LAKSANA SYARIAT SEIRING MENEGAKKAN NEGARA


LAKSANA SYARIAT SEIRING MENEGAKKAN NEGARA

Oleh IZWAN ABDUL HALIM



KUALA LUMPUR: Pelaksanaan syariat merupakan agenda yang tidak boleh dipisahkan dari perjuangan Islam dalam menegakkan negara, demikian tegas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, ayat al-Quran dalam surah-surah Madaniyyah diturunkan di Madinatul Munawarrah ketika masyarakat Islam dalam keadaan masih membina dan membangun iaitu belum memiliki kekuatan.

Di mana jelasnya, Allah menurunkan ayat-ayat berkait dengan ekonomi, politik, undang-undang perlembagaan, peraturan negara yang berkait muamalat, sosial, jenayah dan hubungan antarabangsa.

“Di mana pelaksanaan syariat ini telah membina kekuatan ummah. Dengan sebab itu meninggalkan pelaksanaan syariat boleh membantutkan kejayaan kita dalam kebangkitan ummah. (Tetapi) Di sana ada tekanan dari musuh Islam yang (hanya) mengizinkan orang Islam berjuang di atas Parti Islam sekular ala-Kristian demokrat (seperti) di Jerman dan lain-lain Parti Islam yang memisahkan pelaksanaan syariat daripada politik.

“Ada juga kalangan ulama-ulama yang lemah kefahamannya dan berselindung disebalik feqah awlawiyat, feqah waqi’ dan lain-lain. Menyalahtafsirkan kitab-kitab yang dikarang oleh ulama-ulama yang faham termasuk kitab-kitab Dr Yusuf Qardhawi, Dr Muhammad al-Ghazali, Sayyid Sabiq dan lain-lain tanpa membaca kitab-kitab ini. Di mana fiqh awlawiyat, fiqh waqi’ dan lain-lain sepatutnya dibicarakan disekitar pelaksanaan syariat, bukan diluar kelompong pelaksanaan syariat.

“(Mereka) Berdalilkan seperti Saiyidina Umar RA tidak melaksanakan hukum hudud kerana tahun kemarau, itu satu yang salah. Hukum hudud dikuatkuasakan, (cuma) tidak dijatuhkan hukuman kerana tidak mencukupi syarat. Itu yang perlu kita fahami, bukan tidak melaksanakan hukum, tetapi (kerana) tidak cukup syarat.

“Kalau laksana hukum syarat tak cukup, itu bukan laksana hudud, itu salah. Tapi ditafsirkan meninggalkan hukum syariat,” ujarnya membetulkan kefahaman tersebut dalam satu pertemuan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut di sini, baru-baru ini.

Terangnya, di Malaysia sudah diperkenalkan syariat Islam sejak sebelum merdeka sehingga mencapai kemerdekaan dan pelaksanaan itu berlaku tidak sampai satu abad sebelum dihapuskan oleh penjajah British.
Beliau turut menyentuh sikap sesetengah pihak yang mahu mengambil contoh dari negara-negara umat Islam seperti Turki, Tunisia, Indonesia dan lain-lain.

“Kita perlu menyedari bahawa di sana perbezaan realiti di antara negara-negara umat Islam. Turki menghadapi perlembagaan negara yang mengharamkan penubuhan Parti Islam atau mengharamkan menyebut perkataan Islam kepada parti politik dan mengharamkan sebutan pelaksanaan syariat.

“Ada kalangan kita kata kita kena ikut Erdogan. Jangan sebut begitu. Itu suasana negara dia, (sedangkan) negara kita ini membenarkan Parti Islam sejak 60 tahun lebih dan membenar kita bercakap tentang syariat. Dengan sebab itu kita tak boleh ikut suasana dia.

“Tunisia macam Turki juga, Ghannouchi menghadapi zaman pemerintahan Bulevar dan Ben Ali yang tidak membenarkan orang muda ke masjid dan menangkap orang muda yang solat berjamaah. Di Malaysia ini tidak sampai peringkat itu dan kita nak ikut macam Tunisia juga, itu tak kena. Begitulah juga dengan perkembangan di Indonesia.

“Bahkan kita sendiri di antara Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan lain-lain terdapat perbezaan yang berlainan kedudukan kita dengan pemerintahan. Dengan sebab itu mesti dirujuk pandangan parti di mana Majlis Syura Ulama adalah pengawas pelaksanaan hukum syariat di dalam parti. Kena merujuk kepada kepimpinan berlandaskan kepada kefahaman yang dikendalikan oleh parti kita sendiri, jangan kita terpengaruh dengan lain,” terangnya yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Beliau juga menegaskan supaya beristiqamah dengan Islam yang diperjuangkan di mana tidak boleh bertolak ansur dalam perkara dasar dan matlamat dengan sesiapa jua.

Pun begitu katanya, dalam perkara pendekatan yang umum dibolehkan tolak ansur dengan sesiapa.

“Bila orang minta tukar dasar kita, menukar halal dan haram, menukar perkara yang diwajibkan oleh Allah, tidak boleh sekali-kali, tidak diizinkan oleh syarak. Inilah sempadan istiqamah yang kita kena sedar dan kita mesti mengetahui bahawa kemenangan kita adalah kurnia daripada Allah bukan dengan akal kita sahaja.

“Kerana Allah jadikan sejarah perjuangan Islam di sepanjang perjuangan para Nabi dan Rasul dilihat sebagai sesuatu yang mustahil seperti Nabi Nuh AS yang telah berjuang dalam tempoh 950 tahun hanya mendapat pengikut segelintir umat. Tidak mungkin mencapai menang, tetapi bila tiba masanya, Allah mengurniakan kemenangan di luar jangkaan manusia.

“Nabi Ibrahim AS menghadapi pemerintah Babylon yang dipimpin Raja Namrud yang memerintah dengan kejam. Melihat adatnya mustahil Nabi Ibrahim mendapat kemenangan. Bila tiba masanya Namrud ditumbangkan oleh Allah. Begitu juga Nabi Musa AS yang hadapi kuasa besar Firaun yang paling kejam dan zalim dan paling kufur dalam sejarah manusia. Dengan kekayaan melimpah ruah dan bala tentera yang ramai pada Firaun itu tidak mungkin Nabi Musa mencapai kemenangan. Tapi bila tiba masanya, bila kumpulan kita memenuhi syaratnya, maka kemenangan diberi Allah.

“Begitu Nabi Muhammad SAW dan zaman selepas wafatnya Baginda, Allah jadikan pasang dan surut pada agama mereka. Sama ada pasang dan surut, kita turut bersama agama. Jangan masa pasang sahaja kita bersama dengan Islam, masa surut kita meninggalkan Islam, itu tidak istiqamah namanya.

“Atau kita menjadi hanyut dengan pengaruh-pengaruh di luar bahtera kita. Kita tak mengizinkan bahtera kita dihanyutkan oleh orang. Kita mesti kemudikan bahtera ini sampai kepada matlamat dan kita mahu mereka yang berada dalam bahtera bersabar, beriman dan berbudiman, memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki oleh Allah. Kita mendapat berkat dunia dan berkat di hari akhirat. Wawasan kita bukan sahaja wawasan dunia, wawasan kita dari dunia hingga hari akhirat,” perjelasnya.

Terang Tuan Guru, terjadinya perkara-perkara tersebut adalah dari natijah dari cabaran dirancang oleh musuh Islam, di mana terdapat kalangan Gerakan Islam yang terperangkap dengan perancangan tersebut sehingga menimbulkan kelemahan kepada perjuangan Islam.

Ujarnya, beliau membuat renungan bahawa terdapat kelemahan dalaman Gerakan Islam itu sendiri secara keseluruhannya.

Malah terangnya, beliau sendiri telah mengemukakan pandangan berkenaan dalam muktamar di Turki dan perjumpaan di Pakistan serta India dengan rakan-rakan Gerakan Islam termasuk di Indonesia.


“Kelemahan ini ialah mereka yang bermudah-mudahan dengan Islam, ini wujud dalam Gerakan Islam di mana-mana dan kita kena tempias. Sehingga mengenepikan pelaksanaan syariat Allah sama ada terhadap diri sendiri, keluarga termasuklah dalam pemerintahan. Kedua, mereka yang terlalu bersemangat tanpa faham ajaran Islam, mahu melaksanakan syariat dalam sekelip mata, ini salah. Mestilah mengikut peringkat dan tahap,” terang Tuan Guru.

0 comments: