Seminar IT: Patuh Syariat, Tepati Sunatullah


Diterbitkan: 26 Februari 2015
Ditulis oleh JITN PAS Sabah

“Wahai orang beriman, jika datang kepadamu seorang fasik yang membawa berita maka selidiklah dulu dengan teliti. Agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang membuatkan kamu menyesal atas perbuatan mu itu”, Surah al Hujurat ayat ke 6. 
Kini, penggunaan media sosial seperti applikasi Whatsapp, Facebook, Telegram, Instagram dan sebagainya semakin meluas. Hatta, pelajar sekolah juga mempunyai akaun applikasi tertentu dan kadangkala mencapai angka ribuan pengikut. Ini adalah fenomena yang tidak boleh disangkal lagi.
Justeru itu, Jabatan IT Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah dengan kerjasama Lajnah IT Bdan Perhubungan PAS Negeri Sabah telah mengadakan sebuah program khusus untuk memberikan garis panduan kepada ahli gerakan Islam mengenai etika penggunaan media sosial yang berlandaskan syariat. Program yang berlangsung dengan jayanya pada 22 Februari lalu telah diadakan di Likas dan dihadiri oleh 30 orang peserta dan ahli jawatankuasa.
Sebanyak dua kertas kerja yang telah dibentangkan iaitu ‘Kesan Penggunaan Gajet Kepada Keluarga’ dan ‘Etika Media Sosial Kepada Ahli Gerakan Islam’.  Kertas kerja pertama menyentuh beberapa perkara seperti ‘ Kesan Penggunaan Gajet Kepada Mental, Emosi Dan Fizikal Keluarga’ dan ‘ Anak Gila Gajet’. Kertas kerja kedua pula membincangkan mengenai etika media sosial seperti ‘Budaya Printscreen: Patuh Syariah Atau Tidak’, ‘Keyboard Warrior Tanpa Adab’ dan ‘Budaya Copy-Paste-Forward: Tanpa Selidik’.
Perasmian program telah disempurnakan oleh Tuan Pesuruhjaya PAS Sabah, Tuan Aminuddin Aling dan beliau berpesan agar ahli gerakan Islam perlu menjadikan media sosial ini sebagai medan dakwah, siasah dan tarbiyah yang apabila digunakan, ia dapat meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap Islam dan politik Islam. Selain itu, beliau juga berpesan agar pemantauan ibu bapa terhadap anak-anak ditingkatkan kerana gajet mempengaruhi hampir keseluruhan hidup anak-anak masa kini. Leka dengan gajet boleh menyebabkan mereka tidak peka dan sensitif kepada persekitaran mereka. 

Seminar yang berakhir pada pukul 1.00 tengahari ini diakhiri dengan sesi bergambar.

0 comments:

Politik Baru Tanpa UMNO


Diterbitkan: 27 Februari 2015
Ditulis oleh Mohd Shahir






1.     PAS menyambut baik keputusan yang dibuat oleh UMNO untuk tidak bertanding di dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka yang dikatakan atas faktor mewujudkan perpaduan ummah.
2.     Dengan keputusan yang dibuat ini, PAS berharap agar UMNO tidak lagi menghantar calon di dalam mana-mana pilihanraya kecil mahupun pilihanraya umum kerana ia secara tidak langsung mengakui UMNO lah punca utama perpecahan yang berlaku di dalam kalangan masyarakat. Apabila UMNO bertanding di dalam pilihanraya, suasana perpecahan dan perbalahan sering berlaku kerana UMNO sering memanipulasikan jentera kerajaan untuk kepentingan partinya sahaja dan sekaligus mewujudkan padang permainan yang tidak rata.
3.     Justeru, PAS menghormati keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO semalam dan berharap ia akan terus digunapakai pada masa akan datang. UMNO bolehlah meneruskan agenda perjuangan parti mereka dengan menceburi lapangan dan bidang yang lain selain politik. Pastinya, Malaysia akan mengalami politik baru yang lebih aman-damai tanpa perlunya lagi UMNO-BN bertanding di dalam pilihanraya.

Malaysia Baru Tanpa UMNO.
Terima Kasih PM...
Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS

0 comments:

Faqih Adalah Pra Syarat Utama Ketua Dalam Islam


Diterbitkan: 26 Februari 2015
Ditulis oleh Super User

Dasar PAS adalah Islam. Rujukannya ialah al-Quran, Sunnah, Ijma' dan Qiyas. Untuk mentafsirkan dasar Islam yang dipegang oleh PAS mandat diberikan kepada Majlis Syura Ulamak yang mempunyai keanggotaan seramai 17 orang kalangan Alim Ulamak. 

Apabila tafsiran dan huraian Majlis Syura Ulamak dipertikaikan berkaitan dasar dan prinsip Islam maka bermulalah kerosakan dalam perjuangan.
Ketaatan kepada Ulil Amri  yang menghuraikan Islam dapat difahami menerusi firman Allah:
"Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan Ulil Amri kalangan kamu. Maka apabila kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul sekiranya kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat." (Surah al-Nisa': 59)
Ulil Amri bermaksud yang memiliki arahan dan memegang urusan. Ulil Amri ditafsirkan oleh sahabat Nabi iaitu Ibnu Abbas dan juga Tabi'in seperti Mujahid, Ata', Hasan Basri dan Abu al-Aaliyah merujuk kepada Ahli Fiqh dan Agama. 


Imam Ibnu Kathir pula mentarjihkan, Ulil Amri merujuk kepada semua yang memiliki perintah iaitu para pemerintah dan Alim Ulamak. (Tafsir Ibni Kathir, juz 1, ms 568, Dar al-Khair 1991).


Para pemerintah wajib ditaati kerana mereka memerintah dengan perintah Allah. Ulamak pula ditaati kerana mereka menjelaskan perintah Allah.


Ayat ini juga mengisyaratkan bahawa keutamaan untuk menjadi ketua ialah kombinasi 2 sifat iaitu 'sifat kepimpinan' dan 'sifat faqih' kerana di saat itu pada  dirinya terdapat 2 sebab ketaatan iaitu 'ditaati sebagai pemerintah yang memerintah dengan perintah Allah' dan 'ditaati sebagai Ulamak yang menjelaskan perintah Allah'.


Apabila membincangkan tentang kuasa ketua dalam Islam, Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Mursyidul Aam kepada Majlis Syura Ulamak berhujah dengan firman Allah:

"Dan hendaklah kamu bermesyuarat dengan mereka dalam urusan itu. Maka apabila kamu wahai Muhammad telah bertekad (membuat keputusan) maka bertawakkallah kepada Allah".


Bertekad ertinya membuat keputusan. Menurut pandangan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz, ayat ini mengarahkan ketua bermesyuarat.
"Dan hendaklah kamu (wahai ketua) bermesyuarat dengan mereka".


Setelah bermesyuarat dengan mereka yang layak dibawa untuk bermesyuarat, ketua akan membuat keputusan lalu Allah berfirman: "maka apabila kamu (wahai Muhammad) telah bertekad (membuat keputusan) maka bertawakkallah /berserah dirilah kepada Allah".


Allah tidak menyatakan "apabila kamu semua (ahli mesyuarat) bertekad" tetapi Allah menyebut "apabila kamu (wahai seorang ketua) bertekad". Maka, dalam konteks amalan Islam setelah mesyuarat dijalankan maka tanggungjawab ketua untuk membuat keputusan.


Oleh kerana ketua berperanan membuat keputusan selepas mendengar pandangan ahli mesyuarat maka ketua mestilah mempunyai ilmu dan kefahaman yang membantunya untuk membuat keputusan yang sejajar dengan kehendak Islam. Apatah lagi dalam pentadbiran sebuah negara berlandaskan Syariat Islam kedudukan seorang ketua yang memahami Islam dengan mendalam sangat diperlukan.


Kerana itulah sarjana-sarjana Fiqh Siyasah / Fiqh Tatakenegaraan menegaskan SYARAT KEUTAMAAN selain daripada syarat sah kelayakan untuk menjadi Khalifah dan ketua kerajaan dalam Islam ialah seorang yang Faqih mampu berijtihad dalam perkara-perkara semasa dengan merujuk kepada al-Quran dan Sunnah. 'Faqih' itu adalah satu kelebihan dan lambang keilmuan. Namun majoriti ulama daripada mazhab Syafie, Maliki dan Hambali meletakkan faqih sebagai syarat sah bukan hanya syarat keutamaan.


Imam al-Maawardi (hidup pada tahun 370-450 H) dalam karyanya al-Ahkam al-Sultaniyyah menjelaskan 7 syarat yang mesti diambilkira untuk menjadi Ketua Negara iaitu adil, ilmu yang membolehkan dirinya berijtihad dalam perkara semasa dan hukum-hakam, sempurna pancaindera, selamat anggota badan daripada kekurangan yang menghalang untuk bergerak, mempunyai kebijaksanaan yang membolehkannya mengurus rakyat dan mentadbir maslahat, keberanian dan kemampuan yang membantunya untuk berjihad menghadapi musuh dan nasab yang baik iaitu daripada kalangan Quraisy. (Al-Ahkam al-Sultaniyaah; ms 32 cetakan Dar al-Kitab al-Arabi 1990)


Kata Imam al-Haramain (meninggal 478 H); antara sifat yang diraikan pada ketua negara ialah ilmu dan kewarakan.

"Adapun ilmu, maka syaratnya ialah ketua negara itu seorang mujtahid yang mencapai tahap para mujtahidin dengan menggabungkan sifat para mufti. Dan tidak ditemui sebarang perselisihan Ulamak tentang syarat ini. Dalilnya ialah urusan sebahagian besar agama berkaitan dengan pemerintahan...Sekiranya ketua negara tidak memiliki ilmu Syariat secara bersendiri tentulah berhajat kepada merujuk kepada para Alim Ulamak dalam memperincikan setiap situasi dan ini mencelarukan pandangannya." (Rujuk Ghiyaath al-Umam, ms 94, cetakan Dar Dakwah 1979)


Syarat Mujtahid dan Faqih sebagi syarat keutamaan ini juga dijelaskan oleh Ibnu Khaldun, al-Baghdadi, al-Jurjani, al-Nawawi, al-Aamidi, al-Ghazali, Ibnu Taimiyah dan Ibn al-Humam.


Namun, apa yang menariknya Imam Syatibi pernah menyatakan bahawa para Alim Ulamak menukilkan kata sepakat bahawa ketua negara tidak sah melainkan bagi orang yang mencapai tahap Mujtahid dan Fatwa dalam ilmu Islam. 


Namun, Imam Syatibi sendiri berpandangan bahawa ilmu kefaqihan adalah satu kelebihan yang diraikan dalam menentukan perjawatan ketua negara.


Perbahasan ini menunjukkan bahawa syarat Faqih keilmuan tentang Islam di samping warak untuk seorang yang menjadi ketua negara adalah sangat penting. 


Hal ini kerana negara wajib ditadbir dengan prinsip dan dasar Islam. Pemimpin yang faham dan Faqih Islam diperlukan untuk memerintah dengan cara Islam.


PAS berjuang untuk mendapat kuasa memerintah negara dengan Islam. Dalam konteks hari ini, PAS diketuai oleh Presiden yang mempunyai kemampuan berijtihad dan Faqih yang telah diiktiraf dunia. Keadaan ini meletakkan PAS berada di landasan yang betul dari sudut kelayakan keutamaan sebagai pemimpin tertingi dalam Islam.


Ada segelintir pimpinan telah membuat kenyataan terbuka bahawa Presiden PAS tidak semestinya di kalangan ulamak. Apakah tujuan di sebalik kenyataan ini? 


Tentu ia bermaksud membuka gelanggang kempen terbuka untuk menukar Presiden yang ada di kalangan Alim Ulamak dan Faqih kepada bukan Ulamak. Maksudnya, berkempen daripada sesuatu yang afdhal dan utama dalam Islam iaitu Ketua Utama di kalangan Alim dan Faqih kepada sesuatu yang kurang afdhal iaitu Ketua bukan daripada kalangan Alim dan Faqih.


Sekiranya dilihat dengan lebih jauh lagi, ada pemimpin yang ingin memulakan gelanggang jawatan Presiden perlu ditandingi atau ingin berkempen bahawa terdapat individu yang lebih baik lagi untuk menjadi Presiden PAS berbanding Tuan Guru Presiden.


Dengan merujuk kepada Islam yang menjadi dasar PAS, Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa KEUTAMAAN untuk menjadi Presiden mestilah daripada kalangan Fuqaha yang faqih dan mujtahid.


Disediakan oleh:

Ust Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Khamis 7 Jamadil Awal 1436 H / 26 Februari 2015

0 comments:

Sokong Pengampunan Kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim


Diterbitkan: 26 Februari 2015
Ditulis oleh Mohd Shahir

PAS menzahirkan simpati kepada Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan seluruh keluarga beliau atas hukuman penjara lima tahun yang dikenakan kepada beliau. Pihak kami memahami bebanan berat dan perasaan yang ditanggung oleh keluarga Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Tindakan pihak keluarga Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang membuat permohonan pengampunan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong itu bukanlah suatu perkara yang salah kerana hak itu dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia juga tidak bermakna mereka telah mengaku kalah dan bersalah tetapi ia adalah salah satu langkah yang diambil dalam perjuangan panjang menegakkan keadilan di Malaysia. Ia bolehlah diibaratkan seperti “take one step backward in order to jump to two steps forward.”

PAS berharap semoga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan yang akan bersidang kelak akan mempertimbangkan permohonan tersebut dengan bebas, berani dan seadilnya.

 

Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS

0 comments:

Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke 3: 30 Wakil Luar Negara Sahkan Kehadiran

Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke 3: 30 Wakil Luar Negara Sahkan Kehadiran
February 26, 2015

KUALA TERENGGANU – Tiga puluh wakil dari gerakan Islam luar negara telah mengesahkan kehadiran mereka ke program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke 3.


Pengarah Urusetia Ijtimak, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, segala persiapan untuk menganjurkan ‘program besar’ yang akan diadakan bermula pada Khamis 19hb Mac itu, sedang giat dijalankan.

“hanya berbaki 3 minggu atau 21 hari dari sekarang. Semua kerja-kerja (persiapan) sedang giat dijalankan dan jemputan kepada tetamu (terdiri) daripada pimpinan gerakan Islam sudah menjangkau 30 buah negara,

“yang telah pun memberikan persetujuan untuk hadir dan in sha Allah (dalam) beberapa hari lagi (semua) baki yang lain (akan memberikan pengesahan) untuk datang,”ujarnya keika ditemui pada Rabu 25 Februari.

Beliau berkata pihaknya telah membuka pendaftaran kepada semua peserta Ijtimak dengan membeli ‘button badge’melalui wakil di negeri-negeri di seluruh negara.

Selain itu, untuk pendaftaran secara ‘online’ (atas talian) orang ramai boleh melayari laman sesawang (web) Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di alamat www.wuoms.org.

Katanya, kepada mereka yang berhajat untuk melaksanakan ibadah aqiqah sempena Ijtimak tersebut juga boleh mendaftar melalui laman web tersebut.

“dan kepada mereka yang berhalangan mendaftar melalui wakil di negeri-negeri, boleh mendaftar secara ‘online’ dengan melayari web www.wuoms.org , “turut juga kita buka kepada muslimin dan muslimat sekelian yang melakukan (ibadah) aqiqah utnuk mendaftar melalu web itu,”jelasnya.

Menurut laman sesawang tersebut, Ijtimak antarabangsa perpaduan ummah kali pertama pada tahun 1988 dan kali keduanya diadakan pada tahun 2003.

Ijtimak pada kali ini dijangka menarik kehadiran seramai 200,000 orang peserta dari dalam dan luar negara, yang akan melibatkan lebih 70 gerakan Islam termasuk tokoh-tokoh Islam antarabangsa.

Ucaptama Ijtimak akan disampaikan oleh Ketua Parti Ennahdha Tunisia Syeikh Rashid Ganusi, dan diikuti oleh tokoh-tokoh ukanak dan gerakan Islam termasuk ketua ulama kesatuan negara Syria, muraqib daripada negara Jordan, pemimpin dari benua Afrika, dan tokoh-tokoh daripada parti AKP, dan parti Sadat dari Turki.

0 comments:

Catatan Tadabbur Qur'ani Juz 1


Surah al-Fatihah


1. Surah yang diulang-ulang bacaannya setiap hari sebagai satu bentuk pendidikan rabbani terpandu menerusi pendekatan latih tubi dan kebiasaan kepada mukmin.


2. Surah yang diulang-ulang setiap hari agar mukmin terpandu dan fokus di dalam kehidupan nya dengan prinsip asas ajaran Islam.

- Keimanan kepada Allah dengan mentauhidkanNya

- Keimanan kepada Hari Akhirat dan sentiasa bersiap sedia dengan bekalan menuju ke sana.

- Pengabdian dan pengharapan sepenuhnya kepada Allah (Ubudiyyah dan hakimiyyah lilLahi wahdah).

- Keterikatan hidup dengan ajaran yang benar (haq) berdasarkan kehidupan para rasul as.golongan yang benar (siddiqiyin), para syuhada dan golongan salihin.

- Kewaspadaan daripada tipudaya golongan yang dimurkai Allah dan golongan yang sesat.


Penghayatan surah al-Fatihah

Moga kita terus berada di atas jalan yang lurus. 

Apakah jalan yang lurus itu?

(اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ) [Surat Al-Fatiha : 6]

(صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ) [Surat Al-Fatiha : 7]

Jalan Lurus itu yang dilalui oleh golongan yang diberi ni'mat iaitu siapa? 

(وَلَهَدَيْنَاهُمْ صِرَاطًا مُسْتَقِيمًا) [Surat An-Nisa : 68]

(وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُولَٰئِكَ رَفِيقًا) [Surat An-Nisa : 69]

- Dan tentulah Kami pimpin mereka ke jalan yang lurus.

- Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu:
 
1. Nabi-nabi, dan 2⃣orang-orang Siddiqiin, dan 

2. Orang-orang yang Syahid, serta 

3.Orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

Jalan yang dilalui oleh Rasulullah saw

(وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ) [Surat Al-Anaam : 153]

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

Jalan yang membawa manusia mengabdikan diri kepada Allah

(إِنَّ اللَّهَ رَبِّي وَرَبُّكُمْ فَاعْبُدُوهُ ۗ هَٰذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ) [Surat Aal-E-Imran : 51]
"Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepadaNya (dengan penuh perhambaan). Inilah jalan yang lurus".

Sama2 kita saling mendoakan agar sentiasa dibimbing Allah untuk terus berada di atas jalan yang lurus ini.

Dr UsWah

0 comments:

Ikuti Siaran Langsung Program Bicara Harakah: "Perginya Seorang Murabbi. Terhentikah Perjuangannya?"


Ikuti Siaran Langsung 

Program Bicara Harakah: "Perginya Seorang Murabbi. Terhentikah Perjuangannya?"

Tarikh: 26 Feb 2015 (Khamis)
Masa : 12 tengahari - 2 petang
Tempat: Harakah Bazaar, Jalan Pahang Kuala Lumpur


Tonton di: TV Harakahdaily ( www.youtube.com/user/tvpas09)

Dengarkan melalui:
1) Laman web www.hijau.fm
3) Aplikasi Android touchnget
4) Aplikasi Tune In (Search Hijau.fm, set as Favourite)


* Follow twitter Hijau.fm www.twitter.com/hijaufm.

0 comments:

PAS GABUNG UMNO IDEA KARUT



1. Perdamaian Hudaibiyah antara Nabi s.a.w. dan musuh iaitu Quraisy pada tahun ke-6 Hijrah berlaku di saat Islam berada dalam kedudukan yang kuat dan gagah. Kesannya, selama tempoh perdamaian itu, umat Islam daripada Madinah berjaya meresap masuk ke kota Mekah dan menyebarkan Islam kepada kaum keluarga mereka di Mekah. Selepas 2 tahun, apabila Quraisy melanggar perjanjian damai Hudaibiyah, kota Mekah diserang oleh Nabi s.a.w. tetapi baginda berjaya membuka kota Mekah secara damai tanpa penentangan dan pertumpahan darah kerana orang Mekah bersedia menerima Islam.

2. Merujuk kepada sirah nabawiyyah tersebut, cadangan supaya PAS bergabung dengan Umno adalah idea karut dalam keadaan Umno kuat menguasai kerusi-kerusi Melayu di Parlimen berbanding PAS yang semakin menyusut. Adatnya, kumpulan yang kuat akan menindas kumpulan yang lemah cengkamannya.

3. Pasca PRU ke-13, Umno memenangi 83 kerusi majoriti Melayu daripada 119 kerusi Melayu; 50 kerusi dimenangi dengan majoriti besar dan hanya 33 kerusi dimenangi secara majoriti kecil. Manakala PAS pula hanya mendapat 21 kerusi Parlimen itupun termasuk kerusi parlimen di kawasan campuran. Idea karut gabungan PAS dan Umno hanya akan meletakkan PAS bagaikan melukut di tepi gantang.

4. Dalam PRU 1999, PAS mendapat 28 kerusi Parlimen ketika rata-rata Melayu melakukan undi protes terhadap Umno pasca reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketika itu, DAP hanya mendapat 10 kerusi Parlimen dan PKR mendapat 5 kerusi kerana undi Cina dan India masih bersama Barisan Nasional. Kerana itu DAP sanggup keluar dari Barisan Alternatif pada 2002. Undi Melayu pula kembali kepada Umno pada PRU 2004 menjadikan BN semakin kuat.

5. Berbeza dengan PRU 2013, orang Cina memberikan undi hampir maksima kepada PR sehingga PR menyapu bersih 29 kerusi majoriti Cina dan 23 kerusi campuran. Hanya yang tinggal 13 lagi kerusi Parlimen campuran untuk diperjuangkan oleh PR.

6. Disebabkan sokongan pengundi Cina, DAP menambah 10 kerusi Parlimen dari 28 pada PRU 2008 kepada 38 pada PRU 2013. PKR pula menyusut dari 31 kepada 30 kerusi Parlimen.

7. Manakala orang Melayu pula selepas memberikan sokongan kepada PAS pasca PRU 2008, pada PRU 2013 mereka kembali menyokong Umno sehingga membolehkan Umno mendapat 83 kerusi Parlimen Melayu. Umno mendapat peningkatan kerusi daripada 79 kerusi pada tahun 2008 kepada 88 kerusi Parlimen termasuk kerusi campuran.

8. Kerusi Parlimen PAS menyusut kepada 21. PAS dirampas kerusinya oleh Umno di 5 kerusi Melayu di Kedah iaitu Pendang, Padang Terap, Jerai, Sik, Baling dan kerusi Melayu PKR dirampas oleh Umno di Kelantan iaitu Machang, Ketereh, Tanah Merah dan Merbok di Kedah. Kerusi PAS juga dirampas di kerusi campuran Titiwangsa dan Kuala Selangor.

9. Namun, sokongan Melayu kepada PAS meningkat di Terengganu sehingga mendapat 14 kerusi DUN manakala Umno hanya menang tipis di peringkat negeri dengan 17 kerusi. Manakala di kerusi Parlimen, PAS merampas Kuala Nerus dan Dungun dari Umno dan mengekalkan Kuala Terengganu dan Marang di tangan PAS.

10. Merujuk kepada senario pasca PRU ke-13 yang menyaksikan penyusutan undi Melayu terhadap PR khususnya PAS kecuali di Terengganu, maka solusinya ialah PAS perlu bekerja keras memenangi pengundi Melayu untuk memenangi PRU ke-14. Isu-isu mendasar melibatkan Islam mesti terus dijuarai oleh PAS. Isu Hudud adalah tuntutan agama yang sangat penting untuk diperjuangkan oleh kerajaan Kelantan dalam ruang lingkup kuasa demokrasi yang ada.

11. Lontaran idea penyatuan oleh PAS dan Umno oleh pimpinan Umno bukan bertujuan untuk memulihkan sokongan Melayu terhadap Umno kerana sememangnya sokongan Melayu telah meningkat kepada Umno. Apa yang ada pada PAS? Sekadar 21 kerusi Parlimen dengan sebahagiannya adalah kerusi campuran iaitu Parit Buntar, Bukit Gantang, Kota Raja, Sepang dan Temerloh. Sebenarnya Umno tidak memerlukan PAS langsung. Malah Umno tidak teringinkan pun gabungan Umno dan PAS.

12. Kalau begitu apa tujuan Umno? Jawapannya ialah Umno hanya berhasrat memecahkan dominasi menerusi Pakatan Rakyat. Keperluan Umno sebenarnya ialah undi-undi Cina untuk kembali bersama BN. Maka, idea dan solusi terbaiknya ialah Umno memujuk PKR atau DAP yang mempunyai undi Cina bersama BN.

13. Kerana itulah idea gabungan PAS Umno awal-awal lagi ditolak mentah-mentah oleh Tuan Guru Presiden PAS pasca PRU ke-13 meskipun Umno berkali-kali melontarnya di media.

14. Apa yang perlu dilakukan oleh PAS sekarang ialah menuntut hak demokrasi yang sepatutnya dimiliki oleh PAS. Hak kerajaan Kelantan untuk mendapat pelbagai nikmat pembangunan sebagai salah sebuah negeri dalam Persekutuan. Itulah kebijaksanaan yang mesti digarap oleh PAS dengan memanfaatkan sebarang bentuk kerjasama "goverment to goverment" antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan PAS Kelantan untuk mengukuhkan lagi kekuatan PAS di Kelantan.

15. Kelantan sebagai sebuah negeri Melayu yang masih gagah dikuasai oleh PAS mesti dipertahankan. Begitu juga Terengganu sebagai sebuah negeri majoriti Melayu perlu diperkasakan untuk dimenangi pada PRU ke 14 nanti. Idea gabungan Umno dan PAS tidak menguntungkan PAS di Kelantan dan Terengganu.

16. Kerana itu saya katakan idea gabungan PAS Umno adalah idea karut dan merapu. Ia adalah lontaran Umno untuk menghalang PAS ke depan menguasai kembali undi pengundi Melayu.


Ditulis oleh; 

DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Tarikh : 25 Februari 2015 / 6 Jamadilawal 1436H

‪#‎sila‬ layari www.drtakiri.blogspot.com untuk lain-lain artikel dalam pelbagai isu negara

0 comments:

Àwas, Terma Ulamak VS Profesional Panah Beracun Musuh PAS

Image result for dr khairuddin aman razali

1. Terma "Pertembungan antara Ulamak dan Profesional" adalah saraf beracun musuh khususnya UMNO meskipun ia diungkapkan oleh pimpinan PAS tanpa sedar atau tidak.

2. Sejak penubuhan PAS 1951, UMNO dan Barisan Nasional gagal menggugat keutuhan PAS meskipun menjadi pembangkang dalam negara kerana kekuatan pegangan Islam dan Ulamak yang menjadi teras kepada perjuangan Islam dengan paduan golongan aktivis dan profesional yang menjadi pemimpin dan ahli di pelbagai peringkat.

3. Sejak PAS ditubuhkan sehinggalah ke era Kepimpinan Ulamak dijadikan teras dalam perlembagaan pada tahun 80 an, kepimpinan PAS adalah terdiri dari pelbagai golongan sama ada Ulamak, Profesional atau Aktivis. Pemimpin PAS sama ada ketua cawangan, pengarah MTD, YDP Kawasan, Pesuruhjaya Negeri dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat terdiri di kalangn Ulamak, Profesional dan Aktivis tanpa ada sebarang pertembungan.

4. Konsep Kepimpinan Ulamak tidak bererti hanya Ulamak menjadi ketua di semua peringkat kecuali Ketua Tertinggi parti kerana Islam memberikan kredit kepada mereka yang faqih dan mampu berijtihad merujuk kepada al-Quran dan Sunnah untuk menjadi ketua tertinggi dalam Islam.

5. Hakikatnya para Ulamak dalam PAS tidak pernah bertembung dengan profesional atau sesiapa sahaja daripada kalangan aktivis dan ahli dalam PAS yang mengikut dasar PAS iaitu al-Quran, Hadis, Ijma dan Qiyas. Ulamak tidak bertembung dengn mana-mana ahli atau pemimpin PAS yang merujuk kepada Islam, beraqidah dengan aqidah Islam dengan kefahaman ahlu sunnah wal jamaah, bersyariat dengan Syariat Islam dan berakhlak dengan Akhlak Islam serta tidak khianat kepada amanah kepimpinan atau melanggar baiah dengan Ketua Syarie.

6. Dulu, kini dan selamanya Ulamak sama ada yang berada dalam Dewan Ulamak atau Majlis Syura Ulamak atau mana-mana entiti parti adalah penasihat dan juru pandu kepada PAS agar sentiasa berada di landasan Islam dalam setiap pergerakan dan strategi perjuangan.

7. Sejak awal penubuhan PAS sehingga sekarang para Ulamak menjadi Tuan Guru dan Ustaz yang membimbing ahli di kalangan profesional dan aktivis untuk beriman dan beramal dengan al-Quran dan Sunnah, untuk mencari redha Allah dalam kehidupan bukannya redha manusia, berjuang untuk menegakkan Islam dan pemerintahan berasaskan sistem Islam, menentang kemungkaran sistem pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional yang berasaskan perkauman sempit dan sekuler memisahkan agama daripada politik, menolak semua pemikiran songsang samada sekuler, sosialis, demokratis, liberalisma dan kapitalisma dalam berekonomi.

8. Untuk itu, mana mungkin Ulamak bertembung dengan profesional kerana profesional atau aktivis adalah anak-anak murid mereka dalam memahami Islam. Mereka adalah sasaran dakwah para Ulamak di masjid, surau, markaz PAS menerusi kuliah subuh, kuliah dhuha, kuliah asar dan kuliah maghrib. Mereka anak didik Ulamak dalam Usrah, Tamrin dan Mukhayyam. Hasil didikan dan ilmu yang diberikan oleh Ulamak maka lahirlah pemimpin-pemimpin di kalangan profesional dan aktivis yang mampu memimpin PAS berasaskan Islam berpandukan wahyu al-Quran dan Hadis. Hasil tarbiyah mereka maka umat bangkit menentang kemungkaran politik dan ekonomi UMNO dan Barisan Nasional.

9. Namun, pertembungan akan berlaku antara Ulamak dan profesional atau aktivis yang mula lari daripada asas perjuangan Islam yang digariskan oleh al-Quran dan Rasul . Pertembungan berlaku dengan mereka yang hanya merancang strategi kemenangan parti dengan akal tanpa panduan wahyu dan sirah Rasul saw. Pertembungan berlaku dengan mereka yang berakidahkan kemenangan kerana manusia ramai yang menyokong bukan kerana Allah yang membuka hati mereka.

10. Pertembungan berlaku antara Ulamak dengan profesional atau aktivis yang cuba mentafsirkan sendiri al-Quran dan Hadis dengan akal atau pembacaan sendiri tanpa merujuk huraian Ulamak Muktabar menerusi karya-karya agong yang memerlukan kefaqihan dan penguasaan bahasa Arab yang tinggi untuk memahaminya.

11. Ulamak akan bertembung dengan profesional dan aktivis yang meletakkan walak kesetiaan kepada parti lain melebihi Parti Islam Semalaysia PAS yang memperjuangkan Islam.

12. Ulamak akan bertembung dengan profesional yang mula berdolak-dalik dalam usaha melaksanakan undang-undang jenayah Islam kerana ingin menjaga hati rakan-rakan PR iaitu DAP dan PKR dan bimbangkan sokongan bukan Islam akan beralih.

13. Ulamak akan bertembung dengan profesional yang mula mencerca atau memaki Ketua Syarie dalam PAS iaitu Presiden PAS sama ada berdepan atau di belakang dan menjadi syaitan manusia yang menghasut dan mencocok ahli mempertikaikan Majlis Syura Ulamak yang diberikan kuasa dan kepercayaan oleh perlembagaan untuk menghuraikan Islam.

14. Ulamak akan bertembung dengan pimpinan profesional atau aktivis yang lupa kewajipan taat dalam perkara makruf yang dinikmati oleh seorang Ketua dalam Islam selagi dia tidak melanggar al-Quran dan Hadis.

15. Malah Ulamak akan bertembung juga dengan mana-mana Asatizah yang juga berfikir hanya dengan akal tanpa panduan wahyu jika ada dalam PAS.

16. Kepada profesional dan aktivis yang faham Islam, yang bersedia tunduk kepada panduan al-Quran dan Hadis dalam perjuangan, yang memahami konsep walak HANYA kepada Parti Islam dalam keadaan negara belum diperintah berlandaskan Islam dan taat kepada Presiden, yang berakhlak tidak menghentam para Ulamak maka persilakanlah menjadi sebahagian kepimpinan Parti Islam Semalaysia PAS kerana PAS adalah milik semua yang berjuang berlandaskan Islam.

Yang menjalankan amanah peringatan;

Ustaz Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

Isnin 4 Jamadilawal 1436 H / 23 Februari 2015

0 comments: