KENYATAAN MEDIA DEWAN 'ULAMAK PAS NEGERI SELANGOR
BERKAITAN ISU KERUNTUHAN AKHLAK MELIBATKAN ORANG ISLAM
DI DALAM KONSERT
DAN PROGRAM-PROGRAM HIBURAN.
Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor memandang serius kejadian yang memalukan yang melibatkan wanita Islam seperti yang dilaporkan berlaku dalam penganjuran konsert K-POP di ibu negara baru-baru ini. Bukan itu sahaja, malah sejak akhir-akhir ini dilaporkan tingkahlaku segelintir penggiat seni Tanah Air tanpa memikirkan batas-batas syarak telah memperlihatkan tingkahlaku yang bercanggah dengan nilai-nilai akhlak dan batas-batas syariat serta budaya ketimuran. Kelakuan negatif yang ditonton oleh segenap lapisan masyarakat ini dikhuatiri memberikan kesan negatif terhadap pemikiran, sikap, pandangan dan cara hidup masyarakat khususnya golongan muda yang akan mula mengenepikan batas-batas syariat dan akhlak dalam kehidupan.
Insiden ini menunjukkan bahawa penguatkuasaan undang-undang sedia ada tidak diperkasa dan dikuatkuasa sebaiknya untuk mengawal tingkahlaku masyarakat muslim supaya menjaga dan memelihara tingkahlaku agar tidak melampaui batas-batas aqidah, syariat dan akhlak sebagai seorang muslim. Adalah menjadi tanggungjawab seluruh masyarakat Islam umumnya untuk saling menasihati anggota masyarakat Islam yang lain agar sentiasa menjaga batas-batas syariat dalam menjalani apa jua aspek kehidupan, sama ada berkeluarga, bermasyarakat, berekonomi, bekerja, berpolitik mahupun bernegara, semuanya hendaklah mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh Islam. Namun bagi anggota masyarakat Islam yang bertanggungjawab sebagai pembuat dasar, sama ada di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan, adalah bertanggungjawab untuk menggubal seterusnya menguatkuasa undang-undang dan peraturan-peraturan seperti yang diperuntukan dalam undang-undang dan bidang kuasa masing-masing bagi maksud memelihara tingkahlaku umat Islam agar tidak melanggar aqidah, syariat dan akhlak Islam dalam menjalani urusan kehidupan seharian.
Bagi mengelak insiden yang memalukan ini berulang dan berlaku ke atas mana-mana orang Islam di negeri Selangor, Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor menggesa agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri Selangor dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), dengan menjadikan Seksyen 31 (Bahagian IV-Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesusilaan), Enakmen 9 Tahun 1995, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 iaitu kesalahan melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam, sebagai senarai sekatan-sekatan lesen atau syarat kelulusan ke atas mana-mana permohonan lesen atau permit penganjuran konsert-konsert dan program-program hiburan di Selangor berdasarkan peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalam Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Selangor) 1995, Peraturan-Peraturan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Selangor) 1996, Undang-Undang Kecil, Kaedah-Kaedah atau Peraturan-Peraturan PBT yang berkaitan. Dalam konteks yang lebih luas, Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor juga menggesa agar penguatkuasaan Seksyen 31 Enakmen ini dikuatkuasakan di tempat-tempat awam dan terbuka termasuk di taman-taman rekreasi, kawasan-kawasan kejiranan serta kawasan-kawasan perkelahan.
Gesaan ini adalah bertujuan untuk menjaga dan mengawal tingkahlaku orang-orang Islam di Negeri Selangor agar berkelakuan tidak melampaui batas-batas aqidah, syariat dan akhlak Islam. Penguatkuasaan Seksyen 31 Enakmen ini juga bertujuan untuk menyedarkan masyarakat Islam tentang wujudnya kesalahan ini di dalam Undang-Undang Syar'ie Selangor serta mewujudkan kesedaran perundangan dikalangan masyarakat dengan memberikan kerjasama dengan Pihak Berkuasa PBT dan Pihak Berkuasa Agama dalam bentuk memberikan maklumat, tampil mengemukakan aduan ataupun dalam bentuk nasihat-menasihati sesama muslim. Adalah diingatkan bahawa, berdasarkan Seksyen 1(2) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, Enakmen ini terpakai hanya bagi orang-orang Islam sahaja dan ianya bertujuan untuk memelihara akhlak dan tingkahlaku mulia sebagai seorang muslim.
Ustaz Nurul Khalil Bin Rosli
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
21 Rabiulawal 1436/12 Januari 2015
0 comments: