Diterbitkan: 16 Januari 2015 Ditulis oleh penadupp
1.
Mahkamah Persekutuan Malaysia yang bersidang di Putrajaya pada hari Selasa, 13
Januari 2015 bersamaan 22 Rabiul Awal 1436 telah menolak rayuan sebuah syarikat
pembalakan iaitu Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd yang merayu terhadap
Keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia bertarikh 6 Ogos 2012 yang telah membenarkan
rayuan Kerajaan Negeri Kelantan sekaligus mengenepikan Penghakiman Mahkamah
Tinggi Kota Bharu yang membenarkan tuntutan pihak Syarikat Kemajuan Timbermine
Sdn Bhd bagi jumlah melebihi RM560 juta ekoran daripada dakwaan perlanggaran
Perjanjian Konsesi Pembalakan bertarikh 20 Julai 1964 dan Perjanjian Tambahan
bertarikh 6 November 1965.
2.
Tindakan menyaman Kerajaan Negeri Kelantan oleh pihak Syarikat Kemajuan
Timbermine Sdn Bhd adalah terhalang oleh had masa kerana Perjanjian-perjanjian
tersebut telahpun ditamatkan pada 18 Mac 1975 lagi dan sememangnya tidak wujud
sebarang Perjanjian Penyelesaian di antara kedua-dua pihak selepas berlakunya
penamatan tersebut untuk memberikan sebahagian hak terhadap hasil balak kepada
Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd.
3.
Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd sebelum ini telah memfailkan tuntutannya
terhadap pihak Kerajaan Negeri pada 10 Oktober 2004 yang lalu di Mahkamah
Tinggi Kota Bharu bagi menuntut di antara lainnya suatu deklarasi bahawa
penamatan Perjanjian Konsesi Pembalakan dan Perjanjian Tambahan adalah tidak
sah, gantirugi bagi sejumlah RM840 juta, gantirugi khas, gantirugi am, faedah
dan kos. Alhamdulillah, dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini maka Kerajaan
Negeri Kelantan kini adalah tidak lagi bertanggungan untuk membayar jumlah
penghakiman Mahkamah Tinggi tersebut yang kini telah mencecah melebihi RM1
Bilion termasuk faedah.
4. Saya
juga mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa laporan-laporan di dalam
beberapa portal berita yang menyatakan bahawa Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn
Bhd telah gagal di Mahkamah Persekutuan semalam bagi mendapatkan kebenaran
untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan atas sebab-sebab teknikal adalah tidak
tepat. Ini adalah kerana Keputusan Mahkamah Persekutuan Malaysia yang telah
memihak kepada Kerajaan Negeri Kelantan semalam adalah setelah berlangsungnya
pendengaran rayuan penuh dan diputuskan berdasarkan merit sepenuhnya setelah
kedua-dua pihak memfailkan hujahan-hujahan bertulis dan berhujah secara lisan
selama dua hari di Mahkamah Persekutuan.
USTAZ DATO' HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 23 Rabiul Awal 1436 / 14 Januari 2015
0 comments: