1. Sehingga ke hari ini, masyarakat umum masih tertanya-tanya apakah motif pembunuhan Altantuya? Adakah benar seperti dakwaan Abdul Razak Baginda bahawa ini kes pembunuhan biasa yang sengaja disensasikan. Yang lebih menghairankan, beliau sendiri mengakui dalam temuramah yang tersiar dalam The Malaysian Insider pada 29 Januari 2015 yang lalu bahawa beliau ada diugut oleh Altantuya yang meminta wang. Beliau tidak menjelaskan dengan lanjut apa yang diugut kerana dikatakan “sesuatu yang sangat peribadi”.
2. Jikalau kita merujuk kepada temuramah tersebut, kelihatannya Abdul Razak yang sudah dibebaskan oleh Mahkamah ini ada perhubungan dengan Altantuya. Namun, si tertuduh iaitu Sirul dan Azilah yang dikatakan membunuh Altantuya itu apa pula hubungan mereka dengan si mati.? Adakah 2 orang pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) itu sengaja bertindak sesuka hati tanpa sebarang arahan daripada pihak tertentu.
3. Masyarakat menuntut ketelusan, keberanian dan keadilan daripada pihak Polis, Peguam Negara dan Mahkamah. Mereka dikatakan mampu menemui siapa pesalah, namun tidak pula mendedahkan mengapa pesalah bertindak sedemikian rupa.? Tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memberi amaran agar menghentikan persoalan mengenai motif pembunuhan itu menambahkan lagi kecurigaan orang ramai. Masyarakat berhak untuk mengetahui perjalanan kes yang berprofil tinggi, apatah lagi ia membabitkan imej negara Malaysia di peringkat antarabangsa.
4. Justeru, saya berpandangan pihak yang terbabit agar tampil dengan berani mendedahkan motif pembunuhan Altantuya ini agar kes ini tidak lagi berpanjangan dan kekal sebagai misteri yang tidak terungkai. Ketelusan dan keadilan itu wajar ditegakkan untuk semua agar kredibiliti institusi Kehakiman, Peguam Negara dan Polis terus dipercayai dan dihormati oleh segenap lapisan masyarakat sehinggalah ke arena antarabangsa.

YB Dato’ Mahfuz Omar
Ketua Penerangan PAS Pusat
5 Februari 2015
0 comments: