Tahun 2015

Tahun 2015 dimulakan dengan gambaran soleh yang dihiasi dengan selawatan, namun solekan tebal selawatan itu tidak mampu menutup lubang hancing K-Pop yang disajikan sepuluh hari selepas berselawat.

Inilah hasil pelaburan RM1.6 juta oleh kerajaan sewaktu menyambut Hari Belia Kebangsaan 2012 yang lalu untuk membayar kumpulan K-Pop. Kini, belia bukan sahaja meminati K-Pop, bahkan menggilai dan memang gila.

Inilah juga hasil didikan media yang dengan tanpa malunya menyajikan adegan ranjang, berpelukan, pergaulan antara lelaki dan wanita yang sudah tiada syariat lagi. Dengan beraninya para artis bererotik di atas pentas.

Inilah hasilnya apabila agama hanya menjadi tempelan dan dibudayakan sahaja. Maka akhirnya gadis-gadis bertudung tergamak melacurkan iman ketudungan mereka hanya untuk meraikan kehadiran penyanyi K-Pop, sanggup digomoli, diciumi dan maruah tudung yang hebat dengan syariat langit itu akhirnya terbakar dengan adegan pelacuran maruah dikhalayak ramai.

Pihak kerajaan mesti bertanggungjawab dengan apa yang berlaku, kerana K-Pop ini mustahil datang dengan sukarela seperti mana sukarelawan banjir. Mana Garis Panduan Hiburan Jakim, adakah kerajaan juga membakul sampahkan garis panduan yang baik tersebut seperti mana dibakulsampahkan juga hukum jenayah Islam. Apa yang pasti, suara Islam yang dibawa Jakim tidak diendahkan oleh kerajaan sendiri.

Itulah hakikatnya sebuah kerajaan sekular yang hanya mendodoikan rakyat dengan selawatan kemudian diserikan dengan retorik pelbagai garis panduan, tetapi mereka sendiri yang membakulsampahkan kebaikan yang dibina. Di tengah sebahagian masyarakat berhadapan dengan musibah, malangnya sebahagian masyarakat masih tidak dapat menyerap isyarat teguran Allah, adakah kita mahu menunggu kemurkaan Allah, mudah-mudahan sebahagian lagi yang sedar dengan isyarat kemurkaan langit ini tetap berusaha untuk menyedarkan ummah yang sedang leka.

USTAZ AZHAR YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan

0 comments: