Kenyataan Media PAS Titiwangsa- Isu Pembangunan Kampung Baru



Merujuk kepada kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang disiarkan dalam Malaysiakini TV bertarikh 15 Januari 2015 yang lalu, PAS Kawasan Titiwangsa ingin memberikan sedikit maklumbalas berkenaan isu ini. Datuk Bandar mengatakan 10% pemilik tanah menolak pembangunan Kampung Baru. Itu bukanlah angka sebenar kerana tidak ada satu kajian tepat yang dibuat. Jika ada pun kajian tersebut, ramai pemilik tanah yang tidak menyertainya kerana mereka memang tidak bersetuju dengan kaedah pembangunan yang dicadangkan kerajaan.


Untuk pengetahuan Datuk Bandar Kuala Lumpur, penduduk Kampung Baru tidak sama sekali menolak pembangunan, tetapi mereka tidak diberikan penerangan yang jelas tentang mekanisme pembangunan yang akan dilaksanakan, seperti isu perlu berpindah atau tidak, kalau berpindah ke mana, apa yang berlaku sepanjang tempoh pemindahan tersebut, bagaimana dengan soal pampasan, adakah mengikut kadar semasa atau kadar yang lebih rendah. Ini semua persoalan-persoalan yang perlu diberi penerangan yang jelas kepada mereka iaitu pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.


Kerajaan perlu memberi jaminan berkenaan status tanah Kampung Baru samada ia akan kekal dimilik oleh orang Melayu selepas terlaksananya segala pembangunan atau lot-lot komersial akan dijual kepada bukan Bumiputera.  Bagaimana pula dengan status Lembaga MAS yang semakin diketepikan selepas pembangunan Akta Perbadanan Kampung Baru? Kenapa ini boleh berlaku sedangkan itulah medan anak-anak Kampung Baru menyuarakan segala pandangan berkenaan pembangunan di tempat mereka.


Kami menggesa pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru mewujudkan Badan Bertindak untuk menyuarakan hak-hak mereka. Umno yang mengaku kononnya sebagai pembela Melayu, sudah tidak boleh diharap untuk mempertahankan tanah Kampung Baru, selain bertindak sebagai broker demi kepentingan tembolok mereka.



Mej (B) Ustaz Abdullah Abdul Wahab
Yang Dipertua
PAS Kawasan Titiwangsa

0 comments: