FAHAMI MAKNA KEMENANGAN DI SISI ALLAH
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
11-02-2015
BATU PAHAT : Ahli PAS perlu
memahami bahawa konsep kemenangan dalam Islam adalah apabila istiqamah di atas
jalan kebenaran dengan menegakkan matlamat perjuangan menuju keredaan Allah
SWT, demikian tegas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Mohd Amar Nik
Abdullah.
Menurutnya, kemenangan sebenar
adalah apabila tegas dengan perjuangan, tidak menggadai prinsip dan sanggup
tewas kerana mempertahankan dasar.
“Bukan bermakna kita hanya ada
kerusi, jadi kerajaan dan ada kuasa politik baru dikatakan menang. Kalau ukur
dengan kejayaan politik semata-mata, berapa Nabi yang menang, yang jadi
pemimpin? Nabi yang ada kuasa memerintah (hanya) Nabi Daud, Nabi Sulaiman dan
nabi Muhammad. Nabi lain tidak berjaya kuasai kerajaan.
“Nabi Ibrahim dicampak dalam
api. Nabi Nuh berjuang 950 tahun, yang ikut tidak sampai 70 orang termasuk anak
pun tidak ikut. Nabi Zakaria dibunuh, Nabi Yahya dipenjara dipancung. Sekiranya
ambil ukuran dan kerusi, Nabi lain gagal. Pandangan itu salah.
“Allah hendak tanam, bahawa
konsep menang bukan dengan hanya ada kerusi, ada kuasa dan menguasai kerajaan.
Jika capai seperti di Kelantan, Selangor, Kedah, itu bonus kepada perjuangan,”
terangnya pada Hiwar Siyasi di Parit Raja, di sini baru-baru ini.
Jelas beliau lagi, Allah SWT
memberikan kemenangan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya sesuai dengan
sifat ‘Ar-Rahman’ dan Ar-Rahim’ sepertimana Dia memberikan rezeki dan kekayaan
kepada manusia walaupun manusia itu kafir kepada-Nya.
Oleh itu tegasnya, kemenangan
yang hendak diperolehi itu mestilah untuk mendapatkan keredaan Allah
semata-mata.
Untuk itu katanya, tujuan dan
matlamat kerusi pemerintahan adalah untuk menegakkan pelaksanaan Islam.
“Tiada maknanya kita ada kuasa
politik, tetapi perjuangan tidak boleh dilaksana. Tidak boleh laksana kehendak
kita. Ada orang sebut tidak boleh laksana hudud. Apa makna ini kalau kita ke
Putrajaya, jadi kerajaan, tetapi kita tidak boleh laksana kehendak kita? Hudud
ini bukan kita setakat mimpi, sampai mengingau dalam tidur hendak laksana.
“Kalau itu telah awal dipertegaskan
(tidak akan laksana), apa guna kita ke Putrajaya? Ustaz Harun Taib pernah tanya
dalam mesyuarat PAS Pusat, kita hendak jadi kerajaan di Putrajaya atau hendak
laksanakan Islam. Ini soalan penting untuk kita PAS. Kalau hanya sekadar
berfikir untuk sampai Putrajaya, tidak semestinya kita dengan DAP, dengan PKR.
Jalan yang paling mudah adalah dengan Umno. Umno telah ada di Putrajaya, jika
sekadar itu sahaja yang kita nak.
“Itu isu paling besar. Sudah
tentu bukan soal Putrajaya semata-mata. Tetapi matlamat perjuangan Islam jadi
cita-cita kita. Inilah jadi perhitungan kita hari ini. Orang yang tidak faham
anggap kita tidak mahu menang. Tak ada orang berjuang tidak mahu menang. Kita
hendak menang. Tetapi perhitungan ulama, bagaimana cara kita menang? Apakah
dapat keredaan Allah? Apa kita perolehi bila kita menang?” ujarnya melontar
muhasabah.
Tegas Nik Amar, PAS bukanlah
sebuah parti politik biasa sepertimana Umno, PKR, DAP atau mana-mana parti
politik lain, sebaliknya adalah sebuah gerakan dakwah Islam yang menggabungkan
aspek politik dan dakwah.
Oleh itu katanya, apabila ahli
PAS memahami hakikat PAS sebagai Gerakan Islam, maka cara menilai mestilah
sesuai dengan sifat dan identiti PAS di mana berbeza dengan parti politik lain
yang bebas melakukan tindakan berasaskan fahaman Machiavelli hingga matlamat
menghalalkan cara.
“PAS diikat oleh tatacara
sendiri yang sesuai dengan dasar dan matlamat PAS iaitu Islam. PAS kalau nak
menang lama dah menang di Malaysia, kalau bertindak sebagai parti politik
biasa. Kenapa tak menang, kerana kita ada pantang larang, kira ada batas
sempadan, halal haram dalam perancangan dan gerakerja politik,” jelasnya.
0 comments: