PEMERIKSAAN KE ATAS SEMUA PROJEK PERUMAHAN RAKYAT (PPR)

PEMERIKSAAN KE ATAS SEMUA PROJEK PERUMAHAN RAKYAT (PPR)

Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada Puan Norsahura Sahara Mohamad di atas kehilangan anak beliau, Adik Muhammad Hazriq Danish Ain Alden yang telah kembali ke rahmatullah setelah terjatuh dari tingkat 6, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara petang semalam.

Saya telah menziarahi beliau pagi tadi dan dapat merasakan kesedihan yang dilalui oleh beliau sekeluarga.

Kerajaan Negeri memandang serius kejadian semalam dan Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) akan melaksanakan kerja-kerja membaikpulih dengan segera demi keselamatan dan keselesaan penduduk. PHSSB adalah syarikat milik Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS). Ia telah mengambil alih penyelenggaraan PPR itu dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sejak 2013.

Untuk Belanjawan 2015, sebanyak RM 5 juta telah diperuntukkan untuk membaikpulih PPR tersebut oleh Kerajaan Negeri.

Kerja-kerja yang disenaraikan adalah membaikpulih lif, paip air dan ‘railings’ di balkoni dan tangga. Kerja-kerja membaikpulih itu akan dimulakan secepat mungkin.

Untuk memastikan keselamatan penduduk terjamin, LPHS akan juga menjalankan pemeriksaan ke atas semua PPR di Selangor dalam masa yang terdekat.

Sebelum ini, dalam tahun 2012 sebanyak 12 buah lif dan 8 buah pam air telah dibaikpulih atau diganti dengan kos lebih RM 1.16 juta di PPR Kota Damansara.

Sementara untuk PPR Putra Damai, Lembah Subang sebanyak 17 lif dan 16 pam air telah dibaikpulih atau diganti dalam tahun tersebut dengan kos lebih RM1,9 juta.


Y.B. Dato’ Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
29 Januari 2015.

0 comments: