KENYATAAN MEDIA YAB USTAZ DATO' MENTERI BESAR KELANTAN
1. Mahkamah Persekutuan
Malaysia yang bersidang di Putrajaya pada hari Selasa, 13 Januari 2015
bersamaan 22 Rabiul Awal 1436 telah menolak rayuan sebuah syarikat pembalakan
iaitu Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd yang merayu terhadap Keputusan
Mahkamah Rayuan Malaysia bertarikh 6 Ogos 2012 yang telah membenarkan rayuan
Kerajaan Negeri Kelantan sekaligus mengenepikan Penghakiman Mahkamah Tinggi
Kota Bharu yang membenarkan tuntutan pihak Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd
bagi jumlah melebihi RM560 juta ekoran daripada dakwaan perlanggaran Perjanjian
Konsesi Pembalakan bertarikh 20 Julai 1964 dan Perjanjian Tambahan bertarikh 6
November 1965.
2. Tindakan menyaman Kerajaan
Negeri Kelantan oleh pihak Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd adalah
terhalang oleh had masa kerana Perjanjian-perjanjian tersebut telahpun
ditamatkan pada 18 Mac 1975 lagi dan sememangnya tidak wujud sebarang
Perjanjian Penyelesaian di antara kedua-dua pihak selepas berlakunya penamatan
tersebut untuk memberikan sebahagian hak terhadap hasil balak kepada Syarikat
Kemajuan Timbermine Sdn Bhd.
3. Syarikat Kemajuan Timbermine
Sdn Bhd sebelum ini telah memfailkan tuntutannya terhadap pihak Kerajaan Negeri
pada 10 Oktober 2004 yang lalu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi menuntut di
antara lainnya suatu deklarasi bahawa penamatan Perjanjian Konsesi Pembalakan
dan Perjanjian Tambahan adalah tidak sah, gantirugi bagi sejumlah RM840 juta,
gantirugi khas, gantirugi am, faedah dan kos. Alhamdulillah, dengan keputusan
Mahkamah Persekutuan ini maka Kerajaan Negeri Kelantan kini adalah tidak lagi
bertanggungan untuk membayar jumlah penghakiman Mahkamah Tinggi tersebut yang
kini telah mencecah melebihi RM1 Bilion termasuk faedah.
4. Saya juga mengambil
kesempatan ini untuk menyatakan bahawa laporan-laporan di dalam beberapa portal
berita yang menyatakan bahawa Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd telah gagal
di Mahkamah Persekutuan semalam bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu
keputusan Mahkamah Rayuan atas sebab-sebab teknikal adalah tidak tepat. Ini
adalah kerana Keputusan Mahkamah Persekutuan Malaysia yang telah memihak kepada
Kerajaan Negeri Kelantan semalam adalah setelah berlangsungnya pendengaran
rayuan penuh dan diputuskan berdasarkan merit sepenuhnya setelah kedua-dua
pihak memfailkan hujahan-hujahan bertulis dan berhujah secara lisan selama dua
hari di Mahkamah Persekutuan.
USTAZ DATO' HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 23 Rabiul Awal 1436
/ 14 Januari 2015
0 comments: