Kenyataan Media PAS Sabah : Pemburuan Haram


1. PAS Sabah memandang serius kegiatan memburu secara haram di hutan-hutan simpan di Sabah seperti yang dinyatakan oleh Pengarah Hutan Sabah Datuk Sam Mannan dalam satu surakhabar tempatan isu 28.1.2015.

2. Walau pun saya menyokong cadangan untuk meminda undang-undang mengetatkan kemasukan ke hutan-hutan simpan bagi mengawal kegiatan memburu, saya tertanya-tanya apakah yang berlaku pada undang-undang khas berkenaan kegiatan-kegiatan pemburuan secara salah iaitu Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997? Enakmen tersebut mempunyai peruntukan-peruntukan berkenaan perlindungan haiwan dan pemburuan. Sebagai contoh, seksyen 16 tersebut memjadikan pemburuan binatang di kawasan perlindungan hidupan liar satu kesalahan yang boleh dihukum, jika didapati bersalah, dengan denda sebanyak RM50,000.00 atau penjara 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Sementara seksyen 25 sehingga 27 menyatakan haiwan-haiwan yang boleh dan tidak boleh diburu sama ada secara halangan mandatori atau dengan kebenaran. Kerisauan utama saya ialah – Jika undang-undang spesifik berkenaan pemburuan haram sudah ada, mana pelaksanaannya? Jika undang-undang spesifik tidak dilaksanakan, pindaan terhadap undang-undang lain yang berhubungkait dengannya adalah tidak berguna.

3. Datuk Sam Mannan menyatakan bahawa pemburuan hidupan liar di Sabah sudah mencapai tahap pandemik atau huru hara, seperti dibuktikan melalui kes-kes yang dijumpai, terutamanya, di dalam Hutan Simpan Ulu Segama-Malua dan Danum Valley, kawasan penampan Maliau Basin dan kawasan-kawasan perlindungan yang melindungi saki baki hutan asli dan hidupan liar Sabah. Berdasarkan perkara ini, PAS Sabah dengan rasa penuh rasa rendah diri memohon Pengarah Hidupan Liar Sabah untuk menerangkan di media massa tentang langkah-langkah yang telah diambil oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk menghalang dan memberhentikan aktiviti-aktiviti pemburuan haram di hutan-hutan simpan dan untuk melindungi haiwan-haiwan daripada pemburu-pemburu haram. Jika tindakan-tindakan telah diambil, mengapa keadaan telah menjadi pandemik, seperti yang dinyatakan oleh Datuk Sam Mannan?

4. Datuk Sam Mannan juga menyatakan bahawa penjenayah-penjenayah utama yang berskala besar dalam buruan haram telah dikenalpasti dan maklumat mengenai mereka termasuklah bukti-bukti modus operandi mereka telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. Peranan pemburu asing and serbuan tahunan oleh sebuah kampong juga disebut oleh beliau. Persoalannya sekarang – Adakah pihak-pihak berkuasa, terutamanya Jabatan Hidupan Liar, telah mengambil tindakan terhadap mereka?

5. Saya masih ingat kes 13 ekor gajah pygmy Borneo yang ditemui mati di Hutan Simpan Gunung Rara dalam bulan Januari 2013. Pihak polis mengesyaki gajah-gajah tersebut diracun. Tetapi apa yang sebenarnya berlaku kepada mereka dan apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk mengelak kejadian seumpama itu berlaku semula? Penjelasan daripada pengarah atau pegawai-pegawai dari jabatan hidupan liar dalam perkara ini amat dihargai.

6. Saya memahami risiko keselamatan yang dihadapi oleh para pegawai Jabatan Perhutanan dan Jabatan Hidupan Liar. Jika itu satu masalah, kedua-dua jabatan boleh memohon bantuan pihak polis. Saya dapati dalam bulan April 2009, sebuah kumpulan pemburu-pemburu menyerang secara ganas satu kem jabatan yang terletak jauh di pedalaman di Ulu Segama yang menyebabkan seorang pegawai kanan cedera parah dan. Hasil dari kejadian ini, pihak polis telah meletakkan anggota-anggota General Operations Force dalam bentuk rotasi di hutan simpan. Pihak polis juga telah meluluskan permohonan Jabatan Perhutanan Sabah untuk memberi senjata kepada anggota-anggotanya bagi tujuan perlindungan. Oleh itu, saya percaya pihak polis sentiasa bersedia untuk membantu kedua-dua jabatan. Secara perundangan, seksyen 2 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar mendefinasikan “pegawai yang dibenarkan” termasuk, antara lainnya, seorang anggota polis. Maka, tidak ada alasan untuk tidak memohon bantuan pihak polis.

7. Saya berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan perkara serius ini. Tolong lindungi dan pelihara haiwan-haiwan hidupan liar kita untuk generasi masa hadapan. Jika tidak, siapa lagi? Kita mesti hentikan pembunuhan haiwan-haiwan hidupan liar dengan segera.

8. Terima kasih.



HAMID ISMAIL
Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah III

Bertarikh 29 Januari 2015

0 comments: