Kenyataan Media Mahfuz
Omar
PAS Sambut Baik Penubuhan Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir
Peringkat Negeri Kelantan
PAS Pusat menyambut baik
penubuhan Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir Peringkat Negeri Kelantan
hasil persetujuan bersama antara Putrajaya dan Kota Darul Naim. Hubungan erat
dan kerjasama baik di peringkat ‘Government to Government’ ini adalah merupakan
episod baru dalam sejarah pentadbiran PAS di Negeri Kelantan semenjak tahun
1990.
Hubungan baik ini sewajarnya sudah sekian lama dibina kerana semangat
federalisme itu ada termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia. Perbezaan idelogi
politik parti pemerintah di peringkat pusat dan negeri tidak sepatutnya
dijadikan alasan untuk menafikan hak rakyat yang sepatutnya dibela oleh semua
pihak.
Segala luka lama seperti penderaan terhadap rakyat Kelantan yang
dinafikan hak mendapat royalti minyak, lebuhraya yang sempurna, dan pelbagai
peruntukan yang disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)
hendaklah diubati segera. Usahlah mengulangi kezaliman penarikan royalti minyak
ketika PAS mentadbir Negeri Terengganu dahulu.
Semangat federalisme yang tulen itu menjamin keadilan dan
hak untuk semua rakyat tanpa menjadikan perbezaan idelogi politik sebagai
tembok penghalang. Atas semangat ini jugalah hubungan rasmi yang dijalin antara
kerajaan pusat dan negeri boleh dibina dengan baik tanpa menimbulkan polemik
kewujudan kerajaan campuran antara UMNO dan PAS di Kelantan.
PAS dengan penuh harapan agar episod baru dalam
hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ini akan membawa
rahmat kepada seluruh rakyat yang baru ditimpa musibah serta mengangkat
lembaran politik baru yang lebih matang, terbuka dan demokratik.
YB Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS Pusat
0 comments: