KURANGKAN KEMALANGAN, TURUNKAN TAMBANG


Oleh : Nasrudin bin Hassan
17 Februari 2015 | 27 Rabi’ul Akhir 1436


1. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis kerana secara konsisten melancarkan Ops Selamat sempena musim perayaan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.

2. Menurut statistik tahun 2013, kadar kemalangan jalan raya di Malaysia secara keseluruhannya masih lagi tinggi sehingga mencecah 442,000 kes. Sebanyak 2,800 kes daripadanya melibatkan kecederaan parah.

3. Daripada statistik tersebut juga, musim perayaan contohnya pada penghujung Julai dan Ogos menunjukkan peningkatan yang agak tinggi. Saya sangat berharap agar pengguna jalan raya berhati-hati terutamanya yang melibatkan penggunaan bas ekspres dan bas persiaran.

4. Daripada hasil siasatan yang dilakukan terhadap kemalangan ngeri melibatkan bas, biasanya kita akan dapati standard keselamatan bas tidak dipatuhi selain daripada faktor pemanduan.

5. Contohnya, apakah tindakan Kementerian Pengangkutan dan SPAD setelah pakar logistik serta pengangkutan mendakwa penggunaan bas ekspres dua tingkat adalah tidak perlu dan tiada mekanisme khas untuk mengesan kadar kelajuan bas ekspres?

6. Malah, saya difahamkan satu laporan dan cadangan khas telah diserahkan kepada pihak kementerian dan SPAD selepas tragedi traumatik kemalangan yang berlaku di Genting Highland tahun lalu bagi meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya.

7. Saya menggesa supaya audit keselamatan diperketatkan terutama pada musim perayaan kerana SPAD turut akan mengeluarkan permit sementara kepada syarikat-syarikat bas untuk menampung permintaan penggunaan bas yang tinggi.

8. Selain itu, saya juga berharap agar kadar tambang bas ekspres diturunkan sempena musim perayaan Tahun Baru Cina kerana ia menyumbang sehingga 20% daripada perkhidmatan yang disediakan.

9. Kali terakhir tambang bas ekspres dinaikkan ialah pada 1 Ogos 2013. Saya rasa ini masa yang terbaik untuk menurunkan kadar tambang ekspres sempena musim perayaan dan kebetulan berlaku penurunan harga minyak RON95 dan diesel akhir-akhir ini.


Sekian, terima kasih.

NASRUDIN HASSAN
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Temerloh)

0 comments: