Kenyataan Media
Kembalikan Royalti Juga Perjuangan Tok Guru
1. Ketika Almarhum Tuan Guru
Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan, antara
perkara utama membabitkan hak rakyat yang diperjuangkan Almarhum ialah Royalti
Minyak. Dalam keadaan ramai orang termasuk pemimpin Barisan Nasional mengakui
akan ketokohan dan kehebatan Almarhum. Bahkan, terdapat ura-ura BN tidak perlu
bertanding di kerusi DUN Chempaka sebagai tanda hormat kepada Almarhum.
2. Alangkah lebih baik
sekiranya PM Dato’ Seri Najib menunaikan hak yang dituntut oleh rakyat Kelantan
iaitu Royalti Minyak. Masih teringat saya ketika Almarhum Tuan Guru
sendiri hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Ogos 2010 untuk
memfailkan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti minyak yang
diperoleh dari perairan negeri itu di sempadan Thailand-Kelantan.
3. Saya petik kembali kenyataan
Almarhum pada hari itu untuk menggambarkan kesungguhan dan kegigihan dalam
memperjuangkan hak rakyat. Almarhum berkata “Sebagai ketua kerajaan
negeri saya bertanggungjawab untuk menjaga kehormatan harta negeri Kelantan,
kedatangan saya hari ini adalah untuk menuntut hak dan menjaga kehormatan harta
kita. Apa yang saya lakukan ini adalah untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat
Kelantan, jadi saya perlu lakukan apa jua cara sama ada melalui rundingan atau
mahkamah. Tiap-tiap orang yang ada harta mesti jaga dengan baik. Kalau orang
curi, kita bertindak, kalau rompak, kita tindak, kalau tipu juga kita
bertindak. Sebab tidak mahu perkara ini terus berlaku, kita bawa ke mahkamah,
atas dasar orang Islam, kalau kita tak tunaikan di muka dunia, kalau kita jahat
tetap kena bayar di akhirat. Sebelum bayar di akhirat, baik mereka bayar di
muka dunia.”
4. Justeru, saya berharap agar
perasaan simpati dan sanjungan yang diberikan kepada Almarhum Tuan Guru itu
bukanlah sebuah kepura-puraan.
Hasrat Almarhum Tuan Guru perlulah diterjemahkan oleh pihak kerajaan
Malaysia melalui Petronas dengan berlaku jujur dan berani dalam melaksanakan
janji yang telah termeterai seperti di dalam Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974
iaitu membayar tuntutan Royalti Minyak kepada Kerajaan Negeri Kelantan.
Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS
0 comments: