Saya diminta untuk memberikan respon terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun bahawa pergerakan itu sedang mempertimbangkan untuk melakukan jelajah ke seluruh negara bagi menjelaskan isu Liwat II yang melibatkan Dato Seri Anwar Ibrahim.
Suka untuk saya menyatakan bahawa saya sangat mengalu-alukan langkah Pemuda UMNO untuk mengadakan siri jelajah berhubung isu tersebut. Namun, adalah diyakini bahawa penjelasan yang akan dilakukan kelak pastinya akan lebih menimbulkan persoalan daripada jawapan terhadap isu-isu yang berbangkit. Terlalu banyak kemustahilan dan fakta-fakta yang tidak munasabah berlegar di kalangan masyarakat yang boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap instituti kehakiman.
Hakikatnya, terlalu banyak persoalan yang ingin dibangkitkan oleh rakyat. Jika Pemuda UMNO mula menjelajah kelak, saya mencabar agar dibenarkan komunikasi dua hala dalam kerangka debat. Pemuda PAS sendiri mempunyai ramai-ramai individu berwibawa untuk berdepan dengan Pemuda UMNO secara terbuka di atas pentas berhubung isu ini.
Saya pohon, jika dipersetujui, benarkan debat dalam kerangka pandangan Islam terhadap jenayah liwat. Adakah hukuman terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim menepati kehendak syarak atau merupakan satu penghakiman yang tidak selari dengan Islam? Inilah yang perlu diperjelaskan oleh Pemuda UMNO kepada masyarakat.
Di akhirnya, saya yakin jika perdebatan ini dapat dilaksanakan, ia akan membawa kepada satu natijah baru iaitu penerimaan lebih positif masyarakat terhadap undang-undang Islam.
Justeru, jika benar Pemuda UMNO ingin menjelajah, jangan bertumbuk seorang diri. Panggil lawan yang sesuai untuk sama-sama berpencak di atas pentas. Peninju yang hanya beranni meninju beg pasir tentu sahaja akan menang.
Seperkara lagi, jika Pemuda UMNO ingin menjelajah dalam isu liwat, bolehlah juga dipertimbangkan jelajah bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Koperal Sirul Azhar Umar yang disabitkan kesalahan kerana membunuh model sambilan Altantuya Shaariibuu yang kelihatan mempunyai fakta baru di dalam kes ini. Saya percaya, rakyat juga sedang ternanti-nanti perkembangan seterusnya berhubung dakwaan Sirul bahawa beliau diarah untuk melakukan pembunuhan tersebut.
Benarkan rakyat mendengar, dan percayalah pertimbangan terbaik yang akan dibuat oleh rakyat.
AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
20 FEBRUARI 2015
20 FEBRUARI 2015
0 comments: