
DAKWAAN PENGKHIANATAN SELARI MASALAH BERLAKU
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
KUALA LUMPUR: Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki menyifatkan dakwaan pengkhianatan melibatkan beberapa individu pimpinan parti itu terhadap Presiden PAS sebagaimana dikemukakan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuantan adalah selari dengan masalah-masalah yang berbangkit kepada PAS.
Menurutnya, memorandum dengan Akuan Bersumpah mendedahkan kewujudan gerakan ‘bawah tanah’ Hawaii 5-0 itu sangat serius dan tidak sepatutnya berlaku, sekaligus menuntut perubahan terhadap pucuk kepimpinan PAS dilakukan untuk menanganinya.
Memperincikan masalah yang dibebankan terhadap Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu, beliau membentangkan penjelasan.
Isu Pertukaran TSKI
Jelas beliau, dalam isu pertukaran Menteri Besar Selangor, Tuan Guru telah mengambil langkah bertemu dengan NGO-NGO, Pegawai Kerajaan, Pegawai GLC dan Adun-adun Selangor.
Di mana katanya, keputusan untuk mengekalkan Tan Sri Khalid juga adalah setelah mengambil kira dua kali pertemuan Dewan Harian PAS Pusat dengan PAS Selangor bersama PAS Kawasan-kawasan seluruh Selangor.
"Satu kajian 'pungutan suara' oleh PPP juga telah dibentang dalam pertemuan tersebut. Pandangan majoriti (dari pertemuan-pertemuan tersebut) ialah kekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim seterusnya perkara itu dibawa ke Majlis Syura Ulama.
"Majlis Syura sebulat suara buat pertimbangan berdasarkan sebab-sebab penting, yang saya tidak dapat dinyatakan secara umum sebab itu, (bahawa) perlu kekalkan Tan Sri Khalid,” terangnya pada Hiwar Siyasi, di sini baru-baru ini.
Ujar beliau, tidak ada alasan konsisten untuk menukar Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar dan alasan mengadakan ‘Kajang Move’ hanya sekadar membangkitkan masalah pengurusan seperti isu sampah dan seumpamanya.
Terangnya, langsung tidak timbul isu atau masalah penyelewengan, pinjaman Bank Islam dan dakwaan-dakwaan yang berlaku kemudiannya.
Oleh itu katanya, PAS berpandangan, hendak mengadakan Pilihan Raya Kecil semata-mata isu kecil adalah tidak wajar, di mana akan melibatkan penggunaan kos dan masa yang banyak.
Malah menurut beliau, Tan Sri Khalid juga didakwa telah bersetuju, sedangkan apabila pihak PAS menemui Khalid keesokannya, beliau menegaskan tidak pernah menyatakan persetujuan.
Bagaimanapun katanya, ‘Kajang Move’ dilaksanakan juga serta diisytiharkan bakal penggantian Menteri Besar baharu, walaupun PAS tidak bersetuju.
Terang beliau, PAS hanya akan membantu kerja pilihan raya atas dasar Pakatan Rakyat, selain menegaskan tidak berbangkit isu pertukaran Menteri Besar di mana tiada persetujuan atau perjanjian dibuat mengenainya.
“Sebab itu kalau orang kata Tuan Guru tidak ikut (keputusan) mesyuarat, itu tidak betul. Sedangkan ada pihak yang tidak konsisten dengan keputusannya, berubah-ubah. Sebab itu saya menegur keterlaluan pihak tertentu (untuk mewajarkan ‘Kajang Move’) kerana menyatakan sesuatu kepada umum perkara yang tidak benar,” ujarnya kesal.
Kata Dr Zuhdi, disebabkan ‘Kajang Move’ timbul pelbagai isu kemudiannya, sedangkan perkara tersebut tidak berlaku.
Isu Perjanjian Air
Beliau turut menerangkan isu air yang ditekan ke atas Tan Sri Khalid di mana projek itu akan melibatkan jumlah wang besar menyebabkan PAS tidak bersetuju kerana akan berlaku pengambilan wang secara keterlaluan.
“PAS tidak bersetuju kerana PAS pentingkan kepentingan Islam dan rakyat melebihi hak parti, itu pendirian Majlis Syura. Kita tak boleh bersetuju. Sebab itu kita pertahan kekal Tan Sri Khalid. Inilah yang menyebabkan berlaku pertembungan dalaman,” terangnya.
Bidang Kuasa MSU - AJKPP
Menurut beliau, terdapat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat menyatakan perkara itu sebagai keputusan peribadi Presiden dan Majlis Syura tidak boleh campur bidang eksekutif.
“Mana dia ambil itu (dengan berkata demikian)? Akal! Sedangkan Perlembagaan PAS, Fasal 22 (9) K sebut untuk membuat pertimbangan bekerjasama dengan pertubuhan lain yang tidak bercanggah dengan dasar dan tujuan PAS, dan membuat keputusan mengenainya setelah dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama.
“Maknanya, AJK PAS Pusat bidang kuasanya terbatas. AJK PAS Pusat hanya berkuasa melaksanakan sesuatu perkara yang diputuskan dalam ruang lingkup yang diluluskan Majlis Syura. Kalau melibatkan pihak ketiga termasuklah DAP, PKR, Umno, PasMa sebab disebut pertubuhan, mesti keputusan Majlis Syura.
“AJK PAS Pusat boleh berunding (dengan mana-mana pihak), tetapi keputusan dia mesti merujuk Majlis Syura. (Begitu juga menentukan) Siapa Menteri Besar, bukan kuasa AJK PAS Pusat. Nak bekerjasama dengan PasMa, Sosialis seperti nak beri kerusi Kota Damansara, itu bukan kerja AJK PAS Pusat.
“(Hubungan dengan) DAP dan PKR, Majlis Syura telah lulus, tapi isu MB, Majlis Syura kata kekal, AJK PAS Pusat tiada hak pintas keputusan. Sepatutnya bila Majlis Syura buat keputusan, AJK PAS Pusat laksana,” jelas beliau.
Pertindanan Kerusi PRU
Menurut Zuhdi lagi, kekecohan isu pertindanan kerusi pada PRU lalu adalah kerana PKR telah mengambil satu persatu kerusi PAS, hingga akhirnya Parlimen Lumut diambil bersama calon yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan tersebut.
Sebab itu katanya, Tuan Guru Presiden tidak duduk diam kerana hal tersebut berlaku tanpa perbincangan dan terus sahaja pengisytiharan calon berlaku.
Malah katanya, Tuan Guru turut diasak individu-individu tertentu dalam AJK PAS Pusat untuk menyerahkan beberapa kerusi kepada PKR, termasuk Kota Damansara kepada DAP.
Lebih mengecewakan katanya, apabila keputusan mesyuarat untuk kekal bertanding di kerusi-kerusi berkaitan, tetapi sebaliknya wakil PAS yang dihantar telah menyerahkan kerusi tersebut kepada rakan tahaluf.
“Sebab itu pada saya, perkara didedah (memorandum) itu agak kritikal antaranya mendakwa menguasai lebih separuh AJK PAS Pusat dan (dakwaan itu) selari dengan masalah-masalah yang berlaku,” ujarnya menyimpulkan.
0 comments: