Pepatah Arab
menyatakan : “Dia yang zalim terhadap saya, dia pula yang mengadu. Dia yang
memukul saya, dia pula yang menangis”. Inilah yang terkini dialami oleh Islam dan penganutnya.
Islam dituduh
membawa keganasan, maka penganutnya seringkali dikaitkan dengan pengganas
apabila berlaku sesuatu tragedi yang secara kebetulannya dikaitkan dengan
penganut Islam. Maka diperbesarkanlah, laksana titik kecil dibesarkan menjadi
kubah hitam yang besar.
Walaupun ianya
menjadi catatan sejarah dilakukan oleh pihak bukan Islam berkali ganda banyak
dan besarnya di sepanjang zaman, khususnya apabila penganut Islam menjadi
mangsa di seluruh pelusuk dunia. Senjata pemusnah yang digunakan oleh negara
maju telah mengorban manusia tanpa dosa lebih ramai daripada jumlah mangsa
binatang paling buas, disembunyikan dan dikebalkan pelakunya oleh undang-undang
ciptaan manusia yang berkuasa besar dan berkuasa Veto di PBB. Lihat sahajalah
Projek Manhattan oleh U.S. Army Corps of Engineers yang mula mengeluarkan bom
atom yang pertama, yang akhirnya mengorbankan tidak kurang dari 200,000
penduduk Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945. Rakyat Palestin pula dibunuh
dalam masjid, di jalan raya dan dalam rumah kediaman hampir setiap minggu;
selain dari itu juga pembunuhan muslim Rohingya, Kashmir, Afrika Tengah dan
lain-lainnya. Siapa yang mengenangkan nasib mereka ini ?
Sumbangan Islam Kepada Barat
Sepatutnya hal
ini di lihat secara kajian adil terhadap ajaran Islam daripada sumbernya yang
asal, iatu kitab suci al-Quran dan Sunnah ajaran Rasulullah S.A.W. Catatan
sejarah awal penganut Islam telah berjaya mengislahkan tamadun manusia yang
dirasai sedikit serpihannya oleh tamadun barat yang dibanggakan pada awalnya,
tiba-tiba terserlah tanda merudumnya di zaman mutakhir, kerana salah ciplaknya
mengambil ilmu tanpa iman dan akhlaknya.
Barat bukan
sahaja mengambil sains dan teknologi daripada ilmu Islam bahkan Demokrasi moden
yang boleh menukar kerajaan tanpa senjata seperti sebelumnya. Semua ini adalah
hasil kajian para orientalis daripada kitab-kitab para ulama Islam daripada
semua mazhab.
Kaedah Panduan Al-Quran
Al-Quran
menetapkan uslub dakwah dan pelaksanaan Islam secara bijak tanpa paksaan,
kerana paksaan melahirkan munafik. Islam mewajibkan berlaku adil terhadap semua
tanpa mengira agama dan kaum, kawan dan musuh. Islam mengharamkan melampau
dalam amalan agama sendiri dan terhadap pihak lain. Walaupun dipaksa berperang,
adalah haram bertindak melampau walaupun terhadap musuh yang melampau. Wajib
percaya adanya balasan selepas mati, wajib bersabar terhadap musuh yang
melampau, kalau melampau berdosa jadinya, walau pun terhadap penganut bukan
Islam. Semuanya diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. dan generasi awal yang berjaya
menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia tanpa paksaan. Bagi penganut Islam
juga, kita diwajibkan beriman kepada semua para Rasul, dilarang memaki Tuhan
yang dilantik oleh penganut berbagai agama, walaupun tidak percaya kepada
tuhan-tuhan yang lain daripada Allah. Sangat berbeza dengan pihak lain yang
boleh memaki hamun dan menghina Allah dan Rasulullah S.A.W.
Islam mewajibkan
undang-undang yang keras, seperti qisas dan hudud terhadap penjenayah melampau
dalam perkara maruah, zuriat keturunan dan harta, tetapi syarat pelaksanaan
dipayahkan pelaksanaanya bagi mendidik masyarakat dengan undang-undang yang
digeruni hukumannya. Islam mewajibkan berperang terhadap musuh yang melampau,
namun diharamkan melampau dan membalas dendam, serta wajib berlaku adil walaupun
terhadap musuh yang paling kejam.
Islam Sebagai Penyelamat
Maka kedatangan
Islam disambut oleh penduduk negeri yang zalim terhadap rakyatnya, sehingga
kedatangam Islam dinamakan Futhuhaat (membuka negeri) kepada kebebasan yang
sebenar. Ianya sangat berbeza dengan perkataan “penjajahan” yang mengabdikan
rakyat, merompak dan mencuri hasil negerinya. Islam sangat menghormati para
ilmuan dan orang yang bijak, walaupun tidak menganut Islam.
Islam berjaya
menghapuskan perhambaan manusia secara damai. Berbeza dengan negara yang membunuh orang yang bijak dan ilmuan kerana dianggap membahayakan takhta
kerajaan. Maka Islam mencipta tamadunnya daripada semua kebijaksaan dengan
petunjuk al-Quran yang menolak jahiliyyah walau pun dilahirkan di Makkah dan
menerima ilmu yang baik walaupun daripada negeri China yang jauh dan bukan
Islam.
Negara Barat yang
mencapai kemajuan teknologi sangat tidak berterima kasih terhadap Islam dan
penganutnya. Kelemahan yang dialami oleh umat Islam diambil peluang untuk
menjajah. Mereka memaksa dan menipu umat Islam setelah menakluk tanahairnya.
Raja ditipu, rakyat diperhambakan untuk ekonomi dan politik negara penjajah.
Hasil bumi diperah habis-habisan, rakyat tanah jajahan digunakan daripada
menjadi tenaga yang diperas-ugut untuk mengangkut kekayaan sehinggalah
berperang dengan musuh kepada penjajah itu.
Dua perang dunia
yang besar banyak mengorbankan bala tentera yang sebahagian besar anggotanya
daripada umat Islam yang diletakkan dibarisan hadapan. Apabila menang bala
tentera penjajah yang berada dibarisan belakang selamat mendapat hasil yang
lumayan. Walaupun banyak tanahair umat Islam diberi kemerdekaan tetapi mengikut
acuan penjajah, mengekalkan pemimpin yang terus menerus menjaga kepentingan
penjajah itu, yang tidak mengikut telunjuknya mesti diturunkan dengan apa cara
sahaja.
Ukuran Kebebasan Yang Berat Sebelah
Kalau demokrasi
boleh memberi peluang kepada Islam untuk dilaksanakan semula maka kemenangan
secara demokrasi ini dibatalkan, seperti yang pernah berlaku di Algeria (1991)
dan Mesir (2013). Berbeza pula dengan revolusi seperti Revolusi Perancis (1889
- 1899) dan Revolusi Amerika (1765 – 1783); bahkan termasuk juga Revolusi
Komunis di Rusia (1917 – 1918) dan Revolusi China (1911) atau tindakan merompak
seperti menegakkan negara haram Zionis Israel boleh pula diiktiraf, tetapi
Revolusi yang bernama Islam tanpa mengira mazhabnya seperti di Iran dianggap
ganas dan wajib diganyang habis-habisan, termasuk kemenangan Mujahidin
menghalau Sovet di Afghanistan dikacau supaya gagal dengan berbagai cara.
Kebebasan hanya
boleh kepada Barat, walau pun bertelanjang tanpa pakaian dan bergaul seperti
binatang. Bagi penganut Islam pula tidak boleh memakai hijab dan melaksanakan
ajaran agamanya walaupun di atas nama kebebasan. Berpoligami dengan hukum wajib
berlaku adil terhadap keluarga dianggap tidak sesuai kepada penganut Islam,
sebaliknya menyimpan wanita tanpa nikah seberapa banyak dan melahirkan anak
luar nikah sebanyak-banyaknya, termasuk kahwin atau bergaul sejenis, dipanggil
pula sebagai hak kebebasan. Pelaksanaan syariat yang kesalahan jenayah beratnya
dikira kejam tidak bertamadun, sebaliknya hukuman bunuh dijerut leher dengan
tali seperti zaman purbakala dan merotan sehingga memecahkan jasad adalah
tamadun barat yang maju, wajib diterima oleh penganut Islam. Itulah hipokrit
nya kuasa besar Barat terhadap umat Islam !
Di atas nama
kebebasan media, sehingga Allah dan Rasul boleh dihina. Ada pun kerajaan dan
ketuanya tidak boleh dikritik. Edaran lucah terbocor kerana kurang pemantauan
supaya tidak melampau, sebaliknya dikira melampau kalau mengajar agama dan
khutbah jumaat, wajib dipantau habis-habisan termasuk di Masjid Makkah dan
Madinah. Ada negara Eropah yang megagungkan “kebebasan bersuara” ini pula
mengharamkan pemakaian tanda agama di sekolah, hijab di tempat awam.
Islam Menolak Keganasan
Kalau semua yang
tersebut adalah saranan Barat terhadap umat Islam, maka fikirlah pula apa
perasaan umat Islam yang menghadapinya, apatah lagi setengahnya pula merasa
sangat terguris. Kalangan umat Islam pula ada yang sederhana, ada tercorot ke
belakang ditinggalkan oleh Islam dan ada yang melampau sehingga terjerumus.
Sepatutnya boleh
difahami takrif keganasan secara waras dan siapa yang sebenarnya memulakan
keganasan. Islam tidak mengizinkan penganutnya melampau dalam beribadat, makan,
minum, memakai pakaian dan hidup mewah, maka sudah tentu lebih mengharamkan
penganutnya melampau sehingga membunuh atau dendam.
Dalam masa yang
sama siapa yang boleh menahan seorang yang jahil, khususnya ind ividu yang tidak
diizikan mendapat pendidikan oleh penjajahnya sendiri, tetapi kecintaannya
kepada Islam, Allah dan Rasul tetap membara bersama kejahilannya, tiba-tiba
menyerang orang yang menghina Tuhannya, Rasul dan agamanya yang sangat dicintai
?.
Kita bersimpati
dengan sesiapa sahaja yang dibunuh tanpa hak dan keadilan. Dalam masa yang sama
sila bandingkan dengan tujuh belas orang rakyat Perancis yang dibunuh mendapat
simpati seluruh dunia kerana laporan medianya menghina Islam dan Rasulnya,
dengan lebih sejuta rakyat Algeria yang dibunuh tentera Perancis di zaman
penjajahanya dan dilupakan tanpa simpati.
Saya mengangkat
tabik hormat kepada Mantan seorang Perdana Menteri sebuah negara di Eropah yang
dikatakan pernah menyebut : “Kesilapan Politik Barat juga terlibat melahirkan
keganasan”.
Kita sama-sama
dapat lihat, bahawa di antaranya ialah provokasi dengan niat menjaga
kepentingan mereka sahaja tanpa konsep masyarakat madani yang sebenarnya yang
wajib bersatu untuk kepentingan bersama dan menghormati perbezaan dan percanggahan.
Islam menjadikan manusia seluruhnya adalah keluarga besar daripada Adam dan
Hawa. Kalau satu keluarga berperang kerana harta pusaka kalau yang gila harta,
maka ada pemimpin yang bijak membunuh dan berperang kerana kawasan sumber
tenaga dan tanah yang subur tanpa kewarasan.
Perlu disiasat
semuanya, dan perlu dikaji sejarah silam, termasuklah peristiwa pembunuhan
orang asal di Amerika, Australia, Afrika dan Asia. Siasatlah siapa sebenarnya
pencetus keganasan di Asia Barat, Afghanistan, dan peniaga senjata dan
melakukan provokasi untuk keganasan. Begitu juga tuduhan sejarah adanya senjata
biologi yang dibawa ke Sudan kerana tindak balas terhadap kumpulan al-Mahdi
yang membunuh General Gordon, begitu juga daripada mana datang wabak Ebola yang
melanda negara Afrika yang diratah harta dan dibunuh rakyatnya kerana barat
yang datang berebut harta kekayaan di benua Afrika.
Peranan kumpulan
Zionis yang menggunakan pengaruh politik, ekonomi dan media, mencipta berbagai
teori karut dan sesat, terlibat mencetuskan peperangan agama dan kaum demi
kepentingan fanatik Zionisme juga perlu disiasat dan dikaji secara jujur,
jangan dilupakan.
Al Quran menyebut
firman Allah:
كلما أوقدوا نارا
للحرب أطفأها الله ويسعون فى الأرض فسادا والله لا يحب المفسدين .(المائدة:٦٤).
“Setiap kali
mereka menyalakan api peperangan nescaya Allah memadamkannya dan mereka
melakukan kejahatan merata bumi dan Allah tidak mengasihi orang-orang yang
melakukan kejahatan”
Yahudi Zionis
yang nenek moyang mereka pernah diselamatkan oleh kerajaan Uthmaniyyah dengan
penempatan yang aman mengikut ajaran Islam dibalas budinya dengan merosak dan
menjatuhkan kerajaan ini dan merompak bumi Palestin dengan membunuh, merampas
kediaman dan harta bendanya, tiba-tiba dijulang oleh barat dan dipertahankan
habis-habisan.
PAS mengutuk
semua keganasan dan pelampau walaupun daripada orang Islam, sama ada individu,
kumpulan dan kerajaan kuasa besar dan kecil, terhadap semua, Islam dan bukan
Islam yang berlaku di mana sahaja termasuklah di Makkah, Madinah, Tehran, Kuala
Lumpur, Jakarta, Singapura, London, New York, Paris, Moscow dan Beijing.
Kita bersimpati
terhadap mangsa keganasan di seluruh pelusuk dunia dan menasihati semua pihak
supaya jangan melampau terhadap semua, serta berdoa dengan doa yang diajar oleh
Allah daripada Al Quran :
"Wahai Tuhan
kami !, janganlah Engkau palingkan hati-hati kami setelah Engkau memberi
hidayah kepada kami dan kurniakanlah limpah Rahmat Mu. Sesungguhnya Engkaulah
Tuhan Yang Maha Melimpah kurniaannya. Wahai Tuhan kami ! Ampunilah dosa-dosa
kami, dan sikap melampau kami dalam urusan kami dan tolonglah kami terhadap
kaum yang melawan Tuhan kami”.
DATO' SERI TUAN
GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
13 Januari 2015
Presiden PAS
13 Januari 2015
0 comments: