah beliau, kediaman lain yang rosak akan dibina oleh Kerajaan Pusat menerusi kemudahan dan agensi yang ada.

Bagaimanapun, menurutnya kerajaan Pusat memerlukan tanah untuk tujuan itu dari kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri hanya akan membina rumah di atas tapak asal kepada penduduk asal kawasan tersebut.

“Kerajaan Pusat bersetuju untuk mendirikan rumah kepada mangsa banjir sebagaimana keputusan yang dibuat dalam mesyuarat bersama penyelarasan banjir di peringkat pusat semalam,” ujarnya.

Selain itu katanya, kediaman yang dijadikan rumah sewa dan rosak akibat banjir tidak akan dibaiki.

Bagaimanapun, kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk membina rumah kekal kepada penduduk tempatan yang rumah sewanya rosak akibat banjir. - HARAKAHDAILY 21/1/2015

0 comments: