KUALA LUMPUR: Projek Perumahan Rakyat Budiman (PPRB) khususnya buat mangsa-mangsa banjir di Kelantan yang diilhamkan oleh Pemuda PAS Malaysia bakal dilaksanakan April 2015 ini.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata, projek perintis PPRB akan dilaksanakan di alamat No.11 Kampung Temiang Kuala Krai iaitu di Dun Manek Urai.
Katanya, Menteri Besar Kelantan Ustaz Datuk Ahmad Yakob akan merasmikan projek perintis pada 13 Januari ini jam 10 pagi.
"Ini merupakan rumah pertama PPRB yang akan dibina dan akan siap Febuari ini," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS petang ini.
Pemuda PAS mensasarkan pembinaan rumah dalam anggaran lima peratus daripada jumlah kemusnahan ekoran banjir tempoh hari.
Suhaizan berkata, projek ini akan melalui beberapa fasa iaitu fasa pertama mensasarkan lima unit dan akan bertambah mengikut jumlah sumbangan yang diperolehi daripada penyumbang.
Fasa pertama akan siap April 2015, dan Fasa kedua akan siap julai 2015.
Katanya konsep rumah yang akan dibina nanti merujuk model Rumah Dhuafak yang pernah dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan, dianggarkan berharga RM37,000.
"Rumah bersaiz 34x24 kaki persegi mempunyai tiga bilik, satu beranda, satu dapur dan ruang tamu sesuai rumah asas yang diperlukan oleh mangsa banjir. Jika mereka berkemampuan terpulang pada mereka untuk membesarkan rumah," katanya.
Rumah Budiman yang akan diberikan secara percuma ini, bagaimanapun katanya pemohon perlu memenuhi syarat iaitu rumah keseluruhan musnah, warga negara Malaysia, memiliki tanah sendiri, mereka yang miskin pendapatan bawah RM1,000 dan pekerjaan tidak tetap.
Tambahnya, mana-mana penyumbang yang bersedia untuk membangunkan rumah ini amatlah dialu-alukan namun ianya perlu berdasarkan pelan yang ditetapkan pihaknya.
"Kita telah dapat khidmat kepakaran konsultan dan arkitek untuk kita laksanakan secara selamat atas pengawasan pakar," katanya.
Menurut Suhaizan jumlah sumbangan yang terkumpul di dalam Tabung Kemanusiaan Pemuda sehingga kini kira-kira RM155,092.57.
Tabung ini mula dibuka pada 25 Disember 2014 hingga 30 Jun 2015 untuk mengumpul lagi sumbangan orang ramai bagi kerja-kerja membina Rumah Budiman.
Semua pihak boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Maybank Berhad: 5640 2540 0100.
Bagi melihat perkembangan pembinaan Rumah Budiman ini para penyumbang boleh melayari laman web www.rumahbudiman.com ataupun menghubungi talian 019-2447172. - HARAKAHDAILY 10/1/2015
0 comments: