MB Letak Batu Asas Perumahan Rakyat Budiman

KUALA KRAI: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob hari ini merasmikan peletakan batu asas rumah kekal pasca banjir Perumahan Rakyat Budiman sebagai projek perintis.
Rumah pertama untuk mangsa banjir itu didirikan di Kampung Temiang dengan kos RM37,000 sebuah.
Peruntukan berkenaan disumbang orang ramai dari seluruh negara.
Ustaz Ahmad mengucapkan terima kasih di atas usaha yang dibuat oleh Pemuda PAS itu sehingga ia bakal mengecap kejayaan.
“Kerajaan negeri telah berusaha ke arah yang sama dan beberapa penyumbang telahpun mendermakannya, tetapi kita bersyukur kerana usaha Pemuda PAS telah menampakkan hasil yang awal,” ujarnya.
Turut hadir pada majlis itu, anggota exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Anggota Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kiat, Adun Mengkebang, Abdul Latif Abdul Rahman, Ketua Pemuda PAS negeri, Ahmad Fadhli Shaari.
Hari ini lima pihak telah tampil untuk menderma sebuah rumah, antaranya Dewan Muslimat PAS Pusat, Jabatan Amal Johor, PAS Kawasan Muar, Saudara Ishak Ismail dan Norhaslinda.
Turut menyumbang PAS Negeri Melaka, Dewan Pemuda PAS Johor, Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.
Sumbangan disampaikan oleh wakil-wakil penyumbang kepada Menteri Besar.
Suhaizan ketika ditemui memberitahu, pihaknya mensasarkan peringkat pertama untuk menyiapkan enam buah rumah hasil derma orang ramai di tempat yang teruk dilanda banjir seperti di Gua Musang, Tanah Merah dan Kuala Krai.
Katanya, rumah perintis akan siap mengikut jadual dan akan dikembangkan ke tapak-tapak baru yang telah dikenal pasti.
“Tawaran harga RM35,000 hingga RM40,000 kita buka untuk penyumbang bagi menyiapkan sebuah rumah untuk mangsa banjir dengan keluasan 800 kaki persegi mengikut hasrat kerajaan negeri termasuk empat bilik,” ujarnya.
Menurutnya, sememangnya Pemuda PAS tidak mampu membina rumah, tetapi dengan sokongan rakyat Malaysia yang pemurah ia mampu dilaksanakan. - HARAKAHDAILY 13/1/2015

0 comments: