Kenyataan Media: Menteri Dalam Negeri Berselindung Di Bawah Akta Rahsia Rasmi

Diterbitkan: 19 Januari 2015
Ditulis oleh Dato’ Mahfuz Omar


1. Penjelasan yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi pada semalam masih belum menjawab persoalan utama. Beliau masih berdalih untuk mendedahkan apakah perkhidmatan keselamatan yang diberikan oleh Paul Phua kepada kerajaan Malaysia..?
2. Sungguhpun beliau menafikan surat itu berbentuk surat sokongan agar Paul Phua tidak dikenakan pertuduhan namun, masih timbul persoalan atas tujuan apa beliau begitu bersungguh untuk mengutus surat tersebut.? Apatah lagi, ia ditulis atas memenuhi permintaan pihak peguambela si tertuduh.
3. Isu yang menjadi pertikaian umum sekarang bukanlah sekadar samada Paul Phua itu ahli kongsi gelap 14 K Triad di Malaysia atau di luar negara tetapi, rakyat menuntut penjelasan Menteri agar berterus-terang dalam penglibatan Paul Phua dalam sistem keselamatan negara.
4. Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri mengakui sedang bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), jadi apakah keperluan penting sehingga memerlukan campurtangan Menteri dalam hal ini.? Kelihatannya Dato’ Seri Ahmad Zahid  begitu yakin dengan maklumat yang dimiliki beliau sedangkan FBI merupakan agensi yang terkenal dengan kecekapan dalam soal risikan dan siasatan. Mungkin selepas ini, bolehlah Dato’ Seri Ahmad Zahid mengutus surat teguran pula kepada FBI agar lebih cermat dan teliti agar tidak mendakwa pihak yang tidak bersalah pada pandangan beliau.

5. PAS masih konsisten dengan penegasan agar pihak kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri agar bersikap telus dalam isu ini. Usah jadikan alasan ‘rahsia besar’ di bawah perlindungan Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk membolehkan pihak kerajaan sanggup bersekongkol dengan raja judi dan kongsi gelap dalam hal keselamatan negara. Perbuatan ini tidak ubah seperti “talam dua muka”, di hadapan rakyat umum melaungkan slogan membanteras jenayah, sedangkan di belakang rupanya mempunyai hubungan erat dan mesra dengan penjenayah.

Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS

0 comments: