KENYATAAN MEDIA
TIMBALAN KETUA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
19 Januari 2015 | 29 Rabi’ul Awwal 1436
“MALAYSIA DISARAN AKTIF DALAM UNSC”
Malaysia telah dipilih sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada bulan Oktober 2014 dengan mandat majoriti undian yang besar. Seharusnya, pemilihan dan sokongan yang kuat tersebut harus dimanfaatkan untuk menyuarakan bantahan lebih efektif bagi mengurangkan tekanan terhadap umat Islam yang sedang berlaku di dunia pada hari ini.
Kebanyakan negara Barat telah memberikan pandangan yang prejudis setelah insiden yang berlaku di Sydney pada 15 Disember 2014 (Sydney Hostage Crisis) dan yang terbaru di Paris pada 7 Januari 2015 (Charlie Hebdo). Kebanyakan mereka terus melabelkan tindakan-tindakan tersebut sebagai ‘Islamic terrorism’ tanpa justifikasi yang adil. Perkara ini dilaungkan seiring dengan ancaman militan Islamic State yang didakwa telah meluas di Eropah.
Secara tidak langsung, persepsi tersebut telah meningkatkan sentimen Islamophobia dan terus memalitkan imej negatif terhadap umat Islam khususnya yang menetap di Eropah. Pihak-pihak tertentu telah mengambil kesempatan dan melancarkan tindakan reaksionari terhadap institusi Islam seperti masjid, kawasan umum, premis komersial dan residen orang Islam. Perkara ini akan terus menjejaskan perkembangan Islam dan dibimbangi akan menjadi asbab untuk terus mengancam populasi masyarakat minoriti Islam di negara tersebut.
Di Dresdan Jerman, hampir 20,000 rakyat berdemonstarasi dan melaungkan anti imigran dan anti Islam. Mereka bersatu atas slogan Patriotische Europäer gegen die Islamisierung des Abendlandes (Pegida) atau Patriotic Europeans Against the Islamization of the West. Pada masa yang sama, novelis Perancis telah menulis sebuah buku bercorak distopia bagi menggambarkan ekstremisme terhadap umat Islam.
Malah, pada masa yang sama, dunia tidak mengutuk kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin ketika Benjamin Netanyahu turut sama menghadiri perhimpunan anti keganasan di Grand Synagogue, Paris yang turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin dunia yang lain . Terbaru, dia mendakwa ‘wave of Islamization’ telah melanda Eropah Barat dan akan mengancam masyarakat Yahudi di benua tersebut.
Dalam hal ini, saya menyeru seluruh rakyat dan pemimpin negara untuk bersolidariti dan memberi sokongan terbuka kepada Palestin yang akan mengheret Israel ke muka pengadilan di International Criminal Court (ICC) di The Hague bermula 1 April 2015 ini. Israel telah melakukan pembunuhan terhadap lebih 2,000 rakyat awam Palestin dalam peperangan yang berlangsung sekitar 50 hari tahun lalu.
Malaysia harus menonjolkan peranan yang aktif ketika keberadaannya dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ini peluang yang harus dioptimakan sementara tekanan terhadap umat Islam khususnya di Eropah semakin memuncak. Dalam hal tertentu, Malaysia juga harus berani menjelaskan pendiriannya terhadap sekutu kuat Israel iaitu Amerika Syarikat.
Sekian.
Mohd Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia
0 comments: