PASCA BANJIR : 600 BUAH RUMAH UNTUK MANGSA BANJIR !




Program utama YAB Ustaz Dato' Haji Ahmad Yakob kepada rakyat di Kelantan antaranya ialah Rumah Mampu Milik dan beliau telah berusaha untuk melihat satu keluarga memiliki sebuah rumah sendiri. Beliau telah mensasarkan dalam tempoh 4 tahun bermula 2014 antara 2000 hingga 5000 unit rumah mampu milik disiapkan untuk rakyat di Negeri ini.

Pasca banjir baru-baru ini, beliau telah menubuhkan Jawatankuasa Task Force dan setelah seminggu penubuhan beliau telah meninjau lokasi-lokasi dilanda banjir untuk melihat tapak rumah kekal yang sesuai dan selamat. Setelah beberapa kali ke Kuala Krai kemudian Tanah Merah, Gua Musang dan lokasi lain yang dilanda banjir, beliau berusaha mendapatkan sejumlah dana bagi membina penempatan kekal mangsa banjir yang mengalami kemusnahan keseluruhan rumah mereka.

Sebelum ini, dengan usaha beliau menerusi mesyuarat Jawatankuasa Khas Banjir Negeri dan dengan bantuan agensi Kerajaan Negeri serta Persekutuan, para dermawan juga NGO, maka penempatan sementara melalui bantuan penempatan khemah kanvas dan rumah transit dapat didirikan di beberapa lokasi khususnya di bandar utama Gua Musang dan juga Kuala Krai.

Kini, beliau mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan akan membina sejumlah 600 unit rumah yang setaraf dengan rumah mampu milik seluas 800 kaki persegi yang mempunyai 3 bilik. Kos paling tinggi bagi satu unit rumah tersebut dijangka RM 40 ribu dan anggaran keseluruhan berjumlah RM 24juta. Rumah kekal ini akan dibina di seluruh kawasan yang dilanda bencana dan khusus kepada mangsa yang mengalami kemusnahan rumah 100%.

Insya-Allah, YAB Ustaz Dato' Haji Ahmad Yakob akan turun merasmikan tapak rumah kekal pada khamis 22 januari 2015 ini yang bertempat di Manek Urai, Kuala Krai. Sementara data-data untuk bilangan rumah yang masih boleh didiami namun mengalami kerosakan harta benda juga akan dibuat perkiraan dari semasa ke semasa untuk meringankan beban rakyat yang dilanda kesusahan akibat banjir baru-baru ini.


MOHD ASRI BIN MAT DAUD
Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan

Bertarikh: 29 Rabiul Awwal 1436/19 Januari 2015

0 comments: