Pilihan Raya PBT : Mustafa Cabar Guan Eng Bersemuka


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mencabar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bersemuka berhubung isu pilihan paya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata demikian di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Turut serta ialah penolongnya, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

"Tak kiralah bersemuka...debat...saya cabar dia bersemuka," katanya.

Beliau mahu pertemuan itu dibuat secara terbuka supaya semua masyarakat menentukan siapa yang berbohong atau sebaliknya.

"Kalau hubungi macam tu, dia (Lim Guan Eng) boleh anggap satu perbincangan untuk setuju, itu tidak betul," katanya lagi.

Tambahnya, jika tiada pertemuan perkara ini akan berlarutan dan ianya tidak berjaya diselesaikan secara bijak.

"Saya minta Lim Guan Eng terima permintaan saya. Di mana tempat itu kita tentukan. Bila cakap dekat, saya boleh betulkan yang tak betul. Ini jalan penyelesaian waktu ini. Paling kurang kita boleh redakan keadaan," jelas Mustafa.

Terdahulu beliau menjelaskan tidak pernah dihubungi Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebelum Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan Pulau Pinang dibentangkan di Dun.

Bagaimanapun beliau mengakui dihubungi Guan Eng beberapa hari selepas enakment tersebut dibentangkan.

"Saya kata perkara dah dibentang, jadi saya tunggu kenyataan SPR kerana berdasarkan pengalaman pilihan raya PBT tidak akan dipersetujui SPR.

"Saya tidak hebohkan perkara ini kerana tanpa perbincangan dengan pimpinan Pakatan Rakyat," jelasnya.

Namun di Selangor katanya, Pakatan Rakyat pernah mengadakan perbincangan untuk pilihan raya kerajaan tempatan negeri itu.

Mustafa berkata Guan Eng perlu memahami pilihan raya PBT tidak termasuk dalam dasar besar Pakatan Rakyat bagitu juga hudud di Kelantan.

"Apabila menjadi polisi ia akan melibatkan semua negeri Pakatan Rakyat dan semua negeri wajar mengikuti. Jadi pilihan raya PBT tidak termasuk dalam polisi bersama.

"PAS tidak boleh laksana sebab hudud tidak termasuk dalam polisi bersama. Saya jawab sebagai contoh polisi bersama. Saya sebut kalau PAS tidak boleh laksana hudud bagaimana DAP boleh laksanakan pilihan raya PBT.

"Tetapi DAP Pulau Pinang kemukakan itu tanpa rujuk kepada pusat. Ini contoh cakap tak serupa bikin," ujarnya.

Mustafa berkata demikian bagi menjawab kenyataan Guan Eng yang mendakwa dirinya tidak bercakap jujur dalam isu pilihan raya PBT selepas Guan Eng mendakwa Mustafa dan Presiden PAS sudah dihubungi dan tidak membantahnya. - HARAKAHDAILY 28/1/2015

0 comments: