PONDOK TIDAK HARUS DICURIGAI, PRASANGKA NEGATIF ADALAH PENGARUH DARI ISLAMOFOBIA BARAT


Kenyataan Media MAPIM 
28 hb Januari 2015


PONDOK TIDAK HARUS DICURIGAI, PRASANGKA NEGATIF ADALAH PENGARUH DARI 
ISLAMOFOBIA BARAT

MAPIM berpendapat institusi pondok dan madrasah tidak harus dicurigai dan dilabel sebagai institusi yang melahirkan kelompok militan. Tanggapan dan andaian umum bahawa seolah pondok merupakan punca wujudnya individu berkecenderungan militan adalah sama dengan polisi yang diperkenalkan oleh kuasa imperialis Barat yang mahu menanam kecurigaan dan fobia dikalangan masyarakat awam kepada institusi pondok di negara-negara umat Islam.

Mengaitkan pondok dengan isu keselamatan adalah agak keterlaluan. Jika ada kes mereka yang mengajar atau belajar dipondok terlibat dengan aktiviti militan ia harus dilihat diperingkat individu dan bukan menggambarkan secara umum seolah institusi pondok adalah punca fahaman ekstremisme dan militan.

Dalam perdebatan politik dunia kini yang sangat polarisitik, institusi pondok tidak harus dikambing hitamkan. Pondok sebagai simbol institusi tradisional Islam di negara ini tidak harus menjadi mangsa kepada tanggapan yang negatif.

Setelah insiden September 11, memang kuasa besar Barat melalui pelbagai agensi sekuritinya seperti CIA, MI 5 dan MOSSAD telah melihat madrasah, pondok dan pesanteran sebagai sebahgian dari program "memerangi terorisme" dengan itu mereka mendesak semua kerajaan negara Islam diseluruh dunia memantau madrasah tradisional.

Debat melihat institusi pondok malah institusi pendidikan agama dari kacamata sekuriti adalah berpunca dari sikap prejudis yang dipopularkan oleh pengaruh "war on terrorist". Dari satu sudut terdapat mereka yang mahu membendung perkembangan Islam radikal dan militan, dan dari sudut lain, ada mereka yang mahu mempertahan dan membela kemandirian institusi agama yang merasa disalah anggap dalam perdebatan mengenai gerakan militan.

Memperdebatkan isu pondok dan madrasah yang sarat dengan kenyataan yang terlalu umum, ketidaktepatan fakta dan adakalanya sensasionalisasi, tidak membantu masyarakat untuk memahami institusi pondok dan cabaran pendidikan yang didepani oleh kerajaan negara ini. Adalah suatu sikap yang tidak bertanggungjawab untuk membuat generalisasi umum terhadap institusi pondok.

Kami percaya kepimpinan pondok sangat sedar mengenai isu gerakan militan dan mereka tahu mengenai hal yang boleh menjejaskan pelajar mahupun para pendidik. Akan tetapi ini tidak bermakna seolah pengaruh militan berpunca dari pondok.

Kami faham kepimpinan pondok juga sedar wujud keganasan dan konflik sektarian dalam dunia sekarang ini. Mereka juga tahu betapa wujud pendalang dari kuasa besar yang sentiasa merencana bagaimana memecah belahkan umat Islam dengan mengguna kumpulan yang boleh mencetuskan keganasan.

Pada hakikatnya madrasah dan pondok bukan sumber kepada kewujudan kumpulan radikal. Malah pemikiran yang mempengaruhi pelbagai kelompok untuk memisahkan masyarakat Islam kepada label "ekstrimis", "moderate" dan "terrrorist" itulah yang sebenarnya punca kepada ketegangan. Malah ketidakseimbangan darjat sosio-ekonomi serta ketidakadilan sosial yang berlaku dalam proses pembangunan negara dan dunia turut menyemarakkan konflik dalam masyarakat.

Bagi kami pendidikan arusperdana yang lebih diutamakan serta segala kemudahan yang diberi kepada institusi yang ditaja oleh kerajaan dan syarikat konglomerat itulah yang telah menyisih institusi pondok dan madrasah dan akibatnya ini telah melahirkan rasa terpinggir oleh para pendidik dan pelajar madrasah dan pondok.

Harus di ingat sumbangan berdekad-dekad pondok dan madrasah yang wujud dinegara inilah yang telah dapat mempertahankan jati diri negara ini sebagai negara umat Islam. Sistem pendidikan arusperdana sehingga kini masih belum menjamin keutuhan aqidah dan penghayatan Islam dikalangan penuntut untuk melahirkan masyarakat Islam yang boleh dicontohi.

Lantaran itu mencurigai dan memantau secara khusus institusi pondok dan madrasah atas alasan ia menjadi punca kepada lahirnya kelompok militan adalah suatu tidak adil dan prasangka yang tidak wajar.


Mohd Azmi Abd Hamid
Presiden MAPIM

0 comments: