Oleh IZWAN ABDUL HALIM
KOTA KUALA MUDA: Selepas 10
tahun tragedi tsunami di mana turut membadai kesannya ke negara ini, masih
terdapat mangsa tragedi itu yang belum mendapat bantuan sebagaimana dijanjikan.
Mantan Pengerusi JKKK Kampung
Tepi Sungai, Ismail Osman, 59 tahun memaklumkan, sehingga kini pemindahan bagi
fasa kedua mangsa tsunami tidak dilakukan sebaliknya perumahan dibina kepada
pihak yang dianggap tidak memerlukannya.
“Selepas tsunami, Menteri
Besar, Dato’ Seri Syed Razak Syed Zain dan Adun Pantai Merdeka, Dr Shuib Saidin
maklum kerajaan telah gazetkan tanah 150 hektar untuk buat penempatan baru
rakyat yang musnah dan yang berpotensi terkena semula tsunami. Dato’ Seri
Abdullah Badawi yang mengisytiharkan untuk penempatan semula ketika itu.
"Pemindahan Fasa Satu
sebanyak 100 keluarga yang rumahnya musnah teruk atau lenyap dipindahkan ke
rumah sementara di Taman Permatang Katong. Manakala pihak kami Fasa Dua iaitu
sebanyak 200 keluarga yang tinggal di persisiran pantai walaupun rumah tidak
lenyap tetapi rosak teruk serta berpotensi kena tsunami semula.
"Kami dijanjikan akan
diberi juga penempatan untuk mengelak tragedi yang mengundang maut berkenaan.
Kebanyakan rumah penduduk Fasa Dua hanya sekitar 30-50 meter sahaja daripada
gigi air laut," terangnya ketika menerima ziarah Dewan Pemuda PAS Sungai
Petani di rumahnya, di sini 28 Januari.
Terangnya lagi, beliau terkejut
kerana Kerajaan Persekutuan ketika itu telah membina Fasa Dua di Kuala Muda,
Kepala Batas iaitu kawasan Perdana Menteri dan bukannya di Kuala Muda Kedah.
Tetapi katanya, 450 keluarga
dari Kuala Muda, Kepala Batas pula dipindah ke perumahan baru di Taman Desa
Kuala Muda Kepala Batas, sedangkan tempat mereka kurang berisiko sepertimana di
persisiran pantai Kuala Muda Kedah.
"Pihak kami telah berusaha
pelbagai cara. Hantar surat ke Putrajaya, usulkan dalam mesyuarat Umno. Kami
berjaya dapat maklum balas Jabatan Perdana Menteri pada 19 Julai 2010 yang
menyatakan dalam perhatian dan pertimbangan.
Tetapi hingga kini tiada
tindakan. Kami mohon isu ini jangan dipolitikkan dan tujuan pihak kami agar
pihak Pemuda PAS dapat membantu menyuarakan hal kebajikan kami," tambah
Ibrahim Latif jiran Ismail yang turut menjadi mangsa.
0 comments: