Kenyataan Akhbar Berkaitan Kes Mejar Zaidi Ahmad

Diterbitkan: 13 Januari 2015
Ditulis oleh Dato’ Mahfuz Omar

PAS menyatakan sokongan penuh terhadap Mejar Zaidi Ahmad dan menggesa supaya pihak berkuasa tentera menyemak kembali keputusan Mahkamah Tentera yang memecat beliau daripada perkhidmatan atas alasan beliau telah memberikan kenyataan akhbar tanpa kebenaran.
Mejar Zaidi dilaporkan telah didapati bersalah kerana melanggar dua perintah tetap iaitu tidak bercakap dengan pihak media sebelum mendapat kebenaran Menteri Pertahanan dan kerana berkongsi maklumat sulit tentang perintah tetap dengan media tanpa kebenaran Majlis Angkatan Tentera.
Tindakan pemecatan itu tidak selaras dengan hak asasi rakyat Malaysia yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran.
Kesalahan Mejar Zaidi Ahmad hanya kerana beliau menyatakan kebenaran bahawa dakwat yang digunakan dalam proses pilihan raya yang sepatutnya kekal tetapi tidak kekal. Keberanian Mejar Zaidi Ahmad itu sepatutnya dipuji kerana beliau berani tampil ke hadapan bagi menegakkan kebenaran sedangkan yang bersalah yang membekalkan dakwat tidak kekal sehingga kini tiada dikenakan hukuman.
Mahkamah Tentera sewajarnya menimbangkan bahawa apa yang dikatakan kesalahan iaitu memberikan kenyataan akhbar tanpa kebenaran itu adalah bercanggah dengan prinsip kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan itu sendiri. Apatah lagi, Mejar Zaidi itu sendiri telah menimbulkan isu ‘bias’ anggota Mahkamah Tentera yang telah menghukum Mejar Zaidi melalui komennya di facebook. Ini menunjukkan prinsip kebebasan dan integriti anggota Mahkamah Tentera itu sendiri dipertikaikan. Sepatutnya, orang-orang yang menyatakan kebenaran ini disokong dan galakan diberikan kepada mereka untuk terus menyatakan kebenaran.
Keputusan Mahkamah Tentera itu sendiri dilihat tidak selari dengan usaha Perdana Menteri yang mencanangkan transformasi dalam kerajaan. Ini juga satu lagi bukti kegagalan usaha transformasi Perdana Menteri kepada pegawai-pegawai kerajaan. Perdana Menteri juga harus menyemak kembali prosedur dan protokol yang terkandung berkaitan isu ini supaya ianya selari dengan prinsip kebebasan bersuara dan keadilan sejagat.
Begitu berat sekali hukuman yang dikenakan kepada Mejar Zaidi yang begitu cemerlang berkhidmat di dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia sehingga dibuang kerja padahal beliau pernah dianugerahi beberapa pingat cemerlang atas perkhidmatannya.
Tindakan menghukum orang bercakap benar ini juga bertentangan dengan tradisi agama Islam sepertimana yang disebut di dalam hadis Nabi Muhammad SAW kepada sahabat Abu Dzar ra:
“Berkata benar walaupun pahit”
(Riwayat Imam Ahmad)
Akhir sekali, PAS berharap semoga Mejar Zaidi Ahmad dan ahli keluarganya bersabar dengan ujian ini dan yakinlah terhadap janji Allah Taala bahawa kebenaran akan tetap muncul dan kesabaran Mejar Zaidi Ahmad akan tetap diberikan ganjaran yang besar di sisi Allah.
Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap".
(Al-Isra’: 81)
Dato’ Mahfuz Omar
Ketua Penerangan PAS
13 Januari 2015 / 22 Rabiul Awal 1436H

0 comments: