MANFAAT MENYELURUH EKONOMI ISLAM


MANFAAT MENYELURUH EKONOMI ISLAM

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my


PUCHONG: Pelaksanaan Sistem Ekonomi Islam secara menyeluruh adalah solusi terhadap kemelut ekonomi ketika ini yang melanda Malaysia khasnya dan dunia amnya.

Menurut Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ustaz Zaharudin Muhammad, walaupun negara ini mempunyai rangkaian Kewangan Islam, melaksanakan sistem pasaran modal Islam, Perbankan Islam dan Takaful Islam, tetapi ia hanya berlegar sekitar Muamalat Islam.

Iaitu ujarnya, mewakili tidak lebih 5 peratus dari sistem ekonomi Islam keseluruhannya yang turut merangkumi sistem percukaian, sistem pengurusan tanah, pengurusan hasil bumi, pengurusan pusingan wang dan lain-lain.

“Sebab itu saya sifatkan, (Ekonomi Islam) ini adalah ilmu yang hilang dari orang awam Islam pada hari ini,” ujarnya pada pembentangan di Multaqa Ulama Se-Malaysia di Stadium Tertutup MPSJ, Seri Kembangan, di sini baru-baru ini.

Katanya, ekonomi Islam adalah salah satu dari sendi-sendi Islam yang sangat penting, justeru kelemahan ekonomi boleh membawa kepada kehilangan negara dan kedaulatannya berdasarkan firman Allah pada ayat 102 surah An-Nisa'.

Jelasnya, sistem kewangan Islam yang ada kini tidak boleh dianggap mewakili keseluruhan ekonomi Islam kerana ia berlegar hanya disekitar hukum muamalat.

"Bahkan ia juga tidak menepati sistem muamalat negara Islam sebenar sebagaimana difahami umum kerana riba sebagai contoh, ianya bukan sahaja salah dari segi hukum dosa pahala, tetapi ia adalah salah dari segi undang-undang," terangnya.

Beliau memberikan contoh harga rumah yang mahal pada hari ini bukanlah disebabkan oleh sistem kewangan, tetapi oleh monopoli di dalam pengurusan tanah dan 'suply chain' di dalam pembinaan, di mana ia adalah masalah ekonomi, bukan masalah muamalat.

Ustaz Zaharudin turut menjelaskan bagaimana ekonomi dunia mengalami krisis kewangan yang dahsyat pada tahun 2008 seterusnya menyaksikan 88 syarikat gergasi dunia lenyap daripada muka bumi.

"Krisis terburuk ekonomi pada abad ini antara lain disebabkan faktor lemahnya kuasa beli rakyat (power of demand), terutamanya apabila berlaku ketidak seimbangan antara permintaan dan tawaran (demand and suply), terutamanya isu 'over suply' yang melibatkan hartanah (property). Ini adalah punca 'subprime' akhirnya menjadi masalah kepada sistem kewangan.

“Islam mementingkan keperluan dan keperluan itu mampu didapati. Orang ramai perlukan rumah, dan rumah itu mampu dibeli. Orang perlukan kereta, kereta mampu dibeli. Orang mahu berjalan, orang mampu berjalan. Itu makna ‘demand and power of demand’.

“Banyak rakyat (hari ini) berbelanja berdasarkan kemampuan, sedangkan dalam Islam berbelanja adalah berdasarkan keperluan. Contoh kita ada lima anak tetapi pakai (kereta) Kancil. Patut pakai MPV Exora, itu keperluannya. Dia pakai begitu disebabkan itu kemampuannya. Ramai rakyat Malaysia kemampuannya seperti itu.

“Rakyat sepatutnya berbelanja mengikut keperluan, tetapi terpaksa berbelanja mengikut kemampuan. Kita dibelit teori berbelanja ikut kemampuan,” ujarnya.


Solusi Ekonomi Islam

Beliau menegaskan dalam sistem ekonomi Islam, kuasa beli sangat besar hingga Kerajaan Islam perlu memastikan rakyat boleh berbelanja mengikut keperluan, bukan mengikut kemampuan.

"Bayangkan, gaji tentera paling rendah di zaman Islam ialah 1,500 dinar setahun. Jika kita melihat kuasa beli pada hari ini, jumlah itu menyamai RM1.05 juta (RM700 = 1 dinar).

"Wang dalam negara, asalnya berada di bawah, kemudian di sedut naik ke atas. Berbeza dengan konvensional. Instrumentnya ialah sistem agihan negara sama ada sumbernya adalah cukai, hasil bumi dan lain-lain, penerima utama daripada sumber ini ialah golongan fakir miskin.

"Apabila kerajaan memberi bantuan kepada fakir miskin, ia bukan diagihkan 'ikut suka', tetapi ia diagihkan berasaskankadar minimum. Menurut jumhur, kadar minimum yang wajib diagihkan oleh kerajaan Islam kepada orang miskin ialah cukup belanja setahun (quut sanah)," jelasnya

Bermakna katanya, jika seseorang yang keperluan bulanannya RM2,000 tetapi gajinya hanya RM1,000, maka kerajaan akan memberikan kepadanya RM1,000 untuk 12 bulan, iaitu RM12,000.

Kadar itu menurutnya, menjadikan orang yang menerima bantuan ini (sama muslim atau non-muslim) akan mempunyai kuasa beli untuk setahun.

"Itu maksud yang Saiyidina Umar sebut: "berilah (zakat) kepada mereka, maka kamu akan kayakan mereka". Bermakna dalam sistem ekonomi Islam, setiap rakyat paling minimum akan ada cukup belanja setahun.

"Kecuali orang yang mampu bekerja tetapi malas. Maka ia tidak diberi apa-apa bantuan berdasarkan sabda Nabi: "Aku tidak akan berikan kepada orang kuat yagn mampu bekerja (malas)".

"Sebab itu, kuasa beli minimum adalah penting dalam sistem ekonomi Islam. Jika rakyat berpendapatan lebih rendah daripada kos keperluan, maka ia dianggap miskin yang layak terima bantuan daripada kerajaan," terangnya.

Oleh itu katanya, sistem ini menjadikan semua rakyat mampu berbelanja mengikut keperluan, bukan mengikut kemampuan, di mana berbeza dengan sistem ekonomi hari ini yang mengutamakan untuk memperkasakan kuasa penawaran berbanding kuasa beli.

Sebab itu menurut beliau, rakyat sebagai pembeli dan pengguna terpaksa membayar cukai yang tinggi untuk dijadikan modal oleh korporat-korporat selaku pembekal.

Beliau juga mengkritik pemikiran 'gaji minimum' kerana jika dilaksanakan sepenuhnya ke atas syarikat-syarikat kecil dan sederhana, ia akan mengakibatkan kenaikan harga barangan untuk jangka masa hadapan.

Beliau juga menjelaskan, zakat hari ini bukan dari sistem Islam sepenuhnya, kerana zakat merupakan salah satu elemen cukai utama dalam Kerajaan Islam.

"Bagi memastikan zakat adalah sistem lengkap sebagaimana diajar oleh Nabi SAW, maka ia mestilah memenuhi; Pertama, wajib kutip, iaitu tidak membayar zakat adalah salah dari segi undang-undang.

"Kedua, wajib agih, iaitu mengagihkan mengikut asnaf dan kadar-kadar minimumnya dan Ketiga, wajib bayar, iaitu sebagaimana yang dilaksanakan oleh individu Muslim pada hari ini," bentangnya.

Menurut Ustaz Zaharudin lagi, situasi yang berlaku hari ini adalah, pemberian-pemberian kerajaan bukan sahaja tidak dapat memenuhi tujuan ‘tahsiniyat’ dan ‘hajiyat’, malah tidak mencukupi juga untuk tujuan ‘dharuriyat’, hingga menyebabkan rakyat memerlukan lagi atau mengulang permintaan.


Memenuhi Keperluan

Di dalam sistem pemerintah Saiyidina Umar katanya, selain pemberian wajib (obligatory) di atas, di sana terdapat pemberian 'sunat' (optional).

Iaitu jelasnya, seperti pemberian kepada setiap anak dilahirkan sehingga berumur 9 tahun, di mana diberikan makanan (boleh mengenyangkan 120 orang dewasa) dan dua ekor kambing.

Tambahnya, jika ada lebihan, maka sehari dalam setahun Saiyidina Umar akan mengosongkan Baitulmal untuk diagihkan kepada semua rakyat.

"Hari ini kerajaan paksa rakyat bayar cukai yang tinggi, seterusnya kerajaan perlu bagi subsidi itu dan subsidi ini apabila rakyat sudah tidak mampu mendapatkan keperluan.

"Dalam Islam, apabila setiap rakyat mempunyai pendapatan yang sudah melebihi keperluan, maka rakyat akan menderma.

"Apabila berlakunya perang, maka wang derma rakyat jauh lebih mencukupi untuk menampung perang. Itulah model Madinah," ujarnya meyakinkan.


0 comments: