ISIS & AS : Di Antara Dua
Wajah
Oleh : Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz
Ahli Parlimen Pasir Mas
Dunia Tengah – Asia Barat dan
Utara Afrika – tidak pernah sunyi dari isu geopolitik kuasa-kuasa besar dunia.
Kedudukan demografi yang strategik beserta limpahan kekayaan sumber alam yang
dimiliki menjadikan ia sebagai satu kawasan tumpuan dunia.
Faktor agama juga turut diambil
kira malah permusuhan terhadap Islam menjadi satu agenda belakang tabir bagi
musuh-musuh Islam menguasai rantau tersebut.
Pada 2010 ia telah menyaksikan
kebangkitan luar biasa rakyat Tunisia menentang kerajaan diktator yang
kemudiannya terus merebak ke negara-negara Arab sekitarnya termasuklah Mesir
dan Libya. Syria juga di antara salah satu negara yang menerima ‘kesan domino’
tersebut.
Walaubagaimanapun, pergelutan
kuasa di Syria berpanjangan dan ia terus merebak sehingga ke hari ini. Apa yang
lebih menarik untuk diperhatikan adalah munculnya satu kumpulan ekstremist yang
menggelarkan diri mereka sebagai Negara Islam Iraq dan Syria (Islamic State of
Iraq and Syria - ISIS). ISIS timbul ketika konflik yang melanda umat Islam
Syria itu sedang berada di kemuncaknya.
Saya percaya ISIS didalangi
oleh US dan sekutunya Israel, malah negara Arab juga yang mahu mengekalkan
hegemoni mereka dalam rantau Asia Barat. Mereka dilatih oleh CIA di Jordan pada
2012 dengan tujuan mahu memastikan ketegangan di Syria terus berpanjangan.
Teorinya mudah, hubungan
Tehran-Damsyik yang kukuh dan dalam masa yang sama hubungan Tehran dengan
Washington dan Tel Aviv terutamanya sangat tegang. Jadi, untuk mengukuhkan
kedudukan, kerajaan rejim Bashar tidak boleh dibiarkan berkuasa. Segalanya
berpusat kepada dua faktor; Rejim Bashar itu sendiri dan hubungannya dengan
Iran.
Namun, US dan negara sekutunya
juga memerhatikan siapakah yang berpotensi menggantikan rejim Bashar memegang
tampuk pemerintahan di Syria. Jika Islamist yang berkuasa, sudah pasti ia akan
lebih sukar buat mereka mengekalkan hegemoni di rantau tersebut. Mustahil bagi
US untuk sewenangnya membiarkan Islamist mengetuai penentangan ini. Kerajaan
sah Mursi pernah dinyahkan daripada memegang tampuk pemerintahan di Mesir.
Adalah mustahil untuk diulang skrip sama di Syria.
US telah mengaturkan pertemuan
pada pertengahan tahun 2014 bersama-sama negara ‘Friends of Syria’
kononnya menjadi ‘orang tengah’ membawa pertelingkahan di Syria ke meja
rundingan. Namun, ia tidak berhasil. Jadi, ISIS adalah kuncinya.
The Express Tribune mengesahkan
ISIS menerima bantuan langsung dari US. Siasatan dari pihak berkuasa Pakistan
juga menyokong kenyataan tersebut.
Yousaf al-Salafi, Komander IS
di Pakistan mendedahkan menerima bantuan dari US untuk menggerakkan ISIS dan
dalam masa yang sama mencari pemuda-pemuda untuk menyertai mereka. Tambahan
pula, satu laporan telah di hantar kepada UNSC yang menyebutkan Israeli Defence
Force (IDF) juga terlibat memberi bantuan perubatan kepada pejuang pemberontak
Syria termasuklah ISIS.
Ia bukan perkara baru di dalam
dunia yang penuh dengan penipuan ini. Media sentiasa berperanan memastikan
agenda musuh Islam tercapai. Skrip yang hampir sama berlaku di Afghanistan
ketika Afghanistan menghadapi tekanan daripada negara Soviet pada 1980an.
Sepanjang tahun 1980-86, US dan Pakistan hanya menyalurkan bantuan kewangan
kepada Mujahideen bagi menentang penjajah Soviet.
Namun, kedudukan Mujahideen
yang semakin melemah menjadikan US dan Pakistan menyalurkan bantuan ketenteraan
termasuk menyediakan peluru berpandu pada tahun berikutnya. Akhirnya,
Mujahideen berjaya mengusir tentera Soviet dari bumi Afghanistan dan lebih
dahsyat lagi, akibat daripada peperangan yang berpanjangan, ekonomi negara
Soviet merudum jatuh dan Kesatuan Soviet akhirnya berpecah dan negara-negara
dibawahnya mengisytiharkan kemerdekaan.
Cerita Mujahideen tidak
terhenti di situ. Sedekad kemudian, tunasnya kembali tumbuh membentuk pohon
yang keras. Taliban adalah cebisan dari kelompok Mujahideen dan muncul sekitar
tahun 1994. Ia mula mendapat perhatian pada 2002 selepas dari serangan
9/11. Kemunculan semula Taliban yang menggugat kedudukan US di Asia Barat
menyebabkan US mencipta wayang bagi menipu masyarakat dunia untuk bersetuju
dengannya bagi memerangi Taliban di Afghanistan. Itulah peristiwa 9/11 yang
telah menimbulkan pelbagai spekulasi malah kajian mendedahkan bagaimana
peristiwa itu sudah dirancang lebih awal!
Demikian halnya kepada ISIS. Ia
dibentuk untuk satu misi yang sukar difahami.
Peristiwa penyembelihan terhadap
warga Jordan, Jepun dan sebelumnya wartawan US hanyalah wayang yang didedahkan
kepada dunia semata-mata untuk membenarkan tindakan US untuk menyerang ISIS.
Perbahasan motif disebalik keinginan US menyerang ISIS tidak perlu diulas
lanjut. Cukup sekadar kita memahami bahawa tindakan ISIS bukan salah satu
daripada ajaran Islam. Ia ditimbulkan hanya untuk ‘membunuh’ agama Islam dengan
senjata ‘keganasan’.
US menganjurkan keganasan di
Timur Tengah dan negara umat Islam yang lain dengan tujuan mahu memastikan
Islam terkubur di sana. ISIS tidak lebih dari proksi yang bekerja menjayakan
matlamat tersebut. Hakikatnya, cahaya Allah SWT ini tidak pernah padam dan
Allah SWT akan menyempurnakan cahayaNya meskipun musuh-musuh Islam itu
membencinya.
0 comments: